Hujung minggu ini akan menyaksikan pelancaran sepasang sneakers yang boleh dikatakan paling “hype” bagi tahun 2018. Sneakers ini sebenarnya telah ditunggu-tunggu sejak bulan Mac 2017 lagi, apabila rekaan Air Max 1/97 VF SW ini telah memenangi pertandingan ‘Vote Forward’ yang dianjurkan oleh Nike.

Tambah “hype” lagi, sneakers ini akan memasuki pasaran Malaysia melalui kedai-kedai seperti Hundred%, Sole What dan JD Sports Malaysia. Namun tidak semudah itu untuk anda mendapatkan sneakers ini kerana kesemua kedai-kedai ini akan mengadakan sistem ‘raffle’ atau undian, dan hanya mereka yang terpilih melalui sistem ini sahaja akan dibenarkan membeli sepasang sneakers yang berharga RM629.00 ini.

Air Max Wotherspoon

Nike Air Max 97/1 ‘Sean Wotherspoon’

Nike Air Max 1/97 VF SW bermaksud Nike Air Max hybrid Air Max 1 dan Air Max 97 (1/97), VF bermaksud Vote Forward manakala SW bermaksud Sean Wotherspoon. Sean Wotherspoon adalah pemenang bagi pertandingan Vote Forward ini dan sebagai hadiahnya sneakers rekaan beliau akan direalisasikan oleh Nike. Siapa dia Sean Wotherspoon ini? Mari kita kenali beliau dengan lebih dekat lagi.

LIVE at the flea! …a couple hours ago…TONS of πŸ”₯ come-ups today!

A post shared by Sean Wotherspoon (@sean_wotherspoon) on

Sean Wotherspoon adalah seorang pemuda berusia 28 tahun dan berasal dari Richmond, Virginia, Amerika Syarikat. (Fun fact : Bulan Mac ialah bulan kelahiran beliau, sama seperti bulan kelahiran Nike Air Max) Beliau merupakan seorang yang sangat meminati barangan vintaj terutamanya pakaian dan sneakers. Beliau mula meminati sneakers sejak berusia 10 tahun dan mula mengumpul barangan vintage sejak berusia 15 tahun lagi.

Atas minat yang mendalam terhadap barangan vintage, streetwear dan sneakers, pada tahun 2013 Sean dan dua orang rakan baiknya iaitu Chris Russow dan Luke Fracher telah membuka sebuah kedai bernama ‘Round Two’ di Richmond, Virginia.

Kedai ini menjalankan perniagaan jenis ‘Buy, Sell, Trade’ di mana orang ramai boleh pergi ke Round Two untuk membeli barangan, menjual barangan kepada Round Two atau pun menukar barangan mereka dengan apa-apa barangan yang ada di dalam kedai Round Two. Sambutan terhadap Round Two adalah sangat menggalakkan di mana orang ramai akan beratur panjang untuk memasuki Round Two setiap hari untuk memasuki kedai tersebut.

Sean, Chris dan Luke kemudiannya bekerjasama dengan rakan baik mereka iaitu Graham Ohmer untuk menerbitkan rancangan Youtube mereka sendiri bertajuk ‘The Show by Round Two’. Rancangan yang kini memasuki musim ke empat ini mendapat sambutan yang baik daripada peminat streetwear dari seluruh dunia dan mendapat ratusan ribu views setiap kali ia dimuat naik.

sean russow

Sean Wotherspoon (kiri) dan Chris Russow (kanan) di Round Two

Nama Sean Wotherspoon mula menarik minat penggemar streetwear dan sneakers pada tahun 2015 apabila beliau melakukan satu aksi yang luar biasa apabila beliau telah mencelup sepasang Nike Air Jordan 5 x Supreme berwarna putih milik beliau yang baru dikeluarkan ketika itu ke dalam tin cat berwarna merah. Aksi itu mendapat pelbagai reaksi positif dan negatif dari seluruh dunia.

Tidak lama selepas itu, Sean sekali lagi melakukan aksi luar biasa apabila memotong bahagian ‘upper’ kasut adidas Yeezy Boost 350 “Moon Rock” dan “Turtle Dove” dan kemudiannya menggunting material itu kepada bahagian-bahagian kecil dan dilekatkan pada topi-topi pelbagai warna sebelum diedarkan kepada pelanggan Round Two. Aksi ini juga telah memperkenalkan jenama Round Two kepada penggemar streetwear dan sneakers dengan lebih luas lagi.

air jordan 5

Nike Air Jordan 5 X Supreme ‘Red Paint’

yeezy cut

“Cut my Yeezy into pieces,” Sean Wotherspoon

Atas sambutan yang sangat menggalakkan ini, pada tahun 2015 Sean, Chris dan Luke kemudiannya telah membuka Round Two yang kedua di Los Angeles, Amerika Syarikat. Ia terletak di Melrose Avenue iaitu kawasan membeli-belah terkenal di Los Angeles. Yang menariknya, mereka turut membuka dua lagi kedai berhampiran dengan Round Two Los Angeles yang diberi nama ‘Vintage by Round Two’ (khusus untuk barangan vintage) serta ‘The Gallery by Round Two’ (galeri barangan streetwear yang paling hype. Kunjungan atas ‘appointment-basis’ sahaja).

