Kerajaan negeri boleh berhadapan tindakan undang-undang oleh pihak industri jika ekonomi tidak dibuka semula di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) seperti yang diputuskan oleh kerajaan pusat.

Menteri Kanan, Mohamed Azmin Ali berkata semua negeri perlu mempunyai sikap kerjasama bagi membuka semula ekonomi selaras dengan keputusan kerajaan melonggarkan perintah kawalan pergerakan (PKP).

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tambahnya lagi bahawa keputusan kerajaan persekutuan adalah sah dari segi undang-undang merujuk Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan mengikut kuasa Persekutuan.

“Sekiranya kerajaan negeri tidak memberikan kerjasama untuk melaksanakan Akta 342 yang telah dijadikan undang-undang yang berkuatkuasa di seluruh negara, kerajaan-kerajaan negeri berkenaan mungkin terdedah kepada tindakan undang-undang daripada pelbagai pihak, khususnya dari pihak industri.

“Akta 342 telah digubal dan dikuatkuasakan mulai 1 April 1989 berikutan persetujuan negeri-negeri pada masa itu termasuklah Sabah dan Sarawak untuk mewujudkan satu undang-undang yang seragam bagi tujuan mencegah dan mengawal penyakit berjangkit di Malaysia dan berkuat kuasa di seluruh negara,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.

Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) turut menyuarakan pandangan sama, di mana mereka menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak boleh menghalang mana-mana syarikat untuk memulakan operasi bermula 4 Mei.

Azmin turut menyatakan bahawa keputusan untuk membuka semula sektor ekonomi dibuat dengan penuh teliti, berhati-hati dan bertanggungjawab serta didokong oleh data dan kajian oleh Kementerian Kewangan, MITI, Bank Negara Malaysia dan Khazanah Nasional Berhad.

Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri dilaporkan telah dibentangkan dengan hasil kajian berhubung keputusan itu pada Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada 28 April.

Hasil daripada pertemuan itu, katanya, kerajaan negeri tahu bahawa sekiranya perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sedia ada dilanjutkan sehingga Jun 2020, kesan kumulatif kehilangan pendapatan negara dianggarkan sebanyak RM146 billion atau kekurangan sebanyak 10.3 peratus KDNK.

“Keadaan ini akan menghapuskan kemajuan ekonomi yang telah dicapai sepanjang empat tahun yang lalu.

“Sehubungan dengan itu, mesyuarat ini telah bersetuju untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi dalam tempoh PKPB bermula 4 Mei,” katanya.

Antara kelonggaran PKPB adalah membenarkan empat sekeluarga keluar rumah dalam satu kereta, klik pautan di bawah untuk membaca.

PKPB Bolehkan Empat Sekeluarga Keluar Rumah Menaiki Sebuah Kenderaan

PM Umum Tiada ‘Balik Kampung’ Untuk Tahun Ini