Polis mengesahkan individu yang dilanggar di sebuah restoran di Bandar Utama Batu 6, Sandakan bukan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi kerusi Parlimen Libaran.

Individu yang terlibat dalam kemalangan berkenaan dikenal pasti sebagai Aris Malayu, ketua bahagian Libaran Parti Warisan Sabah (Warisan). Dalam kejadian 9.30 pagi, mangsa sedang minum bersama rakan-rakan di sebuah restoran. Menurut komisioner polis Sabah, Datuk Ramli Din sebuah kereta Honda CRV yang dipandu seorang wanita berusia 61 tahun melanggar mangsa.

“Pemandu berkenaan mahu memarkir kenderaan beliau di hadapan sebuah resotran. Beliau dikatakan telah menekan pedal minyak dan menyebabkan kereta beliau melanggar mangsa di mana meja makan mangsa hanya berhadapan kereta berkenaan,” terang Datuk Ramli Din.

Mangsa mengalami kecederaan serius dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mangsa dikatakan terhimpit antara kereta dan tiang di depan restoran berkenaan. Ianya kini sah bukannya calon Warisan untuk parlimen Libaran, Irwanshah Mustapha yang meninggal dalam kejadian ini.

Datuk Ramli menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan pemandu kereta Honda CRV ini telah ditahan untuk siasatan lanjut. Takziah kepada keluarga Aris Malayu.