JD Sports Malaysia telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung spekulasi yang ‘panas’ diperkatakan semalam. Di sini adalah kenyataan rasmi dari pihak JD Sports Malaysia berhubung spekulasi semalam.

“Kami memahami sentimen yang mengetengahkan perihal JD Sports Pavilion yang menolak hak pekerja kami untuk menunaikan solat. Kami ingin memaklumkan dan menjamin semua pelanggan, rakan-rakan dan rakan kongsi yang beragama Islam bahawa ini bukan polisi yang kami amalkan, dan ianya merupakan tindakan seseorang individu yang melanggar falsafah syarikat JD Sports.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kami tidak akan bertoleransi terhadap sebarang kelakuan yang tidak menghormati hak budaya dan agama masing-masing. Kami telah menyiasat kejadian ini dan mengenal pasti staf yang bertanggungjawab atas hal ini. Perkhidmatan individu tersebut telah ditamatkan serta-merta atas salah lakunya selepas melaksanakan siasatan dalaman secara terperinci.

Walaupun JD Sports merupakan sebuah syarikat antarabangsa, kami akan terus menerap dan menjaga nilai budaya serta kepercayaan agama masing-masing. Kami tidak akan bertoleransi terhadap sebarang tingkah laku yang melibatkan unsur-unsur diskriminasi dan akan terus mencuba sedaya upaya untuk mengekalkan prinsip dan nilai ini.”

Semoga kes ini menjadi ikhtibar kepada semua serta syarikat-syarikat di luar sana agar sentiasa menjaga keharmonian serta kepercayaan agama masing-masing. Tahniah buat JD Sports Malaysia yang menangani kes ini secara professional dan tegas.