“Kenapa perlu dapat keputusan yang hebat dalam UPSR?”

Inilah pertanyaan aku setiap kali berceramah.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Dapat 6E, boleh masuk sekolah menengah. 6C boleh masuk sekolah menengah. 1A1B1C1D2E pun boleh masuk sekolah menengah. 6A yang gila-gila belajar tu pun, masuk sekolah menengah jugak.”

“Dah tu, kenapa perlu keputusan yang bagus dalam UPSR?”

Terdiam budak-budak apabila diajukan soalan begini. Logik juga. UPSR ini useless sebenarnya. Ada atau tidak, berjaya atau gagal, pelajar tetap akan masuk ke sekolah menengah.

Ada jawapan yang menyangkal pertanyaan itu.

“Kita perlu dapat keputusan cemerlang sebab nak masuk asrama penuh.”

Lantas aku terus ‘tebas’ jawapan ini.

“Tahun 2015, daripada lebih kurang 456,000 pelajar ambil UPSR, ada 38,000 pelajar yang dapat 5A. Tempat untuk asrama penuh di seluruh Malaysia tidak sampai pun 20,000 orang.”

“Dah dapat 5A penat-penat, tetapi harapan untuk dapat asrama penuh tu tipis. Jadi, baik tak payah dapat 6A. Dapat keputusan biasa-biasa, pergi sekolah harian, hidup pun senang, kan?”

Semua pelajar saling berpandangan. Ah sudah. Betul juga apa yang Abang Farid ni kata.

Melihatkan sudut pandang mereka mula goyah, aku terus pintas dengan membuka slide presentation.

Pertama, gambar bekas pelajar cemerlang SPM dicium oleh ibunya.

Kedua, gambar bekas pelajar cemerlang UPSR dicium oleh ayahnya.

Kemudian, gambar-gambar ibu dan ayah masing-masing mencium anak yang mendapat keputusan hebat. Banyak yang aku paparkan. Sambil papar, sambil bercerita tentang latar belakang gambar tersebut.

“Adik-adik, berdasarkan gambar ini, apa yang kamu dapat?”

“Mak ayah gembira dengan keputusan anak dia,” jawab beberapa orang pelajar.

“Ya benar.

Hairan, kenapa kita perlu dapat 6A dalam peperiksaan. Padahal apa-apa keputusan pun, gagal ke berjaya ke, perjalanan hidup kita tetap sama, iaitu menerjah ke alam sekolah menengah. Sama. Semua sama.

Tetapi adik-adik, UPSR sebenarnya lebih daripada itu. Kalau kamu tak sedar, UPSR ini bukan berkisar tentang diri kamu. UPSR ini bukan untuk kamu. Keputusan UPSR yang akan kamu dapat nanti bukan untuk diri kamu.

Tetapi, tujuan kamu perlu mendapat keputusan yang terbaik di dalam UPSR adalah kerana inilah kali pertama untuk kamu buktikan yang kamu mampu balas jasa ibu dan ayah kamu.

UPSR ini mungkin tak penting bagi kamu, tetapi ia penting untuk ibu dan ayah kamu. Mereka nak lihat, 12 tahun mereka besarkan kamu, apakah yang mampu kamu bagi pada mereka?

UPSR ini penting untuk mereka kerana inilah antara titik awal untuk mereka berasa lega dengan masa depan kamu. Kamu tak jadi ibu bapa lagi. Kalau dah jadi, kamu akan tahu betapa gentarnya rasa memikirkan tentang masa depan anak-anak.

Akhir sekali, UPSR ini penting bagi mereka kerana mereka mahu ianya menjadi kebanggaan keluarga.

Bayangkan apa yang akan terjadi selepas keputusan UPSR diumumkan pada November nanti. Orang akan bertanya, ‘Berapa A anak kau?’ Alangkah bagusnya yang terpacul dari mulut ibu ayah kamu, sesuatu yang boleh dibanggakan.”

Adik-adik,

Kita tak tahu kenapa kita perlu skor dalam UPSR. Sedangkan jawapannya mudah sahaja:

Kerana kita mahu membahagiakan ibu bapa kita.

Belajarlah dari awal untuk membuat mereka tersenyum.

Kerana pada akhirnya, kita akan sedar, setiap perbuatan kita juga mahu membuat mereka gembira.”

Ayuh sama-sama kita doakan agar semua pelajar tahun enam agar dipermudahkan dan mendapat kejayaan pada UPSR yang berlangsung 5 hingga 8 September ini.