Sejak wabak COVID-19 menyerang dunia awal tahun lalu, masalah utama yang sering dibincangkan oleh para doktor dan ilmuwan terkemuka adalah bagaimana kita mahu keluar dari situasi ini? Dan adakah vaksin mampu disiapkan dengan kadar yang cepat?

Dan pada pertengahan tahun lalu pula, para saintis dari institusi akademik dan syarikat farmaseutikal telah berlumba-lumba mengkaji dan mencari bahan terbaik untuk membuatkan dunia kembali ‘kebal’ dari wabak COVID-19. Salah seorang daripada saintis tersebut yang kini menjadi tumpuan dunia adalah Profesor Sarah Gilbert.

Sebelum ini, nama Sarah Gilbert tidaklah sering didengar seperti para ilmuwan yang lain. Namun selepas videonya yang mendapat tepukan gemuruh di acara Wimbledon 2021 semasa perlawanan di antara Novak Djokovic menentang Jack Draper, perhatian mula diberi kepada beliau.

Beliau berasal dari Northamptonshire, England dan dilahirkan di bandar yang sama pada bulan April 1962. Dia salah seorang ahli vaksin di Institut Jenner & Nuffield Department of Clinical Medicine, University of Oxford. Dalam pengembangan vaksin korona, dia adalah salah satu penggubal vaksin COVID-19 dari Oxford dan AstraZeneca.

Sarah memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang sains biologi dari University of East Anglia. Dia kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam program kedoktoran jurusan genetik dan biokimia di University of Hull. Sebelum mencipta vaksin coronavirus, Sarah dikatakan terlibat juga dalam pengembangan beberapa jenis vaksin termasuk vaksin Ebola.

Semasa dalam proses kajian untuk mengembangkan vaksin, dia mendapat laporan bahawa terdapat empat orang dengan radang paru-paru di China pada Malam Tahun Baru 2020. Tidak lama selepas itu, dia mula mengembangkan vaksin setelah menerima barisan patogen virus baru yang dikenali sebagai COVID-19.

Setelah bertungkus lumus dengan masa dan beribu kajian, vaksin Oxford-AstraZeneca COVID-19 berjaya mendapat kelulusan Kumpulan Vaksin Oxford pada 30 Disember 2020. Setelah itu, mereka juga berjaya mendapat kelulusan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk digunakan di seluruh dunia.

Apa yang menariknya, walaupun dunia berada dalam keadaan terdesak dan negara-negara mewah bersedia untuk membayar jutaan dolar bagi membeli paten vaksin COVID-19. Tetapi bagi Sarah, itu bukanlah caranya untuk menjadi kaya.

Dia dikatakan tidak mengambil hak paten untuk vaksin AstraZenecca. Ini bagi memberi ruang kepada orang ramai untuk menggunakannya bagi melawan wabak COVID-19.

“Saya tidak mahu mengambil hak paten sepenuhnya, jadi kita dapat berkongsi harta intelek. Sesiapa sahaja boleh membuat vaksin sendiri untuk mengatasi wabak ini,” katanya seperti dilaporkan Reuters.

Kini AstraZeneca sudah sampai di beberapa negara, termasuk Malaysia. Menurut laporan Lancet, keberkesanan AstraZeneca mencapai 70% berdasarkan analisis sementara hasil percubaan klinikal fasa tiga di dua negara, iaitu Brazil dan UK. Telah diketahui bahawa standard keberkesanan minimum untuk vaksin COVID-19 adalah 50%.

Kebaikan Sarah kini membuahkan hasil yang manis dan meletakkan harapan kepada dunia bahawa kita sebenarnya boleh bekerjasama untuk ke masa hadapan yang lebih baik.

Kejayaan Sarah telah melayakkan beliau mendapat gelaran bangsawan dari Kerajaan Inggeris. Beliau telah dianugerahkan dengan pingat Dame Commander of the Most Excellent Order of the British Empire (DBE). Selain itu, dia juga berjaya mendapat Anugerah Puteri Asturias untuk kategori penyelidikan ilmiah.

EU bidas dakwaan penerima suntikan AstraZeneca di Malaysia tidak dibenarkan masuk Eropah. Klik pautan di bawah untuk membaca.

EU Bidas Dakwaan Penerima Suntikan AstraZeneca Di Malaysia Tidak Dibenarkan Masuk Eropah

Vaksin AstraZeneca Yang Diberi Kepada Malaysia Didakwa Tidak Diiktiraf Oleh EU ‘Vaccine Passport’