Mungkin ramai yang belum tahu (termasuklah pemandu dan ‘rider’ Uber sendiri) bahawa Uber sudah mempunyai CEO baru, Dara Khosrowshahi yang menggantikan Travis Kalanick (meletak jawatan atas desakan pemegang saham) berkuatkuasa pada 30 Ogos 2017 yang lalu.

Sebenarnya, ada dua lagi calon berprofail tinggi yang dikenalpasti oleh Uber iaitu Meg Whitman daripada HP dan Sheryl Sandberg daripada Facebook, namun peluang telah memihak kepada Khorowshahi untuk menerajui Uber.

CEO Uber ini dulunya merupakan seorang imigran yang dilahirkan di Tehran (kini warganegara Amerika). Sewaktu Revolusi Iran pada tahun 1978, keluarga Khosrowshahi telah berhijrah ke Amerika Syarikat ketika beliau berumur 9 tahun.

Pada umur 13 tahun bapa beliau terpaksa pulang semula ke Iran untuk menjaga datuknya yang sakit tetapi telah ditahan selama 6 tahun sebelum dibenarkan pulang kembali ke Amerika Syarikat.

Khosrowshahi merupakan bekas CEO Expedia Inc, sebuah syarikat travel terkenal yang mengendalikan serta mengambil-alih beberapa jenama ‘online travel’ antarabangsa seperti Trivago, Hotels.com, Homeaway dan Orbitz. Jumlah aset Expedia pada tahun 2016 ialah sebanyak USD15.7 billion.

Dalam tempoh 12 tahun bersama Expedia, Khosrowshahi telah berjaya melonjakkan saham syarikat tersebut daripada USD22.43 ke USD145 iaitu peningkatan sebanyak 550%. Jualan Expedia juga telah melonjak naik apabila Khosrowshahi menjadi CEO, daripada USD2.1 billion pada tahun 2005 ke USD8.8 billion pada tahun 2016.

Sebagai CEO Expedia, beliau telah berjaya mengambil alih (melalui proses ‘acquisition’) syarikat-syarikat jenama besar lain yang menyumbang kepada kejayaan Expedia.

Pada tahun 2013 Expedia telah membeli Trivago, sebuah laman web perbandingan harga hotel yang menjadi aset penting syarikat. Pada bulan Februari 2015 pula, Expedia telah mengambil alih Orbitz dengan nilai USD1.6 billion dan pada bulan November 2015, Homeaway pula diambil alih dengan nilai USD3.9 billion.

Pada bulan September baru-baru ini Khosrowshahi telah menghantar emel kepada semua pekerja Uber dengan mesej yang sangat mendalam iaitu ‘kos yang tinggi perlu ditanggung akibat reputasi yang buruk’ dan syarikat mesti bergerak dengan berintegriti.

Ia juga berpunca daripada tindakan pihak berkuasa di London (Transport for London atau TfL) yang tidak memperbaharui lesen Uber untuk beroperasi di sana. Tindakan ini turut memberi kesan kepada 40 ribu pemandu Uber dan 3.5 juta pengguna applikasi di Kota London.

Sebagai langkah awal Khosrowshahi turut menulis di Twitter rasmi beliau merayu agar warga London terus memberi sokongan kepada Uber dengan mesej berikut:

“Dear London: we r far from perfect but we have 40k licensed drivers and 3.5M Londoners depending on us. Pls work w/us to make things right”.

Khosrowshahi juga telah melantik Tony West sebagai Chief Legal Officer (CLO) untuk menyelesaikan isu perundangan berkaitan Uber di Amerika Syarikat. West pula bukannya calang-calang individu, beliau pernah berkhidmat dan menerajui Department of Justice (DOJ) di bawah bekas Presiden Barrack Obama sebelum menyertai PepsiCo dan kini Uber.

Semoga dengan kehadiran Khosrowshahi sebagai CEO yang baru ini mampu membuatkan Uber pergi lebih jauh, seperti yang telah dilakukan oleh beliau ke atas Expedia Inc sebelum menerima tawaran berhijrah ke Uber.

“There is something only a CEO uniquely can do, which is set that tone, which can then capture the soul of the collective.”– Satya Nadella.

Baca lagi: Bagaimana Strategi Bikini Bantu Wanita Ini Jadi Billionaire