Siapa yang tak suka kentang? Saya fikir sejak bayi pun kita dah diberi kentang (yang dipuri, dilenyek) dan kalau perasan, makanan berasakan kentang memang banyak. Boleh dikatakan kentang ini macam makanan universal pula kan? Macam-macam boleh.

Kentang memang sumber makanan yang popular. Kentang putar, jejari kentang, kerepek kentang. Banyak makanan boleh dihasilkan daripada kentang. Tapi hati-hati dengan cara masakan kentang, sebab kentang yang asalnya memberikan nilai kalori yang agak rendah boleh meningkat kalorinya jika dimasak dengan cara yang menambahkan lemak dan minyak.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Disebabkan itulah kentang sering disalah erti sebagai makanan yang menggemukkan! Sedangkan jika dibakar atau dipanggang, sebenarnya kentang merupakan makanan yang sihat dan berserat tinggi yang mampu bantu melindungi tubuh daripada penyakit kardiovaskular dan kanser.

Kentang tergolong dalam kumpulan Solanaceae bersama tomato, terung dan capsicum antaranya. Ia merupakan bahagian yang membengkak pada batang yang tumbuh bawah tanah yang dipanggil tuber dan diciptakan untuk membekalkan makanan kepada bahagian yang berdaun hijau pada pokok kentang.

1 cawan kentang bersamaan nilai kalori 161 dan mempunyai nilai GI dalam kategori tinggi, iaitu sekitar 70-80. Nutrien yang terkandung dalam kentang pula adalah vitamin B6, kalium, kuprum, vitamin C, mangan, fosforus, fiber, vitamin B3 dan asid pantotenik.

Kegunaan Kentang Dalam Masakan

Selain sebagai bahan utama, kentang juga sering dijadikan bahan sampingan untuk menyedapkan lagi hidangan. Kentang lazimnya dimasukkan ke dalam hidangan kari, masak lemak, kurma atau sup. Kentang juga dijadikan sebagai pemekat kuah dan memberi rasa manis yang semula jadi pada kuah.

Jenis-jenis Kentang

Dipercayai terdapat 16 jenis kentang yang mana setiap satunya dimasak mengikut cara yang sesuai lazimnya mengikut tahap kandungan kanji. Anda boleh kenal pasti jenis kentang dan cara masakan yang sesuai selanjutnya di sini.

Cara Simpan Kentang Supaya Tahan Lama

1. Elak membasuh kentang sebelum disimpan. Cukup hanya dibuang kulit dan terus disimpan. Bila kentang dibasuh, kentang tersebut akan menjadi lembap dan berair dan memudahkan pembiakan bakteria. Akibatnya kentang akan cepat busuk.

2. Simpan pada suhu bilik dan jauh daripada cahaya matahari. Jika dalam keadaan lembap, tunas kentang mudah tumbuh maka kentang tersebut dikatakan tidak bagus untuk dimakan lagi.

3. Asing dan buangkan kentang yang mula busuk. Biasanya kentang dibeli dalam guni atau plastik besar, pasti ada kentang yang tidak elok. Asingkan dan terus buang untuk mengelakkan kentang tersebut memindahkan bakteria kepada kentang lain yang masih baik keadaannya. Jadi kentang yang tinggal boleh ditingkatkan jangka hayatnya.

4. Jangan simpan kentang dengan bawang. Kadang-kadang kita simpan kentang sekali dalam bekas bawang bukan? Sebolehnya diasingkan kerana kedua-dua tumbuhan ini bila diletakkan bersama akan menghasilkan sejenis gas yang boleh saling merosakkan antara satu sama lain. Rugi. Jadi simpan kedua-duanya dalam bekas yang berlainan untuk tahan lebih lama.

Tip Membeli Kentang Berkualiti

1. Permukaan yang halus dan tidak beralun.
2. Masih berat dan tiada lubang di permukaan kulitnya.
3. Tidak retak, tidak busuk dan tidak ada retakan di kulitnya.
4. Pilih kentang yang mempunyai kulit tebal, tandanya terdapat garis-garis coklat pada kulit kentang.
5. Kentang berwarna kuning muda atau putih kekuningan, elak membeli kentang yang kehijauan kerana kentang tersebut sudah banyak terdedah kepada cahaya matahari dan menghasilkan toksin yang boleh memudaratkan tubuh.
6. Masih bertekstur keras dan tidak bertunas.

Cadangan Menu Berasaskan Kentang

Berikut tiga cadangan menu kentang yang popular, sedap, mudah dan siap dalam hanya 30 minit sahaja. Bolehlah cuba kalau ada banyak kentang di dapur itu ya.

1. Bergedil

Kupas kulit kentang dan potong dadu kecil. Gorengkan. Dah agak separuh masak, angkat dan tos sekejap. Kemudian dilenyek kasar semasa masih panas. Tambah garam, serbuk lada hitam, daun sup cincang (kalau ada) ke dalam kentang lenyek tadi. Buat bebola kecil, kemudian penyekkan sedikit. Celup ke dalam telur, kemudian goreng. Siap!

2. Kentang lenyek

Cuci kentang bersih-bersih. Belah empat atau enam (lebih kecil, lebih cepat masak dan empuk) lalu rebus hingga masak. Angkat, tos dan siram dengan air biasa. Dah sejuk sikit, tarik saja kulit kentang tu. Kemudian lenyekkan kentang rebus tadi guna hand blender, alat penyek kentang atau garfu. Tambah sedikit susu segar, garam dan serbuk lada hitam. Kalau suka, tambah keju. Siap!

3. Salad kentang

Sama seperti nak buat kentang lenyek, cuci kentang bersih-bersih. Belah empat atau enam, rebus hingga masak. Angkat, tos dan siram dengan air biasa. Dah sejuk sikit, tarik saja kulit kentang tu. Tapi jangan dilenyek pula! Potong bawang besar dadu kecil atau dicincang kasar, hiris daun bawang, cedokkan beberapa sudu mayonis dan gaulkan bersama kentang rebus tadi. Sedia dihidang. Simpan dalam peti ais. Lagi sedap kalau dimakan sejuk.