Kerajaan Malaysia telah meluluskan pinjaman bernilai RM1 bilion ($ 242 juta) kepada kumpulan AirAsia yang terkesan akibat wabak COVID-19 yang menyerang dunia sejak akhir tahun lalu.

Pinjaman yang akan dibuat oleh bank tempatan di bawah skim kerajaan bagi membantu syarikat yang terkesan akan dijamin sebanyak 80% oleh Kementerian Kewangan Malaysia, menurut sumber kementerian kepada Nikkei Asia.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“1 bilion ringgit dianggap sangat penting bagi AirAsia, untuk digunakan bagi pembayaran pinjaman jangka pendek dan dana modal kerja,” kata satu sumber yang dekat dengan kementerian itu. Pembayaran dijangka akan dimulakan bulan depan.

Seperti syarikat penerbangan yang lain, AirAsia turut dilanda kemerosotan perniagaan apabila tidak dapat melakukan penerbangan selepas pintu sempadan ditutup bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Kumpulan itu, yang dikendalikan oleh CEO Tony Fernandes, telah memotong lebih dari 10% tenaga kerja dan merancang untuk mengecilkan armada pesawatnya bagi membendung biaya.

Dalam temu bual dengan Nikkei Asia pada bulan Julai, Fernandes mendedahkan bahawa syarikat penerbangan itu perlu mengumpul RM2 bilion dalam masa enam bulan akan datang untuk berada dalam kedudukan “sangat selesa”.

Sumber mengatakan bahawa kerajaan pada awalnya menawarkan pinjaman RM500 juta sebelum memenuhi permintaan AirAsia untuk RM1 bilion.

Pinjaman kepada AirAsia akan dikeluarkan oleh institusi kewangan tempatan di bawah Skim Jaminan Danajamin Prihatin 50 bilion, yang dikendalikan oleh Danajamin Nasional – penjamin kewangan milik kerajaan.

Untuk enam bulan pertama tahun ini, AirAsia melaporkan kerugian bersih 1.8 bilion ringgit berbanding keuntungan bersih 111.78 juta ringgit untuk tempoh yang sama pada tahun 2019. Pendapatan juga turun lebih separuh hingga 2.43 bilion ringgit daripada 5.65 bilion ringgit sebelumnya.

Sementara itu, kementerian kewangan Malaysia menolak untuk memberi apa-apa bantuan kepada syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines.

Laporan media menyebut Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mengatakan bahawa kerajaan tidak akan campur tangan dalam pengendalian syarikat itu dan Khazanah Nasional, yang memiliki syarikat penerbangan itu, harus memutuskan pelan apa pun dari sumbernya sendiri.

Menurut Reuters, Malaysia Airlines mungkin akan menghentikan operasi jika rundingan penstrukturan gagal.

Dalam masa yang sama, bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak dalam kenyataan terbaharunya menyatakan bahawa dia tiada masalah dengan bantuan yang disalurkan kerajaan kepada AirAsia.

“Saya tak bantah AirAsia dapat bantuan RM1 bilion dari kerajaan PN sebab ribuan pekerjaan warga Malaysia terjejas. Saya faham. Tapi saya harap bantuan kerajaan lebih besar disalurkan kepada MAS. Jangan tolong AirAsia tapi tolak MAS,” katanya di laman Facebook miliknya.

Untuk bacaan lanjut, klik pautan di bawah.

Neelofa Letak Jawatan Sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif AirAsia

AirAsia Ditawar Pinjaman RM4.15 Bilion Melalui Pertukaran Data Pelanggan

Lancar Logo Dan Identiti Baru, AirAsia Tawar Promosi Sehingga 90% Seluruh Stor Bermula 12 Oktober