Beberapa hari yang lalu, tular dengar khabar berita mengenai Ustaz Ebit Liew yang mengislamkan seramai 157 orang suku kaum Bajau Laut yang hidup di persisiran pantai di Sabah. Namun, orang ramai mempersoalkan dan masih tidak mengenali siapakah suku kaum Bajau Laut ini?

Untuk pengetahuan anda, Bajau Laut ini sering dipanggil ‘gipsi laut’. Uniknya, mereka ini merupakan satu-satunya suku kaum di rantau ini yang tidak mempunyai taraf mana-mana warganegara atau orang memanggilnya sebagai kumpulan manusia yang stateless.

japan featured
HYPE
14 ‘Hidden Gem’ Wilayah Tohoku Di Utara Jepun Yang Pelancong Malaysia Perlu Cuba
Baca lagi →

Membina pondok atas air dan tinggal di dalam bot

BeFunky-collage (71)

Sumber: Malaysiakini

Etnik ini juga dikenali dengan nama suku kaum Pala’u. Tambah menarik, sebahagian daripada mereka akan membina pondok di atas air dan ada juga yang menjadikan bot sebagai tempat untuk berteduh.

Paling mengujakan, ada juga antara mereka yang masih memilih untuk menjalani kehidupan secara nomad di mana mereka akan berpindah-randah dan mencari penempatan baru samada hidup di kawasan perairan Filipina dan Indonesia.

Walaupun penuh keunikan dari segi budaya dan gaya hidup, namun berdasarkan laporan Astro Awani, kehidupan kaum ini masih jauh ketinggalan daripada peredaran zaman yang serba moden hari ini.

Berpandukan kedudukan matahari sebagai waktu

Suku kaum ini langsung tidak tahu untuk menggunakan sistem waktu. Bagi mereka, kedudukan matahari sahaja sudah cukup sebagai panduan untuk mengetahui waktu pagi, tengah hari, petang dan malam.

“Kedudukan matahari di timur, bererti pagi bagi mereka. Seandainya matahari sudah berada di atas kepala, bermakna ianya telah memasuki waktu tengah hari.

“Kalau kedudukan matahari berada di barat, itu tanda bahawa sudah menuju ke waktu petang yang menghampiri malam,” kata Jaafar Janntul, salah seorang anggota kumpulan etnik Bajau Laut dari Semporna yang pernah dihubungi wartawan Bernama pada 2017 dahulu.

Mabuk darat dan tidak boleh berada di darat terlalu lama

Jika anda yang tidak biasa turun ke laut, kami pasti ada antara anda yang akan pening disebabkan mabuk laut. Namun, situasinya berbeza pula bagi Bajau Laut di mana mereka akan mengalami mabuk darat seandainya mereka naik ke darat.

“Disebabkan sudah terbiasa tinggal di atas laut yang bergelora, malah sejak bayi lagi, suku kaum Bajau Laut ini tidak mampu bertahan untuk kekal berada di daratan bagi tempoh yang lama.

“Mereka akan cepat pening kepala dan mabuk darat. Berjalan pun terhuyung-hayang tidak betul,” ujar Jaafar lagi.

Menurut Jaafar, mereka hanya akan naik ke darat sekiranya ada keperluan seperti membetulkan atau menghasilkan bot yang baharu dan tujuan ritual keagamaan untuk mengebumikan ahli keluarga yang meninggal dunia.

Laut sebagai tempat permainan untuk anak Bajau Laut

BeFunky-collage (72)

Sumber: Iluminasi

Walaupun hidup serba kekurangan, namun etnik ini telah dinobatkan sebagai perenang dan penyelam paling mahir di dunia tanpa menggunakan sebarang bantuan peralatan alat pernafasan scuba diving.

“Mereka ini sangat hebat kerana mampu menyelam hingga kedalaman 20 meter tanpa bantuan tangki oksigen dan boleh menahan nafas di dalam air selama 10 minit.

“Bayi-bayi Bajau Laut yang baru sahaja dilahirkan akan direndam ke dalam laut untuk membiasakan mereka dengan air laut atau simbolik kepada keserasian dan keberanian hidup di laut,” ulas Jaafar lagi.

Difahamkan, temuni bayi-bayi Bajau Laut akan ditanam di dasar laut bertujuan untuk mengekalkan adat resam kepercayaan bahawa ada penjaga roh laut yang akan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya dan tidak akan mati sewaktu menyelam di laut.

Menyelam sambil memburu hasil makanan laut

BeFunky-collage (73)

Sumber: I Love Borneo

Kemahiran menyelam yang diamalkan ini mampu mengajar keturunan mereka untuk memburu hasil laut seperti ikan, sotong dan udang kara dengan menggunakan kayu lembing.

Jika tidak berjaya menangkap ikan atau udang, mereka akan mencari kima (orang Bajau Laut menyebutnya sebagai tehe-tehe) iaitu sejenis kerang atau landak laut sebagai sumber asas makanan mereka.

Khabarnya, rata-rata suku kaum Bajau Laut ini tidak mampu bertutur dalam Bahasa Melayu. Malah, mereka juga dikatakan tidak mempunyai agama yang tetap dan sering bersilih ganti agama.

Berhubung usaha Ustaz Ebit Liew yang mengislamkan Bajau Laut baru-baru ini, tampil seorang pengguna Twitter yang mengeluarkan kenyataan bahawa Gipsi Laut ini lebih selesa tidak beragama. Berikut merupakan perkongsian tweet yang telah menimbulkan perbualan dalam kalangan netizen berhubung isu pengislaman Bajau Laut ini.

“Sebenarnya tentang Gipsi Laut ni, hari ini mereka masuk muslim, esok lusa mubaligh kristian datang, mereka masuk Kristian pula. Paling tidak, pendakwah kena tinggal di sana dan ajar mereka mengenai agama. Untuk pengetahuan, mereka ini hidup secara nomad,” ujar pengguna Twitter @LinaKlasik berhubung isu tersebut.

Namun, pengguna Twitter ini tiada niat untuk memandang rendah terhadap usaha Ustaz Ebit Liew ini yang mengislamkan Bajau Laut. Realitinya, Bajau Laut akan kembali semula dengan cara mereka yang tidak beragama sekiranya tiada bantuan atau bimbingan agama yang diberikan kepada mereka.

Rata-rata netizen menzahirkan harapan yang tinggi dan berharap sekolah agama yang akan dibina oleh Ustaz Ebit Liew nanti sedikit sebanyak mampu membantu suku Bajau Laut dalam mendalami ilmu agama Islam sehingga menjadi seorang umat Islam yang sejati.

Menerusi perkongsian ini, sedikit sebanyak dapat memberikan pengetahuan kepada kita semua untuk mengenali lebih dekat suku kaum Bajau Laut. Sementara itu, baca lagi mengenai kisah Ustaz Ebit Liew yang mengislamkan suku Bajau Laut menerusi pautan di bawah.

157 Penduduk Bajau Laut Masuk Islam Secara Sukarela Selepas Mendengar Perkongsian Ebit Lew

‘Rumpai RM50 Tapi Beli RM10’- Sukarelawan Kongsi Komuniti Bajau Laut Ditipu Hanya Kerana Tidak Pandai Mengira

Lelaki Ini Kongsi Mengapa Anak Muda Bajau Laut ‘Takut’ Pada Pensel Dan Kertas

 

Anda Mungkin Suka