KFC Japan mempunyai banyak cara yang sangat unik dalam mempromosikan jenama mereka di Jepun. Sebelum ini mereka ada menawarkan menu bento box, barangan anime dan banyak lagi. Jadi, apa pula yang terbaru daripada mereka?

KFC Japan bekerjasama dengan Village Vanguard untuk menghasilkan satu produk unik; bath bomb atau sabun mandi yang akan menghasilkan aroma ayam goreng apabila direndam di dalam tab mandi.

Tidak pasti siapa yang tersangat kreatif mencadangkan idea untuk hasilkan produk ini namun ianya nyata berjaya menarik perhatian netizen. Ada yang menyukainya dan ada juga yang beranggapan ianya satu produk yang pelik.

Untuk peluang memenangi sabun KFC berbentuk peha ayam ini, anda perlu menjadi 100 orang bertuah yang dipilih secara rawak menerusi satu kempen yang akan dijalankan dari 1-15 November ini. Anda perlu ikuti laman Twitter rasmi KFC Japan dan ikuti langkah yang tertera di sana.

Pemenang akan mendapat KFC Bath Bomb, kotak KFC edisi khas dan kupon untuk set ayam goreng edisi khas. KFC sebelum ini pernah menghasilkan lilin dengan wangian ayam goreng tetapi sabun mandian ini adalah yang paling unik tetapi pelik yang pernah KFC hasilkan. Apa salahnya kalau sekali sekala mahu manjakan diri dan bau seperti ayam goreng bukan?