Setiap antara kita pastinya pernah merasakan betapa peritnya kehilangan insan yang tersayang. Walau bagaimanapun, kehidupan mesti diteruskan dan mereka yang telah pergi buat selama-lamanya pastinya tidak mampu untuk dihidupkan kembali.

Namun, tahukah anda akan kisah seorang lelaki di Shandong, China ini yang sanggup membekukan jasad mendiang isterinya ke dalam sebuah tangki sejuk beku kerana beliau percaya bahawa masih ada ‘talian hayat’ buat isterinya untuk dihidupkan semula di masa hadapan?

Meninggal dunia disebabkan kanser paru-paru

Berdasarkan laporan China Press, Gui Junmin telah kehilangan isterinya, Zhan Wenlian, 49 tahun, disebabkan kanser paru-paru pada awal 2017 yang lalu.

Sebelum Zhan meninggal dunia, Gui sempat mengadakan satu perjanjian bersama Institut Penyelidikan Sains Kehidupan Yinfeng dan bercadang untuk menempatkan isterinya ke dalam sebuah tangki simpanan mayat cryogenics

Gui Junmin membuat keputusan itu atas dasar cinta kerana baginya, isteri beliau masih belum mati; cuma sedang tidur.

Apakah cyrogenics?

shandong
Beberapa tangki cryogenics yang disimpan di Institut Penyelidikan Sains Kehidupan Yinfeng, Shandong, China | Sumber: South China Morning Post

Menurut Dailymail, tangki cryogenics ini merupakan mesin teknologi sains yang menggunakan suhu sejuk beku bertujuan untuk membekukan serta mengawetkan jasad manusia.

Setelah selesai melakukan penyelidikan dan berbincang bersama mereka yang pakar mengenai teknologi perubatan ini, Gui lantas mengambil keputusan untuk meminta persetujuan daripada isterinya.

Genggaman tangan tanda setuju

Saat Gui ingin berbincang, Zhan pada ketika itu sudah tidak mampu lagi untuk menggerakkan anggota wajahnya disebabkan sel kansernya yang mula merebak ke otak. Perasaan sedih mula menyelubungi Gui di saat isterinya terlantar di atas katil dan tidak mampu berkata apa-apa.

Demi mendapatkan persetujuan ini, Gui menyuruh Zhan supaya menggenggam tangannya sebagai tanda setuju untuk melaksanakan proses pengawetan cryogenics ini.

“Dia sempat menggenggam tangan saya buat kali terakhir dan itu ialah tanda bahawa dia bersetuju. Saya sempat memberitahu kepada Zhan; Sayang, awak hanya perlu pejamkan mata dan tidurlah untuk seketika waktu,” ujar sedih Gui kepada wartawan akhbar tempatan.

Jasad isteri disimpan ke dalam tangki cyrogenics

freeze
Kelihatan seorang petugas memasukkan jasad Zhan ke dalam tangki cyrogenics dan Gui sayu memandang gambar mendiang isterinya yang berkemungkinan boleh hidup semula pada  50 tahun akan datang. | Sumber: Mothership.sg

Pada 8 Mei 2017, Zhan dilaporkan sudah meninggal dunia disebabkan jantungnya yang tidak lagi mampu berfungsi. Jasad Zhan kemudiannya dihantar ke Institut Penyelidikan Sains Kehidupan Yinfeng bagi menjalani operasi pemindahan jasad ke dalam tangki cryogenics.

Gui pada ketika itu sempat melihat jasad isterinya buat kali terakhir sebelum dibekukan bagi tempoh selama 50 tahun. Difahamkan operasi pemindahan tersebut mengambil masa sekitar 55 jam untuk diselesaikan.

Mengapa 50 tahun? Kerana bagi Gui, beliau berharap dalam tempoh 50 tahun lagi pasti ada teknologi yang boleh ‘menghidupkan’ kembali mereka yang sudah tiada. Gui mahu mengambil risiko tersebut supaya beliau dapat ‘bertemu’ lagi dengan isterinya di masa akan datang.

Jasad Zhan kini disimpan ke dalam tangki cryogenics pada suhu -196°C yang dipenuhi dengan 2,000 liter cecair nitrogen. Bukan sahaja jasad Zhan yang disimpan di dalam tangki cryogenics bahkan seramai 10 jasad lain berumur antara 13 dan 72 tahun dilaporkan telah dibekukan di Institut Penyelidikan Sains Kehidupan Yinfeng ini.

Persis The Passengers di dunia nyata

Jika difikirkan balik, kaedah penyimpanan cryogenics jasad Zhan ini persis kisah dalam filem The Passengers (2016) yang mengisahkan Aurora Lane (Jennifer Lawrence) dan Jim Perston (Chris Patt) yang disimpan oleh orang tersayang ke dalam kapsul Passengers selepas Dunia kiamat.

Mereka berdua bersama 5,000 penumpang lain akan dihantar ke satu planet misteri dengan menaiki sebuah kapal angkasa yang mengambil masa perjalanan 120 tahun untuk sampai ke sana. Sebaik tiba, mereka semua akan dihidupkan semula di masa hadapan dan membina kehidupan baharu di planet tersebut.

Namun, harus diingat bahawa kita semua hanya manusia biasa dan tiada tandingannya dengan kuasa yang Esa. Kita cuma merancang, Tuhan yang menentukan.

Ini pula beberapa artikel lain yang menarik untuk dibaca di laman Vocket. Baca lagi pada pautan di bawah.

Kisah Sebenar Wanita Yang Hilang Selama Dua Tahun, Ditemui Masih Hidup Terapung Di Laut

Kenapa Sebahagian Manusia Mampu Mendengar Suara Roh Orang Yang Sudah Meninggal Dunia?