Seorang bekas pekerja asing Indonesia membuka cerita bagaimana kehidupannya menjadi gelap dan mendung apabila diseksa secara kejam lebih lapan bulan oleh majikannya yang juga seorang warga Malaysia.

Telinga yang cacat, empat gigi yang hilang dan parut di bibir atasnya adalah antara kenangan pahit yang meninggalkan kesan dalam buat Meriance Kabu bagaimana kejamnya beliau dilayan demi untuk mencari rezeki.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Cerita penuh perit yang berlaku pada 2014 ini digambarkan secara terperinci oleh beliau dalam laporan BBC Indonesia, sehingga beliau mempersoalkan kepada dirinya bagaimana beliau boleh menghadapi semua ini.

Dia menggambarkan bahawa dirinya seperti sebuah ‘punching bag’, di mana dia mendakwa bahawa majikannya bertindak kejam terhadap dirinya dengan memukulnya setiap hari sehingga menyebabkan luka berdarah dan lebam di bahagian badan serta muka.

Selain itu, dia mendakwa telah diseksa dengan pelbagai cara. Majikannya menggunakan apa sahaja yang ada di rumah tersebut, antaranya seterika panas, pinset, tukul, baton dan playar.

Meriance berkata bahawa beliau mula dipukul bermula tiga minggu selepas bekerja di rumah majikannya apabila beliau tersilap memasukkan ikan ke dalam peti sejuk. Sejak itu, beliau mendakwa dipukul setiap hari.

Meriance yang ketika itu berusia 32 tahun berkata, sepanjang bekerja di sana selama lapan bulan, majikannya tidak pernah membenarkannya keluar dari pangsapuri tempat dia bekerja.

Ibu kepada empat anak itu mendakwa seksaan dan pukulan ke atasnya akan  berhenti apabila majikannya penat, dan beliau kemudiannya diarahkan oleh majikannya untuk membersihkan darahnya sendiri yang terpercik di lantai dan dinding.

Selepas lapan bulan, Meriance akhirnya menulis nota yang memperincikan nasibnya dan membuangnya keluar dari pagar besi yang terkunci dengan harapan mereka yang lalu lalang di bahagian kaki lima rumahnya dapat membaca nota tersebut.

“Tolong saya, saya sedang diseksa oleh majikan saya,” tulis Meriance. “Saya berlumuran darah setiap hari, tolong saya!” Mujur seorang jiran menemui nota tersebut dan melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa, dan Meriance diselamatkan pada hari yang sama.

Menurut laporan BBC Indonesia, penderaan yang dialami oleh Meriance sangat teruk sehingga suaminya, Karvius, tidak mampu mengenalinya selepas beliau diselamatkan.

Majikannya pula telah didakwa pada 2015 atas cubaan membunuh, cedera parah, pemerdangan manusia dan pelanggaran undang-undang imigresen. Bagaimanapun pendakwa raya menggugurkan kes tersebut pada 2017 selepas gagal mengemukakan bukti yang cukup.

Duta Besar Indonesia Hermono, yang bertemu Meriance Oktober lalu, berkata pihak kedutaan akan mengarahkan agar kes itu dibuka semula. Manakala Kementerian luar Malaysia memberitahu BBC Indonesia ia akan “memastikan keadilan akan dilaksanakan mengikut undang-undang”.

Untuk rekod, menurut laporan Free Malaysia Today, peguam CR Selva memberitahu bahawa bekas majikan Meriance telah didakwa sekali lagi pada Januari lalu, dengan kes itu ditetapkan untuk sebutan di hadapan Wan Mohd Norisham Wan Yaakob di mahkamah sesyen Ampang.

Selva, yang bertanggungjawab sebagai pemerhati untuk kedutaan, berkata Serene Ong Su Ping dan Sang Yoke Leng, majikan kepada Meriance sebelum ini telah dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) pada 2017.

Sang dan Ong kini telah didakwa ke atas kesalahan pemerdagangan manusia manakala Ong juga menghadapi pertuduhan tambahan iaitu cubaan membunuh dan menyebabkan kecederaan yang teruk. Kes itu akan disebut semula pada 17 April ini.