Sejak 2014, China memulakan kerja-kerja mengorek (dredging) untuk menukar 3 terumbu di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan (LCS) menjadi pulau tiruan. Dalam 18 bulan sahaja, sebanyak 2000 ekar terumbu iaitu Subi, Mischief dan Fiery Cross telah dibangunkan.

Walaupun kepulauan itu masih lagi dalam pertikaian akibat pertindihan tuntutan sempadan negara-negara berdekatan seperti Vietnam, Brunei, Malaysia, Taiwan, Indonesia dan Filipina, China meneruskan aktiviti mereka tanpa segan silu.

gambar-satelit
Gambar satelit menunjukkan pembinaan landasan kapal terbang di Terumbu Fiery Cross di Laut China Selatan. Handout/Reuters

Pulau tiruan ini sudah diturap menjadi landasan kapal terbang sepanjang 3,000 meter dengan jalan rayap, menurut satu imej satelit oleh Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI).

gambar-satelit
Satu gambar fail diambil dari udara oleh kapal terbang tentera Filipina menunjukkan penambakan tanah sedang dijalankan oleh China di Terumbu Mischief di Kepulauan Spratly pada Mei 2015. Pool/Reuters

"Dua helipad, (sehingga) 10 antena komunikasi satelit, dan kemungkinan satu menara radar juga boleh dilihat," kata kumpulan itu yang berpangkalan di Washington, sambil menambah bahawa dua rumah api dan satu kilang simen juga telah dibina di pulau itu.

Tindakan agresif China ini telah mengundang Amerika Syarikat menghantar kapal perang USS Lassen sehingga jarak 12 batu nautika daripada Terumbu Subi di Kepulauan Spratly pada 13 Oktober 2015.

Provokasi Amerika Syarikat telah menambah ketegangan antara dua negara ini.

"Kami menggesa Amerika Syarikat untuk menahan diri daripada berkata atau melakukan apa-apa provokasi dan bertindak secara bertanggungjawab untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau," kata Zhu Haiquan, jurucakap Kedutaan China di Washington.

Hishamuddin-Hussein
Hishammuddin Hussein The Rakyat Post

Berikutan perkara itu, Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kehadiran kapal perang China dan Amerika Syarikat di perairan terbabit baru-baru ini menimbulkan kebimbangan dalam negara rantau ini.

"Malaysia akan meminta penjelasan daripada pemimpin kedua-dua negara itu pada Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN yang akan disertai oleh delegasi China dan Amerika Syarikat itu," katanya pada sidang media di Saujana Resort, Isnin lalu.

Memahami Tuntutan China di LCS

Projek perluasan sempadan wilayah Negara China dibuat oleh negara itu atas faktor "sejarah". Pada tahun 1947, Parti Koumintang telah melakar peta Laut China Selatan beserta "Sembilan Garis Putus-putus" (9GP atau 9 line dash) yang merangkumi sebahagian besar LCS.

9GP
Tuntutan 9GP (berwarna hijau) terdahulu oleh China. Wikipedia

Pada mulanya 9GP digunakan oleh kerajaan Republik China (ROC / Taiwan), dan kemudiannya juga digunakan oleh kerajaan Republik Rakyat China (PRC /China).
Mereka menuntut sebahagian besar daripada Laut China Selatan meliputi Kepulauan Paracel, Kepulauan Spratly, Kepulauan Pratas, Macclesfield Bank, Scarborough Shoal, Luconia Shoal (Beting Patinggi Ali, Sarawak) dan lain-lain.

Tuntutan itu dirancang untuk menjadi sebahagian kawasan penambakan tanah China yang dikenali sebagai "great wall of sand."

11GP
Peta China pada tahun 1947 menunjukkan 11 Garisan Putus-putus. Wikipedia

Peta awal 9GP yang diterbitkan pada 1 Disember 1947 menunjukkan 11 garisan putus-putus berbentuk U, dan dua daripadanya dikeluarkan atas perintah Perdana Menteri China Zhou Enlai. Walau bagaimanapun, tiada tuntutan rasmi dibuat oleh China sehinggalah pada tahun 2009.

LCS berharga bukah sahaja disebabkan menjadi sumber petroleum dan gas asli, tetapi ia juga merupakan laluan perdagangan bernilai £3.17 trilion (RM20.92 trilion), dan sumber perikanan.

