ADHD ialah singkatan kepada ‘Attention Deficit Hyperactivity Disorder’, iaitu satu keadaan yang menunjukkan simptom di mana seseorang tidak dapat memberikan perhatian penuh (inattentiveness), suka mengikut gerak hati/impulsif (impulsive) dan terlampau aktif/hiperaktif (hyperactive).

Sebelum ini, ADHD dikenali sebagai ADD iaitu ‘Attention Deficit Disorder’. ADHD boleh dialami oleh kanak-kanak atau orang dewasa, tetapi lazimnya simptom akan bermula sewaktu kanak-kanak lagi.

Simptom ADHD adalah pelbagai dan mungkin berbeza antara satu individu dengan individu yang lain. Hanya doktor pakar yang boleh kenal pasti dan pastikannya. Namun, ibu bapa boleh kenal pasti beberapa petanda awal sepanjang anak membesar.

ADHD Pada Peringkat Kanak-kanak

Kanak-kanak memang aktif dan ada ketikanya seakan sukar dikawal. Tetapi, bagaimana mahu membezakan sama ada betul-betul ADHD atau aktif yang normal?
Biasanya kanak-kanak yang mengalami ADHD mempunyai keaktifan yang agak ekstrim.

Kanak-kanak memang biasa kita lihat melompat-lompat, berlari ke sana-sini, memanjat kerusi meja atau bercakap tanpa henti. Tetapi ada hadnya.

Manakala kanak-kanak ADHD tidak boleh duduk diam, tidak boleh fokus atau tidak boleh tumpukan perhatian pada sesuatu perkara dalam tempoh yang panjang. Namun begitu, mereka boleh fokus pada perkara yang diminati seperti permainan video atau sesuatu benda.

ADHD Pada Peringkat Kanak-kanak Sekolah Rendah

Perlu diingat, tidak semua kanak-kanak ADHD berkelakuan hiperaktif sewaktu kecil. Namun jika benar kanak-kanak tersebut mengalami ADHD, simptom akan muncul lebih ketara semasa usia ini. Mereka sukar menumpukan perhatian, bermasalah untuk membuat keputusan yang betul atau merancang sesuatu.

Kanak-kanak di usia ini juga menghadapi masalah dengan kanak-kanak seusianya dalam berkongsi benda, mengikut giliran, membiarkan orang lain bercakap dan menyiapkan kerja sekolah atau tugasan di rumah.

Mereka juga boleh jadi lebih emosional. Jika berlaku sesuatu perkara yang mengecewakan, mereka akan menunjukkannya.

Contohnya, jika ibu bapa katakan mahu belikan permainan kesukaan, dia akan menyebutnya tanpa henti. Atau jika ibu bapa tidak bersetuju dengan sesuatu perkara, mereka akan mudah marah dan mengamuk.

Disebabkan ada kalanya mereka tidak dapat berfikir dengan jelas, mereka mungkin cenderung untuk mengalami kemalangan. Ibu bapa dan keluarga perlu lebih berhati-hati dan memerhatikan gerak-geri mereka untuk memastikan keselamatan terjamin.

Menurut pakar, tiada ujian untuk menentukan ADHD. Banyak kanak-kanak mungkin menunjukkan beberapa petanda, tetapi bagi diagnosis ADHD, beberapa petanda perlu hadir sekurang-kurangnya 6 bulan dan memberi kesan kepada kehidupan sosial dan sekolah anak.

Ibu bapa, jika sudah maklum bahawa anak mengalami ADHD, mereka perlu berbincang lanjut dengan doktor untuk kenal pasti ubatan yang perlu. Kanak-kanak ADHD lazimnya memerlukan rawatan melalui ubat-ubatan dan terapi kelakuan.

ADHD Pada Peringkat Remaja

Meningkat usia remaja, keadaan hiperaktif mungkin beransur baik. Tetapi anak tersebut mungkin masih lagi menghadapi masalah tidak boleh duduk diam atau selesa duduk dalam tempoh yang lama.

Remaja dengan ADHD akan menghadapi masalah untuk menumpukan perhatian pada kerja sekolah tetapi mungkin boleh fokus kepada permainan video yang memberikan ganjaran serta-merta.

Semua remaja boleh bersikap emosional, tetapi remaja dengan ADHD menghadapi sedikit masalah untuk kawal emosi mereka.

Disebabkan mereka cenderung untuk bersikap impulsif, remaja dengan ADHD mungkin lebih mudah terlibat dalam kegiatan berisiko tinggi seperti penipuan dan kecurian.

Isu keselamatan sewaktu mereka mereka mengendalikan kenderaan bermotor juga perlu diberi perhatian kerana dikhuatiri mereka tidak dapat mengawal pemanduan dengan baik.

Doktor mungkin telah memberikan rawatan untuk mengawal simptom yang muncul. Namun jika ibu bapa dapati rawatan tersebut semakin kurang berkesan, berbincanglah dengan doktor untuk menukar rawatan.

Sumber