Kisah video pergaduhan suami isteri dan wanita berbogel ternyata sudah viral di laman sosial.

Saya tidak akan mengulas siapa yang bersalah dan kenapa berlaku pergaduhan kerana saya tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi namun yang pasti ujudnya video pergaduhan dan bogel.

Secara sedar atau tidak sedar ada di kalangan kita telah menghantar video bogel di laman sosial atas sebab tersendiri.

Di mana video lucah itu kita perolehi atau bagaimana kita memperolehi bukanlah isu namun isunya ialah adakah kita sebahagian dari “penghantar” video lucah di laman sosial seperti di Facebook, Whatsapp, WeChat dan lain lain.

Sekadar berkongsi pengetahuan bahawa perbuatan itu salah dan sekiranya kita “ditangkap” oleh pihak berwajib menghantar, menyebar video ini ternyata banyak akta yang boleh “menyusahkan” hidup kita.

Mungkin kita bertujuan baik atau kita mahu masyarakat sedar kesilapan yang berlaku namun itulah undang-undang, dan undang-undang tetap undang-undang.

Salah tetap salah.

Mungkin kita gemar membuat perbandingkan dengan orang lain. Orang lain pun buat juga, hantar juga, tapi tidak kena tangkap pun.

Tapi itulah realiti, jika melakukan banyak mana pun kesalahan namun belum ditangkap dan didakwa, anda masih lagi tidak bersalah.

Cuma mana tahu, mungkin ada di kalangan kita yang membuat laporan polis setelah mendapat bahan lucah yang kita hantar dan tugas polis adalah menyiasat dan jika cukup bukti kita tentu akan “susah”.

Kita mungkin akan didakwa sengaja melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan mangsa dengan menyebarkan video bogel mangsa dan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi yang menerima dan menyimpan bahan lucah juga boleh dituduh di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Yang paling ditakuti apabila kita ditangkap dan dituduh di bawah Seksyen 233 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ini boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun dan denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Oleh itu, jangan cari padah dan menyebarkan video begini kepada umum kerana jika tertangkap, orang kampung saya kata “makan tak habis”.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Sekian.

Artikel di atas disumbangkan oleh Hasif Hasan. Peguam. Boleh ikuti beliau di sini.

BACAAN SETERUSNYA

© 2018 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W), a part of Media Prima Group