Seperti biasa, barisan yang panjang dapat dilihat apabila orang ramai beratur untuk memasuki Round Two setiap hari. Round Two juga telah melebarkan sayap mereka ke Eropah apabila telah membuka ‘Pop Up Shop’ (kedai sementara) mereka di London dan Paris pada minggu ‘Fashion Week’. ‘Pop Up Shop’ Round Two ini mendapat sambutan yang sangat hebat dari penggemar streetwear eropah malah telah dikunjungi oleh pereka Off-White iaitu Virgil Abloh.

round two holly

Round Two Los Angeles, Amerika Syarikat

Tahun 2017 juga menyaksikan Sean, Chris dan Luke terus membesarkan empayar mereka dengan pembukaan satu lagi Round Two iaitu di New York. Menariknya, logo bagi Round Two New York telah dihasilkan oleh artis dan pelukis grafiti terkenal iaitu Stash. Hasil kerja Stash (yang terkenal dengan warna biru) ini dapat dilihat pada dinding kaca di hadapan Round Two New York.

Oleh kerana minat yang sangat mendalam pada budaya streetwear dan seakers, pada 2017 juga, Sean Wotherspoon telah dijemput oleh Nike ke ibu pejabat mereka di Beaverton, Oregon. Di sana, Nike telah mengumpulkan dua belas personaliti termasuk Sean Wotherspoon yang digelar Revolutionairs dan mereka diminta untuk mengilhamkan sneakers Nike Air Max impian mereka dengan memasukkan unsur pilihan mereka sendiri.

Sean kemudiannya pulang dan mula mengumpulkan idea untuk rekaan sneakersnya itu dan kemudian telah mengadakan satu sessi ‘brainstorming’ bersama rakan-rakannya baiknya.

Sebagai peminat barangan vintage, Sean telah memilih corduroy sebagai material untuk sneakers rekaannya itu. Apabila selesai, rekaaan Sean serta personaliti yang lain telah dipamerkan dalam laman web Nike untuk diundi dan apabila undian ditutup, hasil rekaan Sean Wotherspoon telah mendapat undian tertinggi dan sebagai hadiahnya, sneakers rekaan beliau akan direalisasikan oleh Nike untuk dikeluarkan dan dijual pada Air Max Day 2018.

Pada bulan November 2017, Nike telah membuat sedikit kejutan dengan mengeluarkan sejumlah kecil kasut Air Max 1/97 rekaan Sean Wotherspoon yang dipanggil “early pairs” untuk dijual di sebuah kedai bernama Need Supply Co di tempat tinggal Sean Wotherspoon iaitu di Richmond, Virginia.

sean early

Hampir 500 orang telah beratur sejak malam sebelumnya untuk mendapatkan sneakers ini. Apabila proses jualan bermula, keadaan menjadi kecoh apabila ada antara orang ramai yang beratur telah bertindak agresif dan tolak-menolak sesama mereka.

Malah pergaduhan kecil turut tercetus sehingga Sean Wotherspoon sendiri telah keluar untuk menasihati mereka agar berkelakuan sopan. Keadaan terus menjadi tidak terkawal sehingga memaksa pihak polis Virginia membatalkan acara ini. Kecewa dengan kejadian ini, Sean Wotherspoon kemudiannya telah membuat kejutan dengan meletakkan sneakersnya di tempat-tempat “random” di sekitar Richmond untuk dijumpai oleh mereka yang bertuah.

Sean Wotherspoon turut mengumumkan bahawa sneakers beliau akan diiringi dengan pelbagai aksesori menarik seperti t-shirt, jacket, topi, beg dan yang paling menarik sneakers ini dalam size bayi!

Oleh kerana sneakers rekaan Sean Wotherspoon ini telah diperkenalkan sejak bulan Mac 2017 lagi, hype terhadap sneakers ini adalah sangat tinggi. “Early pairs”sneakers ini dijual semula oleh “resellers” sehingga mencecah RM2000 di laman web ebay. Jadi tidak hairanlah jika sambutan terhadap sneakers ini juga hangat di Malaysia, apatah lagi dengan peluang untuk membelinya secara ‘retail’ (harga kedai) dari Hundred%, Sole What dan JD Sports.

Kepada semua peminat sneakers yang akan mencuba untuk membeli sneakers ini, diharapkan agar menjaga kelakuan serta bertenang menerima keputusan raffle yang akan dikeluarkan nanti. Kita tidak mahu melihat insiden pergaduhan yang tular semasa pelancaran sneakers adidas NMD Hu Trail Pharrell Williams di KLCC tempohari berlaku lagi. Semoga berjaya!

P/S: Ketika anda membaca artikel ini, kasut ini sudah pun berada di tangan sneakerhead bertuah. Adakah anda antara yang bertuah?

Artikel di atas disumbangkan oleh Shaha Al-Fayed. Beliau adalah peminat 'die-hard' Nike di Malaysia. Boleh ikuti beliau di sini.

BACAAN SETERUSNYA

© 2018 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W), a part of Media Prima Group