AirAsia Group Bhd mencatat peningkatan dalam kerugian bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 kepada RM5.09 bilion berbanding RM315.81 juta bagi tahun sebelumnya. Tahun lalu juga mencatatkan kerugian dari segi pendapatan dengan RM3.14 bilion direkodkan berbanding RM11.86 bilion sebelum ini, lapor Berita Harian.

Kumpulan itu turut mengakui bahawa impak pandemik terus memberi kesan kepada kewangan mereka apabila suku keempat yang berakhir pada 31 Disember 2020 terus merekodkan kerugian bersih yang terus bertambah kepada RM2.44 bilion berbanding RM384.44 juta. Selain itu, perolehan bagi tahun lalu turut susut kepada 92 peratus kepada RM267.44 juta berbanding RM3.23 bilion sebelum ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

AirAsia berkata bahawa perolehan bagi suku keempat 2020 adalah RM233.4 juta disebabkan kapasiti pesawat yang dikurangkan sebanyak 88 peratus berbanding suku keempat 2019.

Selain daripada itu, ini juga adalah kesan daripada pembendungan kos yang dijalankan oleh AirAsia, di mana ia memberi kesan kepada jumlah tenaga kerja, pemotongan gaji pekerja dan penstrukturan semula pembayaran kepada pemberi pajak, pembekal dan rakan niaga serta perstrukturan semula kedudukan perlindungan nilai bahan api.

Awani melaporkan bahawa impak pandemik COVID-19 telah menyebabkan jualan mereka berkurang dan sekatan perjalanan yang diumumkan di Malaysia bagi Oktober dan November terus menjejaskan jualan AirAsia bagi suku keempat tahun lalu. Namun mereka akan terus memberi fokus untuk menyambung semula operasi di peringkat domestik dan bergantung sepenuhnya kepada operasi ini pada tahun ini.

“Kami kekal komited untuk memperkukuhkan lagi kedudukan domestik kami pada masa ini berikutan kami menunggu perkembangan mengenai perjalanan udara antarabangsa. Pada masa akan datang, kami menjangka kestabilan operasi yang lebih baik susulan vaksinasi yang akan dilaksanakan secara berperingkat di semua pasaran utama.

“Ini disertai dengan kesedaran dan ujian yang lebih baik serta sokongan yang kukuh kepada gelembung perjalanan percutian dalam kalangan negeri dan kawasan berisiko rendah dan dorongan kepada pasport kesihatan digital global,” katanya.

Untuk rekod, tahun 2020 adalah mimpi buruk bagi sektor penerbangan apabila wabak COVID-19 mula menular di dalam negara sehingga memberi kesan kepada perjalanan dan penutupan sempadan. Kesan ini terus bersambung dengan permintaan yang menjunam selepas negara dilanda gelombang pertama, kedua dan ketiga sehingga menyukarkan lagi prospek untuk perjalanan udara kembali beroperasi.

Rindu untuk bercuti? AirAsia perkenal Pas Asean Unlimited, kini anda boleh terbang tanpa had. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Rindu Untuk Bercuti? AirAsia Perkenal Pas Asean Unlimited, Kini Anda Boleh Terbang Tanpa Had

Raih Pelaburan Daripada Pemain Poker Hong Kong, Saham AirAsia Terus Melonjak 16.56%

AirAsia Ditawar Pinjaman RM4.15 Bilion Melalui Pertukaran Data Pelanggan