Sudah lama rasanya saya mahu berkongsi mengenai steroid kepada pembaca-pembaca semua. Artikel ini juga ditujukan kepada kaki-kaki gim yang sedang berfikir sama ada ingin mengambil steroid atau tidak.

Steroid yang dimaksudkan di sini bukanlah prednisolone, corticosteroid, dexamethasone atau calamine lotion, tetapi ianya merupakan Anabolic Steroid, seperti nandrolone, deca-duraboline, equipose, testosteron dan lain-lain untuk mensadokan lagi seseorang itu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Adakah steroid berkesan?

Pertamanya, adakah steroid ini berkesan? Is it a magic pill? The answer is YES.

Ianya memang berkesan, dengan cara mempercepatkan pemulihan muscle microfibre yang putus, meningkatkan lagi keagresifan seseorang dan menaikkan semangat dan motivasi untuk menjadi lebih gila dan kuat di gim ibarat Hulk.

Ianya berkesan, dan saintis telah berbalah antara satu sama lain sama ada ubat ini baik ataupun tidak.

Bagaimanapun, apa-apa treatment pasti ada kesan sampingannya, walaupun ianya sangat berkesan untuk mensadokan seseorang, namun adakah ianya berbaloi untuk ditanggung. Ini, akan saya terangkan di bawah.

Kesan sampingan

1. Lumpuh

Satu, perlu anda tahu bahawa steroid diambil secara intramuscular injection (ada juga yang oral), iaitu tusukan jarum di bahagian punggung. Kebanyakan pengguna steroid mengambilnya secara rahsia, jadi mereka mempunyai kecenderungan untuk mencucuk sendiri di punggung mereka.

Seperti yang kita pelajari, IM injection perlu dicucuk di kuadaran atas luar bahagian punggung, malangnya, saya pernah sendiri bertemu pesakit yang lumpuh sebelah kaki akibat tersalah lokasi, di mana tusukan jarumnya terkena pada saraf skiatik, iaitu saraf periferal terbesar dalam badan yang berfungsi untuk mengawal pergerakan kaki.

2. Testosteron

Dua, bila seseorang itu mengambil testosteron, dan kadar testosteronnya terlalu tinggi dalam badan, badan kita akan ada dua reaksi; pertama, testosteron terlebih itu akan di metabolisma oleh hati kita menjadi estrogen, dan yang kedua, testikel seseorang itu akan mengecil (boleh diubati) kerana fungsi testikel adalah menghasilkan testosteron, dah bila terlalu tinggi testosteron yang berada dalam badan, ia akan berhenti berfungsi.

Estrogen yang tinggi menyebabkan seorang lelaki itu bersifat lebih feminin, seperti mudah sensitif dan agak lembut. Bahagian payudaranya juga akan membesar, bukan kerana otot, kerana stimulasi tisu payudara oleh estrogen – silap-silap boleh menyusukan anak lagi.

Mereka pandai untuk mengambil tamoxifen, iaitu ubat anti-estrogen selepas mengambil steroid, namun, tanpa garis panduan yang sebetulnya, dos yang diambil selalunya tidak cukup untuk menangkis kesan testosteron yang tinggi.

Dan yang lebih teruk adalaha roid-rage, iaitu sikap terlalu agresif, biasanya akan menjejaskan hubungan suami isteri atau dengan kawan-kawan akibat terlalu agresif.

Apabila wanita mengambil steroid pula, payudaranya akan mengecil, klitorisnya akan membesar, dan tanpa boleh dipulihkan semula, suara akan menjadi garau. Itulah kesan sampingan dari segi jantina.

3. Peningkatan LDL

Tiga, steroid akan menyebabkan peningkatan LDL secara mendadak, iaitu kolesterol berbahaya dan HDL menurun. Itulah sebabnya anda lihat ramai peninju mat salleh, mahupun ahli bina badan mati pada waktu muda akibat serangan jantung.

Selain itu, amaran kotak hitam untuk deca-durabolin ialah ianya boleh menyebabkan kegagalan fungsi hati, dan menukar hati kepada sista berdarah, iaitu nanah yang dipenuhi darah dalamnya, kadar kematian adalah 100%.

4. Depresi

Empat, selepas seseorang itu berhenti mengambil steroid, (steroid biasanya satu pusingan 10 minggu, dan rehat beberapa minggu, kemudian diteruskan lagi 10 minggu dan seterusnya), kadar testosteron akan turun mendadak. Ini menyebabkan seseorang lelaki itu mengalami depresi.

Contoh terbaik adalah seorang pelajar di Amerika Syarikat yang star lah dalam sukan besball, tapi orang tak tahu dia ambil steroid. Setelah dia berhenti, dia membunuh diri taktala kerjayanya berada di waktu kemuncak.

5. Benarkah itu steroid?

Lima, steroid memang tersangat mudah didapati di Malaysia, gunakan Bing atau Google, anda sudah jumpa laman webnya, pelbagai jenama ada, Meditech, Pharmatiger dll. Namun, anda percaya ke apa yang anda beli tu steroid? Mana tahu hanyalah air steril mahupu minyak YuYi Cap Limau?

Saya bukanlah seorang saintis bahagian hormon-hormon lelaki sebegini, namun, saya boleh katakan steroid memang berkesan. Jika anda nak menjadi pelari pecut, cucuk, dan berlatih seperti pelari pecut, badan anda akan mengadaptasi untuk menjadi pelari pecut. Begitulah sekiranya anda ingin menjadi ahli bina badan, pemain ragbi dan lain-lain (bukan untuk anda yang ingin menjadi juara catur, mahupun dam haji).

Senang kata, tiada satu pun garis panduan bagaimana untuk mengambil steroid, yang ada di internet hanyalah berdasarkan pengalaman orang yang pernah menggunakannya.

Dan ubat ini dicipta untuk menolong pesakit yang mempunyai kekurangan hormon, kandungan yang diambil sangat sedikit jika nak dibandingkan dengan rejim yang tertulis di internet.

Fikir-fikirkanlah, adakah disebabkan anda nak badan sado, disukai ramai wanita, namun belum sempat mencecah umur 40 sudah ke alam barzakh. Dan mengikut pengamatan saya, wanita sekarang suka laki buncit, tak percaya tanyalah tunang saya.