Tidak hanya miliki keindahan panorama yang mengagumkan, Gunung Himalaya turut merupakan pusat terkumpulnya hasil madu yang paling besar di dunia. Di Nepal, memburu madu di kaki gunung Himalaya merupakan salah satu cara yang dilakukan oleh suku kaum Kulung sebagai sumber pendapatan.

Pemburuan madu ini akan dilakukan pada setiap dua tahun sekali. Menariknya tentang suku Kulung, mereka adalah satu-satunya kaum yang ada di Nepal yang sanggup mengadai nyawa memanjat tebing Himalaya yang tinggi serta curam untuk mendapatkan madu dari sarang-sarang lebah yang tergantung di atasnya.

pemburumadu
Gambar: National Geographic

Tradisi Sejak Ratusan Tahun Yang Lalu

Umpama menatang nyawa sendiri, tradisi mengumpul madu dengan memanjat tebing Himalaya yang tinggi serta curam ini sebenarnya sudah dilakukan sejak ratusan tahun dahulu lagi. Menurut kaum Kulung, pemburuan madu dengan cara sebegini merupakan aktiviti turun-temurun dari nenek moyang mereka.

Dalam proses untuk mendapatkan madu, kaum Kulung masih menggunakan kaedah tradisional iaitu dengan berpaut pada tali lalu menjolok sarang lebah menggunakan batang buluh yang dipanggil ‘tangos’. Menceroboh sarang lebah paling besar di dunia ini bukanlah perkara mudah, mereka bukan sahaja berhadapan risiko jatuh dari tebing yang tinggi malah bakal menerima serangan daripada jutaan lebah dan mungkin boleh membawa maut.

Oleh itu, apa yang mereka lakukan terlebih dahulu adalah mengumpul daun-daun kering kemudian membakarnya. Asap hasil daripada pembakaran tersebut akan menyebabkan lebah-lebah lari meninggalkan sarangnya. Maka, pada waktu inilah para pemburu madu yang ekstrim ini mencuri hasilnya.

2
Gambar: National Geographic
5
Gambar: National Geographic

Kaum Yang Dieksploitasi

Namun di sebalik kepakaran memburu madu yang dimiliki kaum Kulung, mereka kini dijadikan sebagai sebahagian daripada inisiatif pihak pemerintah Nepal untuk menarik pelancong ke negara ini.

Teknik dan kaedah pemburuan madu yang merbahaya ini dijual sebagai tontonan yang eksotik kepada pelancong dengan bayaran mencecah 1,000 USD. Bukan itu sahaja, hasil buruan madu ini turut dieksport ke negara China, Jepun dan Korea secara besar-besaran. Buat pengetahuan anda, madu dari pergunungan Himalaya ini sering digunakan sebagai bahan di dalam ubat-ubatan tradisional di China dan Jepun.

Bagi kaum Kulung pula, setiap hasil pemburuan madu akan dibahagikan sama rata kepada penduduk kampung. Kebiasaannya pada musim luruh mereka mampu menghasilkan kira-kira 200 liter madu, manakala pada musim bunga pula boleh mencapai sehingga 800 liter madu.

BACA JUGA: Keunikan Suku Leher Panjang, Kaum Terbuang Yang ‘Dijual’ Thailand