Terusan Suez, Mesir menjadi tumpuan dunia minggu ini dengan kesesakan lalu lintas yang tercetus di sana. Kapal kargo besar, Ever Given tersekat di tengah-tengah laluan utama dunia sejak Selasa lalu.

Kesesakan ini menurut Lloyd’s List, media yang pakar dalam bidang perkapalan, telah menelan belanja berjumlah USD$ 400 juta bersamaan dengan RM1.6 bilion per jam untuk barang yang mengalami kelewatan penghantaran.

Ever Given telah menghalang laluan penghantaran penting yang menghubungkan Eropah ke Asia. Kesesakan di Terusan Suez masih belum nampak bayang akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat, boleh jadi ambil masa berminggu-minggu.

Tambah Lloyd’s List, mereka mengganggarkan bahawa nilai barang di kapal kargo yang melalui Terusan Suez adalah rata-rata USD$ 9.7 bilion (RM40 bilion) sehari. Dari jumlah ini, USD$ 5.1 bilion (RM21 bilion) dibawa oleh kapal dari timur ke barat. Sementara itu, selebihnya USD$ 4.6 bilion (RM19 bilion) dibawa oleh kapal dari barat ke timur.

Kerugian ini turut berjangkit apabila dilaporkan bahawa hampir 300 kapal sudah diminta untuk melalui laluan lain disebabkan kesesakan yang terjadi di Terusan Suez. Ini memaksa beberapa kapal untuk menukar laluan dan perlu melalui perjalanan yang panjang, berbahaya dan mahal di sekitar Afrika.

Kesesakan ini juga turut memberi kesan kepada rantaian bekalan global ditengah-tengah situasi wabak COVID-19. Selama wabak melanda dunia, permintaan barang melambung tinggi sementara isu penghantaran menjadi semakin lambat.

Usaha secara besar-besaran telah dilakukan untuk mengalih kapal Ever Given. Sebelum ini, The Vocket melaporkan sebanyak lima kapal tunda berusaha untuk membebaskan kapal Ever Given yang tersangkut di bahagian rendah terusan.

Bagi Peter Berdowski, CEO syarikat Belanda Boskalis yang mencuba pelbagai usaha untuk membebaskan Ever Given, menyatakan bahawa masih terlalu awal untuk menentukan berapa lama masa yang diperlukan untuk mengalihkan kapal terbabit.

Kerana Ever Given tersangkut, puluhan kapal kontena terperangkap di Terusan Suez. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Kerana ‘The Ever Given’ Tersangkut, Puluhan Kapal Kontena Terperangkap Di Terusan Suez