Protes Negara Jiran

9GP digunakan untuk menunjukkan tahap maksimum tuntutan China tanpa menyatakan sama ada ia bersambung atau tidak. Filipina, Vietnam, Malaysia, Brunei dan Indonesia – semuanya telah membantah penggunaan garisan ini secara rasmi.

tuntutan-sempadan
Tuntutan sempadan laut oleh negara-negara jiran. The Guardian

Sejurus selepas China mengemukakan peta tuntutan mereka ke PBB pada 7 Mei 2009, Filipina mengemukakan bantahan diplomatik terhadap China atas dakwaan tuntutan haram.

Vietnam dan Malaysia memfailkan bantahan bersama selepas China mengemukakan peta 9GP kepada PBB.

Indonesia juga memfailkan bantahan, walaupun mereka tidak mempunyai tuntutan di Laut China Selatan.

Benigno-Aquino
Presiden Filipina Benigno Aquino menunjukkan peta tuntutan 9GP China. SCMP

Presiden Filipina Benigno Aquino III berkata, "Tuntutan 9GP di Laut China Selatan adalah menyalahi undang-undang antarabangsa, terutamanya Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS)".

Vietnam juga menolak tuntutan 9GP, menyatakan ia adalah tidak berasas dan menyalahi UNCLOS.

Pada 22 Januari 2013, Filipina memulakan pendakwaan terhadap negara China di Mahkamah Tetap bawah UNCLOS, mencabar keabsahan 9GP serta hak berdaulat China dan hak berkuasa di LCS.

Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals)

Kepulauan Spratly bukan satu-satunya yang diganggu oleh pengawal pantai China.

Gugusan Beting Patinggi Ali atau Luconia Shoals yang terletak di Sarawak, juga diganggu, dan ia adalah milik Malaysia serta tidak tertakluk kepada tuntutan bertindih, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Luconia-Shouls
Gangguan pengawal pantai China di perairan negara. FM Today

Menurut Free Malaysia Today, nelayan tempatan melaporkan tidak dapat menangkap ikan di kawasan ini sejak Mei kerana diusir oleh pengawal pantai China yang sentiasa berada di kawasan berkenaan.

Beting berkenaan yang terletak kira-kira 80 batu nautika dari Tanjung Baram, Sarawak, jelas berada dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia berdasarkan peruntukan UNCLOS 1982.

Anifah berkata lagi, di bawah peruntukan UNCLOS 1982, sesebuah negara berpantai seperti Malaysia berhak menuntut kawasan EEZ dan pelantar benua sehingga 200 batu nautika.

Langkah-langkah yang sewajarnya sentiasa diambil bagi memastikan kepentingan negara di Laut China Selatan sentiasa terpelihara.

"Ini termasuklah mengadakan rondaan dan pengawasan serta aktiviti-aktiviti penguatkuasaan," katanya.

Katanya pada masa ini terdapat kapal-kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Beting Patinggi Ali yang melakukan rondaan bagi memastikan kedaulatan negara di kawasan tersebut terpelihara.

Shahidan-Kassim
Shahidan Kassim The Malaysian Insider

Pada Ogos lalu, Shahidan Kassim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berkata, tuntutan China terhadap Beting Patinggi Ali berdasarkan kepada faktor sejarah adalah "mengarut" dan tidak boleh diterima pakai dalam dunia masa kini.

"Kita tidak pernah mendapat tuntutan rasmi daripada mereka (China)… mereka kata itu pulau (Beting Patinggi Ali) mereka punya, tetapi jaraknya dengan negara mereka 400,000 kilometer."

"Kita tengah mengambil tindakan secara diplomatik tetapi apa cara sekalipun mereka kena keluar (daripada perairan negara)," katanya kepada pemberita.

Shahidan berkata, kerajaan mengirim nota diplomatik hampir setiap minggu bagi membantah pencerobohan kapal asing itu.

Jika faktor sejarah digunakan katanya, empayar Kesultanan Melaka yang wujud ratusan tahun dahulu juga menjangkau hingga ke Kemboja, yang dahulunya dikenali sebagai Champa.

"Dalam dunia moden ini kita kena duduk di dalam kawasan masing masing, itulah negara kita, jangan pergi kacau orang."

Ikuti bahagian 2 untuk mengetahui bagaimana Tindakan Malaysia Dalam Menghadapi Pencerobohan China.


Ikuti bahagian 3 dan terakhir untuk mengetahui Kepentingan China dan Amerika di LCS Serta Perkembangan Terbaru Pergeseran Ini

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram