Kerajaan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan untuk menunaikan ibadah umrah bermula 8 Januari ini susulan peningkatan kes Omicron dalam kalangan jemaah.

Menerusi rekod dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, lebih seribu kes positif COVID-19 dikesan pengembara yang pulang dari Arab Saudi. Berikutan itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata tiada perjalanan mengerjakan umrah selepas 7 Januari sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Keputusan tersebut dibuat selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdasarkan penilaian risiko situasi varian Omicron di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi.

Menurut Khairy Jamaluddin, kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenal pasti sebagai stesen kuarantin oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi jemaah umrah yang pulang ke Malaysia bermula 3 Januari.

Tambahnya, bagi jemaah yang akan berlepas pada 1 hingga 7 Januari, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan namun perlu menjalani kuarantin di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenal pasti sebagai stesen kuarantin oleh pihak Nadma apabila tiba di Malaysia.

Kegagalan mematuhi arahan dikeluarkan oleh Pegawai Diberi Kuasa mengikut Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) boleh dikenakan tindakan undang-undang. Penangguhan sementara aktiviti umrah ini dijangka dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes COVID-19.

Tahukah anda bahawa pakar mendakwa vaksin Sinovac dengan penggalak Pfizer kurang berkesan? Klik pautan di bawah untuk ketahui lanjut.

Pakar Dakwa Vaksin Sinovac Dengan Dos Penggalak Pfizer Kurang Berkesan Melawan Omicron

Ini Sebab Mengapa WHO Isytihar Varian ‘Omicron’ Sebagai Sangat Berbahaya Pada Ketika Ini