Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Pada bulan April lalu, negara jiran Indonesia telah memperlihatkan kepada dunia kereta api laju (Kereta Cepat Jakarta-Bandung/KCJB) pertama milik negara tersebut yang mampu membawa penumpang dari Jakarta ke Bandung dalam tempoh sekitar 40 minit sahaja.

Memetik laporan yang dikongsikan oleh CNBC Indonesia baru-baru ini, kereta api tersebut didakwa mampu bertahan dalam pelbagai jenis situasi bencana alam seperti angin kencang, hujan lebat, gempa bumi, objek asing dan sambaran kilat.

Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Presiden Direktur KCIC, Dwiyana Slamet Riyadi, beliau menyatakan pihak mereka telah pelbagai teknologi canggih telah dipasang pada landasan serta gerabak kereta api yang dapat mencegah dari sebarang bencana alam.

Dwiyana turut mengakui bahawa pihaknya telah menyediakan pelbagai instrumen bagi melindungi kereta api laju tersebut daripada sebarang ancamaan bahaya dengan membangunkan Pusat Pemantauan Bencana, sensor pengesan ancaman di sepanjang laluan KCJB dan Terminal Pemantauan Bencana di Tegalluar, Jawa Barat sebagai pusat pengurusan data bencana.

Bagi mengukuhkan lagi keselamatan pada kereta api laju tersebut, ia turut dilengkapi dengan sistem pengawasan CCTV, sistem perlindungan kilat, sensor pengesan gempa bumi, hujan lebat serta angin kencang dan sistem perlindungan objek asing.

Andai kata kereta api laju itu terputus bekalan elektrik utama, Dwiyana menegaskan pihak mereka telah bersedia dengan menyediakan bekalan elektrik sandaran di setiap gerabak yang mampu membantu kereta api laju beroperasi seperti biasa selama maksimum 120 minit selepas bekalan elektrik utama terhenti.

Bagaimanapun, melihat maklum balas yang dikongsikan oleh netizen Indonesia pada hantaran asal Facebook CNBC Indonesia, rata-rata berasa kurang yakin terhadap kemampuan kereta api laju ini untuk beroperasi tanpa ada masalah, lebih-lebih lagi selepas ia didakwa dapat mengatasi sebarang bencana alam.

Baca lagi info lanjut mengenai Kereta Cepat Jakarta-Bandung yang pernah kami kongsikan sebelum ini melalui pautan di bawah.

Projek ‘Bullet Train’ Indonesia Tawarkan Perjalanan Jakarta-Bandung Sekitar 40 Minit Sahaja

Anda Mungkin Suka