Kerajaan sudah menyita dan melucut hak pelbagai harta bernilai lebih RM83 juta yang berkait dengan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) setakat ini, petik Harian Metro.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata tindakan pelucuthakan harta itu membabitkan wang tunai, wang dan faedah dalam akaun bank serta 40 beg tangan pelbagai jenama.

Baca Juga:

Menurut beliau, ia merangkumi harta yang disita Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dengan wang berjumlah lebih RM83 juta itu sudah dimasukkan dalam dua akaun kerajaan.

“Kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara telah memfailkan permohonan pelucuthakan harta di bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 terhadap harta hasil daripada penyelewengan dana 1MDB.

“Setakat ini, harta yang disita PDRM dan SPRM yang berjaya dilucuthak kepada kerajaan adalah wang tunai serta wang dan faedah dalam akaun bank berjumlah kira-kira RM66.96 juta oleh PDRM dan RM16.06 juta oleh SPRM, serta 40 beg tangan pelbagai berjenama yang dianggarkan bernilai ratusan ribu ringgit.

“Wang berjumlah kira-kira RM66.96 juta yang disita PDRM sudah dimasukkan ke dalam akaun amanah khas Kementerian Kewangan, manakala wang berjumlah kira-kira RM16.06 juta yang disita SPRM dimasukkan ke dalam akaun hasil kerajaan.

“Sebanyak 40 beg tangan yang sudah dilucuthak masih dalam proses untuk dilelong,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Penerangan itu buat bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang bertanyakan jumlah dan jenis aset hasil daripada penyelewengan dana 1MDB yang berjaya dilucuthakan oleh kerajaan.

Sumber