Nota Editor: Kisah yang menyentuh hati ini diceritakan oleh Puan Nurul Ilyani binti Munsarikh, seorang usahawan. Selepas membelikan kasut untuk kedua-dua anaknya, Dhuha dan Dani, beliau teringat kenangan kasut raya ketika beliau kecil. Kasut raya lelong, bukan sekadar sepasang kasut raya tetapi menjadi kisah pedoman buat kita semua.

Kasut Raya Lelong

Tadi saya telah membeli kasut raya untuk Dhuha dan Dani. Untuk sepasang kasut biasa-biasa saja RM30 lebih. Semuanya sudah mahal. Kanak-kanak mana yang tidak rambang mata memilih. Melihat Dhuha yang sangat teruja memilih mengingatkan saya tentang zaman kanak-kanak saya.

Ketika itu, lagi seminggu hari lebaran tahun 1991. Saya darjah 1. Saya ada 3 orang adik di bawah saya. 5 orang kakak dan abang di atas saya. Kami sekeluarga orang yang susah. Hari raya adalah hari yang gembira bagi kami. Kami dapat merasa baju baru dan kasut baru setahun sekali. Kami masih mampu berhari raya walaupun tidak semewah orang lain. Untuk ibu bapa saya, hari raya hari yang paling gusar. Mereka menghitung belanja yang perlu mereka keluarkan.

Seingat saya, setiap tahun kakak saya (kini seorang doktor pakar kanak-kanak di Hospital Pakar An-Nur, Bangi), menggunakan biasiswanya membeli pakaian untuk 10 orang di rumah kami termasuk ibu bapa saya.

Petang itu, ayah saya kata mahu beli kasut raya untuk kami. Sebagai seorang kanak-kanak saya sangat teruja. Saya katakan pada ibu saya, saya mahukan warna merah. Mereka menggunakan benang mengukur kaki kami. Beberapa hari sebelum raya, saya dan rakan saya bercerita mengenai kasut raya masing-masing. Siap lukis-lukis lagi. Betapa saya menghargai kasut baru setahun sekali.

Pagi itu, pagi raya. Kami mengunjung sanak saudara. Saya begitu gembira menggayakannya. Sambil berjalan rumah ke rumah bersama keluarga saya. Hari panas terik. Saya lihat kasut saya menggelupas. Kasut menjadi buruk.

Saya sedikit kecewa tetapi tidak terluah. Semasa keluar daripada rumah seorang jiran, saya terserempak dengan rakan baik saya (saya pernah berkongsi cerita kasut raya). Rakan saya ini berasal daripada keluarga kaya. Saya mengerling kasutnya. Cantik. Ada bunga besar seperti yang diceritakannya.

Saya mahu menyarung kasut untuk pulang. Rakan saya itu baru datang. Tiba-tiba saya berasa malu. Kasut saya sudah kelihatan uzur. Dalam kekalutan, kakak ketiga saya (kini seorang guru di Serendah) menutup pandangan rakan saya dengan membelakangkannya. Membantu saya memakai kasut. Cepat-cepat menarik saya supaya jalan.

Dalam perjalanan, kakak saya berkata, “Kakak tahu, apa kamu rasa. Sebab itu kakak cover“. Saya meneruskan perjalanan dengan sedikit sayu. Saya tahu kasut itu kasut lelong yang dibeli oleh ayah saya. Itu yang paling mampu dibeli dan saya menerimanya. Untuk seorang kanak-kanak sekecil saya ketika itu, belum tahu erti SYUKUR.

Kini, saya mampu membeli kasut yang berjenama dan mahal-mahal. Ironinya, saya tidak mahu membelinya kerana setiap kali saya mahu berbelanja, terbayang anak-anak kecil yang miskin papa tidak mampu membeli kasut pun di hari raya. Anak saya, sudah pasti mereka tidak punya pengalaman seperti saya. Namun, mereka akan belajar betapa sukarnya mendapatkan sesuatu dalam hidup supaya mereka tahu erti SYUKUR.

BACA: Kisah Syukur Seorang Pakcik Yang Sudah Berkahwin 40 Tahun Tetapi Tiada Anak

BACA Lagi: Hidup Miskin Ketika Kecil Menjadikan Wanita Ini Bercita-Cita Besar Dan Travel Keliling Dunia

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram