Projek Lebuhraya Usahasama Bhd (PLUS) berhak menaikkan kadar tol lebuhraya di bawah konsesi mereka sebanyak 5% setiap 3 tahun, mulai tahun hadapan.

Kenaikan ini akan berlangsung sehingga konsesi tamat pada 2038, menurut Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau menjawab persoalan Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) ketika sesi Dewan Rakyat yang meminta penjelasan adakah lanjutan tempoh konsesi bermaksud tiada kenaikan harga tol sehingga 2038.

"Berdasarkan perjanjian tambahan konsesi yang ditandatangani pada November 2011, kerajaan dan PLUS bersetuju untuk tidak menaikkan kadar tol dalam tempoh 5 tahun bermula 2011 sehingga 2015."

"Kenaikan akan bermula pada tahun 2016, kecuali di Jambatan Pulau Pinang yang akan menyaksikan tiada kenaikan kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi pada Disember 2038."

"Kenaikan kadar tol ditetapkan sebanyak 5% setiap 3 tahun sehingga konsesi tamat pada 2038," kata beliau lagi.

Kajian semula terhadap perjanjian konsesi PLUS dibuat pada tahun 2011, menjadikan konsesi itu dibenar menaikkan kadar tol sebanyak 5% pada setiap 3 tahun.

Walau bagaimanapun, Rosnah berkata tiada kenaikan telah berlaku dari 2011 hingga kini.

Beliau mengesahkan kenaikan akan berlaku tahun hadapan.

Rosnah menambah, kerajaan akan mengkaji tentang kenaikan kadar tol dengan mengambil kira indeks harga pengguna dan jumlah trafik dengan perakuan juruaudit yang berkelayakan.

"Ini bermakna tiada kenaikan automatik oleh PLUS," katanya.

PLUS dimiliki oleh Khazanah Nasional Bhd.

Kenaikan kadar tol terakhir berlangsung bulan lepas di 12 lebuhraya, tetapi tidak melibatkan lebuhraya PLUS.

PLUS adalah pemegang konsesi untuk Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Persekutuan Laluan 2, Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Hubungan Kedua Malaysia Singapura (LINK2), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang.

BACA: Penumpang ERL Bayar Tambang RM55 Sehala Mulai 1 Januari

BACA: Kadar Tol Baru 17 Lebuh Raya Mulai Khamis

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram