Kerajaan didakwa membuat bayaran persaraan atau pencen ahli politik bertaraf ahli Parlimen dan Anggota Pentadbiran kerajaan termasuk bekas Perdana Menteri difahamkan mencecahkan sehingga RM2 bilion setahun. Jika dihitung jumlah perbelanjaan ini, pelbagai infrastruktur mampu dibina, malah masalah air di Kelantan dan Kedah turut mampu dipulihkan jika kerajaan tidak menanggung wang persaraan tersebut.

Perkara ini didedahkan sendiri oleh pengamal undang-undang, Datuk Khairul Anwar Rahmat di laman Facebook beliau. Dalam hantaran yang dimuat naik pada 3 June lalu, Khairul Anwar berkata bahawa sumber beliau yang digelar sebagai ‘blue bird’ mendakwa bahawa kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM2 bilion setahun membayar pencen ahli politik yang bertaraf Ahli Parlimen, Timbalan Menteri, Menteri dan Perdana Menteri.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tambah beliau lagi, wang yang ditanggung kerajaan ini masih belum termasuk jika seseorang ahli politik tersebut pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri, Exco atau Menteri Besar.

“Terperanjat sungguhlah bila dapat tahu sekiranya benar bahawa saraan ahli politik pencen mencecah RM2 billion setahun. Saja buat quick check, wang RM2 billion boleh bina 2 buah hospital canggih (RM1 billion sebuah). Boleh bina 10 biji sekolah jika diandaikan kos sebuah sekolah ialah RM200 juta.

“Nanti saya nak minta kenalan Ahli Parlimen (samada kerajaan atau pembangkang) ‘cucuk’ sikit soalan ini dalam sesi Parlimen. Benarkah jumlah RM2 Billion setahun, serta berapa ratus (atau ribu) orang bekas ahli politik Parlimen yang dapat bayaran pencen bertaraf kayangan ini?” Katanya.

Untuk rekod, di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980, undang-undang ini menetapkan ahli Dewan Rakyat yang telah melengkapkan sekurangnya 36 bulan perkhidmatan, layak mendapat pencen maksimum 3/5 daripada gaji. Sebagai contoh, gaji ahli Parlimen adalah RM16,000 maka pence diterima adalah 3/5 x RM16,000 = RM9,600.

Menerusi laporan Utusan Malaysia pula, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr. Jeniri Amir pula memandang isu ini sebagai sesuatu yang tidak adil kerana ahli Parlimen dapat menikmati pencen yang besar sedangkan mereka hanya bekerja dalam tempoh waktu yang singkat, sedangkan penjawat awam diminta berkhidmat selama 20 tahun untuk mendapat wang persaraan.

Beliau juga merasakan sukar untuk meminda Akta-Akta Parlimen kerana perkara itu memerlukan persetujuan ahli parlimen dan melibatkan periuk nasi mereka selepas tamat perkhidmatan nanti.