Sebanyak RM28 bilion subsidi bahan api perlu dibayar oleh kerajaan tahun ini berikutan kenaikan harga minyak mentah global, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Mohd Shahar Abdullah, lapor The Star.

“Minyak mentah berada pada AS$85 (RM359) setong pada Januari tahun ini, lebih tinggi daripada AS$55 (RM232) setong bagi tempoh yang sama tahun lalu. Disebabkan ini, kerajaan terpaksa menanggung kenaikan drastik sebanyak sepuluh kali ganda dalam subsidi untuk petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG). Ini bermakna peningkatan subsidi daripada RM200 juta pada Januari tahun lepas kepada RM2 bilion untuk Januari tahun ini,” katanya kepada Datuk Amiruddin Hamzah (Parlimen Kubang Pasu) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata kerajaan perlu membayar subsidi sehingga RM28 bilion tahun ini jika harga minyak mentah kekal melebihi paras AS$100 (RM422) setong berbanding RM11 bilion untuk 2021. Mohd Shahar berkata rakyat Malaysia membayar RM2.05 untuk seliter bahan api RON95, walaupun ia akan menelan kos RM3.70 seliter jika tiada subsidi.

Tambah beliau lagi, harga RON95 seliter di Malaysia masih rendah berbanding negara lain seperti Arab Saudi (RM2.61), Thailand (RM6), Indonesia (RM3.78) dan Singapura (RM9.20).

Kepada soalan tambahan Amiruddin, Mohd Shahar berkata walaupun Malaysia telah mendapat manfaat daripada harga minyak yang tinggi sebagai negara pengeluar minyak, keuntungan itu digunakan untuk mengimbangi kos subsidi bahan api.

Beliau berkata kerajaan menganggarkan keuntungan RM44 bilion berdasarkan minyak mentah Brent yang dijual pada AS$68 (RM287) setong.

“Tetapi setakat Mac tahun ini, minyak mentah Brent berlegar pada kira-kira AS$96 (RM405) setong,” katanya.

Mohd Shahar berkata, angka yang diberikan hanyalah anggaran, kerana kos sebenar hanya boleh dikira selepas mengambil kira kesan konflik Rusia-Ukriane.

Tambahnya, kerajaan kini sedang mengkaji cara untuk melaksanakan lebih banyak subsidi bersasar untuk segmen tertentu Keluarga Malaysia bagi memastikan hanya mereka yang layak mendapat manfaat daripada subsidi itu.

20 tip jimat minyak kenderaan yang mungkin anda tidak tahu. Rujuk pautan di bawah untuk membaca.

20 Tip Jimat Minyak Kenderaan Yang Mungkin Anda Tidak Tahu

Deepwater Horizon (2016) Filem yang Ditunggu-tunggu Oleh Orang Minyak

7 Mitos Kecekapan Minyak Kereta, Auta Atau Fakta