Untuk jadi sebuah filem yang epik, sesuatu filem itu semestinya perlu mempunyai jalan cerita yang menarik. Tetapi antara elemen yang paling penting untuk sesebuah filem sebenarnya adalah poster filem.

Kenapa poster filem? Kerana poster filem adalah first impression untuk sesebuah filem yang kita ingin tonton. Filem luar dan tempatan perlu bersaing di pawagam untuk menarik penonton. Cuba anda berjalan di pawagam dan lihat poster-poster yang terpampang di sana. Setiap poster mewakili filem yang bakal atau sedang ditayangkan dan jika poster filem itu menarik, anda pastinya akan berminat untuk menonton filem berkenaan.

Jika first impression pun sudah gagal (poster filem tempatan khususnya), maka gagallah filem berkenaan untuk tarik perhatian penonton untuk ke pawagam. Namun, satu poster filem tempatan yang sedang ditayangkan di pawagam, KL Special Force memang sangat hebat dan mempunyai feel yang betul untuk filem berkenaan.

Artis di sebalik poster KL Special Force ini tidak lain tidak bukan adalah KUKUBESI dari Kukubesi Manipulasi. Peminat seni pasti kenal dengan nama Kukubesi dan KL Special Force bukanlah karya pertama KUKUBESI bersama keluarga Haslam.

KL Special Force

Sebelum ini KUKUBESI juga pernah terlibat dalam projek poster filem Desolasi. Beliau dipanggil kembali untuk projek KL Special Force dan kami sempat menemubual tuan punya badan untuk bertanya sendiri tentang poster KL Special Force (KLSF) ini.

Menurut KUKUBESI, beliau diberi masa dua minggu untuk menyiapkan poster ini. Cabaran paling getir adalah apabila idea untuk berkarya tidak muncul tiba. Hanya 12 jam sebelum deadline, idea datang untuk proses concept approval dan selepas sedikit pembetulan, poster berkenaan sudah siap untuk digunakan.

Ini merupakan projek ke-4 KUKUBESI bersama keluarga Haslam; sebelum ini untuk Mat Moto, Desolasi dan Abang Long Fadil 2.

“Cabaran untuk konsep poster ini adalah untuk nampak poster ini berlainan daripada yang terdahulu. Untuk KLSF, saya cuba untuk hasilkan poster dengan poster filem aksi dari Korea dijadikan rujukan. Poster filem Korea banyak bagus cuma poster ini berbeza dengan gaya Kukubesi sebelum ini apabila tiada manipulasi di bahagian background. Kita cuba untuk buat pelakon nampak strong dengan background yang plain. Alhamdulillah ramai yang suka dan beri respon positif,” kata KUKUBESI.

“Penggiat filem tempatan sering mengambil enteng tentang proses pembuatan poster ini. Masih ramai yang beranggapan poster hanyalah poster dan tidak lebih daripada itu. Bagi beliau, poster filem sangat penting kerana ianya barisan hadapan untuk sesuatu promosi filem. Poster filem adalah wajah dan look untuk sesebuah filem. Jadi jika wajah pun sudah gagal, bagaimana pula kualiti untuk filem itu nanti?”

“Saya sebenarnya bernasib baik sebab Skop Production ada on ground photographer untuk rakam detik-detik hebat ketika penggambaran. Bila dah ada gambar cantik, senang kami designer untuk pilih gambar mana yang sesuai untuk poster filem. Tapi masalah juga sebab banyak betul gambar cantik yang Skop Production bagi kepada saya. Sampai hilang idea. Haha,” tambah KUKUBESI.

Ramai yang sudah menonton dan memberi respon yang baik untuk filem ini. Syafiq Haslam sekali lagi menghasilkan karya masterpiece di usia muda dan setakat ini, filem ini sudah mengutip RM4.7 juta ringgit dalam 4 hari tayangan sahaja! Apa pun, tahniah Skop Production dan Kukubesi Manipulasi untuk sebuah karya tempatan yang awesome.