Antara manifesto Pakatan Harapan yang hangat dituntut dan diperkatakan oleh orang ramai ialah mengenai isu penghapusan tol. Kata putus mengenai perlaksanaan penghapusan tol di seluruh Malaysia bakal diketahui dalam masa 2 hingga 3 bulan lagi.

Berdasarkan sepuluh janji yang harus dilaksanakan dalam masa 100 hari selepas kemenangan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 yang lalu, Tun Mahathir Mohamad memberitahu kerajaan PH akan menamatkan bayaran tol di seluruh negara secara berperingkat.

Menurut kenyataan Menteri Kerja Raya, Baru Bian, beliau kini sedang berada dalam proses perbincangan dengan pihak syarikat konsesi mengenai penghapusan tol. Perbincangan itu mengambil masa yang agak panjang untuk mendapat kata sepakat oleh semua pihak berkepentingan dalam proses perlaksanaan manifesto ini.

Baru Bian memberitahu setakat ini kesemua pihak berkepentingan seperti syarikat konsesi memberikan kerjasama yang baik dan amat memahami keadaan ekonomi masa kini. Oleh itu, beliau amat mengharapkan agar perbincangan ini bakal menerima kata sepakat tidak lama lagi.