Siapa sahaja tidak kagum apabila melihat aksi kelincahan karakter agen risikan rahsia, James Bond yang pernah dimainkan oleh beberapa pelakon terkenal Hollywood iaitu Sean Connery, Timothy Dalton dan Daniel Craig.

Namun siapa sangka, sebenarnya karakter ini diinspirasikan daripada kisah benar seorang perisik handalan Rusia bernama Sidney Reilly.

Sidney Reilly dilahirkan pada 24 Mac 1874 di Odessa, Ukraine. Dia dibesarkan oleh keluarga bangsawan Yahudi-Rusia. Menurut sumber, nama Sidney Reilly hanyalah nama samaran dan Sigmund Rosenblum merupakan namanya yang sebenar.

Dia kemudiannya melanjutkan pengajian dalam bidang kimia di sebuah universiti di Vienna, Austria sekitar tahun 1890 hingga 1893. Selepas menamatkan pengajiannya, dia mengembara pula ke Brazil dan di sana dia telah berkenalan rapat dengan seorang askar British.

Disebabkan perhubungan mereka mulai rapat, askar British berkenaan mencadangkan Sidney untuk terlibat sama menjadi sebahagian daripada kumpulan agen perisikan rahsia MI6 yang dikendalikan oleh syarikat Secret Intelligence Service (SIS) di London.

Melakukan rompakan di Paris

Difahamkan, sebelum dia ke London, dia bergiat aktif dalam melakukan rompakan di Paris, Perancis. Apabila wang simpanan curi sudah cukup, dia kemudiannya membeli tiket penerbangan ke London dan memulakan kerjaya baharunya di sana pada tahun 1986.

Setiba di sana, Sidney telah disuruh oleh SIS untuk meracuni minuman yang diminum oleh jutawan bernama Hugh Thomas di sebuah hotel di London. Liciknya, kegiatan jenayah yang dilakukan Sidney itu tidak dapat dikesan oleh mana-mana pihak dan kematian Hugh diklasifikasikan meninggal dunia gara-gara penyakit.

Membunuh jutawan demi mendapat isteri serta hartanya

Khabarnya, kegiatan Sidney ini sememangnya dirancang rapi oleh seorang doktor bernama T.W.Andrew di mana doktor berkenaan sengaja membuat laporan palsu dan tiada melakukan sebarang operasi bedah siasat ke atas mayat Hugh Thomas sehinggalah dia dikebumikan.

Namun disebabkan tidak sanggup melihat isteri Hugh hidup sebagai ‘janda muda’, Sidney kemudiannya mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Margeret Thomas pada tahun 1899 sekaligus mendapat harta mewah peninggalan Hugh Thomas.

Menjadi agen rahsia bagi tiga negara serentak

Walaupun sudah menjadi kaya-raya, namun nampak gayanya sikap tamak haloba Sidney semakin ghairah. Mana tidaknya, demi kekayaan, dia sanggup menjadi agen perisikan rahsia bagi tiga buah negara iaitu England (1899) dan perisikan untuk perang Jepun-Rusia secara serentak pada 1904 hingga 1905.

Pada tahun 1899, Sidney dihantar oleh Kerajaan British untuk mengumpul data mengenai simpanan minyak petrol di Caucasus, Rusia. Prestasi risikan Sidney dikatakan sangat cemerlang selepas berjaya mencuri beberapa maklumat berharga untuk Kerajaan British. Disebabkan itu, Reilly telah dinaikkan pangkat sebagai Perkhidmatan Perisikan Tentera Laut British.

Diperangkap oleh pemimpin Rusia

Pada tahun 1917, Sidney bersama agen risikan yang lain sekali lagi dihantar oleh British ke Rusia untuk menjalankan rancangan serangan hendap untuk membunuh pemimpin-pemimpin yang mengetuai parti demokratik Bolshevik. Dipercayai, rancangan diketuai oleh ‘orang dalam’ parti Bolshevik iaitu Eduard Berzin yang bersepakat untuk membayar 1.2 juta Ruble Rusia kepada British.

Sebenarnya, Berzin tidak berniat langsung untuk membunuh pemimpin Bolshevik. Beliau bertindak sedemikian hanya untuk memerangkap Sidney serta agen-agen risikan yang lain selepas mengetahui kegiatan kotor Sidney yang membocorkan maklumat sulit Rusia kepada British.

Rancangan gagal dan dihukum bunuh

Rancangan Sidney itu nampaknya gagal dan ramai agen risikan yang lain telah dibunuh oleh tentera Uni Soviet (Rusia). Namun, Sidney masih terselamat dan bersembunyi di wilayah selatan Rusia di mana ia merupakan penempatan Whites Army (anti-Bolsheviks) selama beberapa bulan pada tahun 1918.

Beberapa tahun kemudian, Whites Army kalah di medan perang dan Bolsheviks berjaya mengesan keberadaan Sidney. Pada September 1925, Sidney dipenjarakan di Lubianka. Semasa dibicarakan, Sidney tidak dapat menjelaskan apa alasan yang sebenarnya tujuan dia menceroboh Rusia.

Tanpa tunggu masa, Sidney Reilly akhirnya dihukum bunuh oleh tentera Uni Soviet di sebuah hutan di Moscow pada November 1925. Begitulah kisah Sidney yang difahamkan dijadikan sebagai rujukan bagi penulis novel James Bond, Ian Felming untuk mencipta karakter James Bond dalam karyanya.

Baca lagi artikel lain menerusi klik pada pautan di bawah.

Agensi Perisikan Amerika Syarikat Dakwa China Bohong Jumlah Sebenar Pesakit Kes COVID-19

Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Dan Dua Pegawai Kanan ATM Didakwa Terima Rasuah

Bekas Ketua Perisikan Malaysia Dituduh Guna RM50.4 Juta Dana Kerajaan Beli Jam Tangan Mewah

Sumber