Situasi COVID-19 telah memberi kesan kepada ekonomi dunia sehingga memaksa seorang juruterbang British Airways (BA) yang digantung penerbangannya untuk memulakan pekerjaan baharu sebagai ‘runner’ untuk jenama pasaraya terbesar dunia, Tesco.

Peter Login yang baharu sahaja berkhidmat selama empat bulan untuk BA telah memuat naik satu ciapan di dalam akaun Twitter milik beliau dengan kata-kata, “@BritishAirways 747 telah digantung buat sementara waktu. Kembali ke kokpit bersama dengan @Tesco.”

Dia walaubagaimanapun telah menerima pujian dari penduduk British apabila sanggup menukar kerjaya daripada pemandu Boeing 747 kepada pemandu van jenis Mercedes Sprinter bagi tujuan penghantaran makanan kepada warga Britain.

Ciapan beliau telah mendapat perkongsian yang tinggi dan disambut positif oleh warga net. Ada sesetengah daripada mereka yang memuji usaha Peter yang sanggup menukar kerjayanya untuk sementara waktu.

Salah seorang pengguna Twitter telah membalas ciapan Peter dengan menyatakan ; “Anda telah menunjukkan karakter anda yang sebenar. Saya harap anda kembali ke dek penerbangan tidak lama lagi.”

Manakala ada juga yang memuji beliau kerana sanggup membantu negara dalam situasi pademik ; “Bagi orang lain, ia mudah, sama ada membantu negara dengan melakukan kerja yang diperlukan atau kekal duduk di Rumah. Tidak ada perbezaan, kedua-dua tetap sama.”

BA sebelum ini telah bertindak menggantung semua penerbangan di Gatwick, malah BA juga telah memotong separuh daripada perkhidmatan mereka di Heathrow. Kesannya kepada tenaga kerja BA adalah gaji mereka dipotong 50% selama tiga bulan dan diberitahu untuk mengambil dua minggu cuti tanpa gaji pada bulan April dan Mei.

Untuk rekod, ini merupakan kali kedua Peter berada di dalam situasi di mana dia tidak boleh bekerja dalam masa beberapa bulan. Beliau pernah bekerja untuk Thomas Cook selama tiga tahun sebelum syarikat penerbangan tersebut dilanda masalah pada September lalu.

Peter kemudian telah berpindah ke British Airways dan telah berkhidmat di sana selama empat bulan sebelum COVID-19 datang menyerang sehingga semua penerbangan BA ke seluruh dunia terpaksa digantung.

Untuk bacaan lanjut mengenai COVID-19, klik pautan di bawah.

Perancis Tukar Pasar Borong Terbesar Di Dunia Kepada Rumah Mayat Mangsa COVID-19

Kenapa Kita Harus Bersyukur Dengan Cara Pengendalian COVID-19 Di Malaysia

WHO Pilih Malaysia Untuk ‘Menguji’ Ubat Bagi Rawatan COVID-19

Sumber