Kejadian banjir yang berlaku baru-baru ini telah menyebabkan ratusan kenderaan rosak akibat ditenggelami air. Hal ini menyebabkan mangsa-mangsa terkesan daripada segi kewangan untuk membaiki kenderaan mereka.

Bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir, pihak kerajaan telah mengambil satu langkah proaktif dengan memberikan baucar sebanyak RM1,000 untuk pembaikan atau pembelian bagi menggantikan kenderaan peribadi yang rosak sepenuhnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,  hampir semua syarikat kereta menawarkan khidmat tunda percuma dan potongan harga lebih 25% bagi kenderaan rosak akibat banjir.

Perodua akan menyediakan perkhidmatan tunda kereta ke pusat servis Perodua secara percuma dan bersetuju memberikan kos upah baik pulih dan servis berkaitan secara percuma dan diskaun 50 peratus ke atas alat ganti.

“Manakala Proton bersetuju memberi diskaun alat ganti sebanyak 50 peratus bagi kebanyakan model serta menawarkan caj tunda dan cuci kereta secara percuma di pusat servis mereka yang berdaftar.

“Bagi syarikat kereta lain pula, hampir semua bersetuju menyediakan perkhidmatan tunda kereta secara percuma dan diskaun sebanyak 25% atau lebih untuk alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis berdaftar.

“Malah beberapa syarikat pula menawarkan bayaran secara ansuran sehingga tempoh satu tahun,” kata beliau dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Memetik laporan Utusan,  Perdana Menteri juga mengumumkan moratorium bayaran balik selama 6 bulan kepada mangsa banjir yang melibatkan pinjaman pembiayaan kenderaan, perumahan dan hartanah, pinjaman peribadi serta kad kredit.

*Ikuti perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara melalui laman Facebook terbaharu kami, Vocket Car Club.

Baca lebih lanjut perkhidmatan nilai tambah disediakan oleh Perodua bagi meringankan beban yang perlu ditanggung oleh pelanggan yang terkesan dengan bencana banjir melalui pautan di bawah.

Perodua Tawar Pemeriksaan Percuma, Diskaun Dan Rebat Untuk Kenderaan Mangsa Banjir

https://www.thevocket.com/ini-sebab-mengapa-anda-tidak-digalakkan-untuk-redah-air-banjir/?utm_source=oembed&utm_medium=web&utm_campaign=20211230