Institut Dasar Strategik Australia (ASPI) dalam satu laporan khas mendakwa bahawa kerajaan China telah menghantar kumpulan minoriti Uighur China untuk berkerja secara paksa di kilang jenama besar, lapor BBC.

ASPI turut mendakwa bahawa kaum muslim Uighur tidak mampu untuk menolak tawaran kerja tersebut selepas menerima ancaman tahanan tanpa bicara daripada pihak berkuasa China.

China sebelum ini telah menahan kira-kira sejuta umat Islam Uighur di kem tahanan, tujuannya adalah untuk melawan fahaman ‘extremist’. Namun media antarabangsa mendakwa bahawa kem tersebut dibina untuk tujuanĀ brain wash.

Lebih 80,000 kaum muslim Uighur telah dipindahkan jauh dari Xinjiang bagi tujuan untuk bekerja di kilang-kilang besar yang terdapat di seluruh China.

ASPI melaporkan bahawa kaum muslim Uighur dipindahkan melalui skim pemindahan pekerja yang mula berkuat kuasa di bawah polisi kerajaan pusat yang dikenali sebagai Xinjiang Aid.

Laporan ini turut mendakwa bahawa berlaku ‘jual beli’ di antara kerajaan China dan broker swasta dengan membayar mengikut ‘harga per kepala’ di mana ASPI merujuk situasi ini sebagai ‘fasa baharu penindasan hak asasi manusia di China’.

Sejak 2017, terdapat 27 kilang di sembilan wilayah di China yang telah menggunakan tenaga kerja daripada kaum muslim Uighur secara paksa.

Ia berkata kilang-kilang ini merangkumi rantaian bekalan untuk 83 jenama global yang terkenal – termasuk Nike, Apple dan Dell, lapor The Independent.

ASPI turut berkata bahawa kaum muslim Uighur turut dipaksa tinggal di asrama yang dibina khas. Mereka juga akan mempunyai sesi pembelajaran bahasa Mandarin dan ‘latihan ideologi’ di luar waktu kerja.

Lebih teruk lagi, ASPI mendakwa kumpulan minoriti ini akan dikawal selama 24 jam dan diharamkan daripada melakukan apa-apa ritual agama.

The Washington Post pernah mengeluarkan laporan khas ketika berkunjung ke salah sebuah kilang Nike di China yang menggunakan tenaga buruh kaum muslim Uighur. Keadaan di kilang terbabit menyerupai penjara, dengan dawai berduri diletakkan di bahagian pagar, manakala kawasan ini dijaga oleh polis dan menara pengawal.

“Laporan kami jelas bahawa pemisahan Uighur dan etnik minoriti lain di Xinjiang mempunyai ciri eksploitasi ekonomi yang sangat kuat,” kata penulis laporan itu, Nathan Ruser.

Laporan penahanan yang meluas di kem tahanan di Xinjiang pertama kali didedahkan pada 2018. Pihak berkuasa China berkata ia dibina bagi tujuan ‘pendidikan’ bagi memerangi golongan pelampau agama.

Tetapi bukti menunjukkan kerajaan China menahan mereka kerana menjalankan aktiviti beragama – sembahyang, berdoa atau memakai tudung.

Berikut adalah cerita lain mengenai muslim Uighur untuk bacaan anda, klik pautan di bawah.

Coronavirus Dan Nasib Kaum Muslim Uighur Di Kem Tahanan Jadi Tanda Tanya

Malaysia Buka Pintu Buat Kaum Muslim Uighur Yang Mencari Suaka