Pada bulan lalu, nama Khairulaming berjaya menjadi sebutan para netizen. Semuanya gara-gara sambal keluaran beliau iaitu Sambal Nyet sebanyak 10,000 unit laris dijual dalam tempoh kurang dari satu jam selepas pelancaran.

Terkenal dengan video memasak yang menarik dan lucu, siapa sangka Khairul Aming juga pernah melalui zaman yang sukar dalam hidup beliau sewaktu mulai mempromosikan sambal beliau pada tahun 2017.

Melalui perkongsian yang dibuat Khairulaming di Twitter, beliau merupakan pengasas kepada produk Sambal King. Difahamkan, beliau mula menghasilkan Sambal King ini setelah hampir dua bulan mencuba menghasilkan sambal terbaik buat para pelanggan.

Beliau kemudiannya mulai promosikan sambal beliau melalui platform Facebook dengan menghasilkan video cara-cara menghasilkan nasi ayam penyet yang menggunakan Sambal King.

Meskipun video tersebut tular dan berjaya membuatkan orang ramai berminat untuk mencuba Sambal King, Khairulaming tidak menyangka pada saat itu merupakan titik kejatuhan buat beliau apabila kesemua sambal yang dihantar beliau habis pecah berikutan menggunakan bekas plastik.

Tidak mahu mengecewakan pelanggan, beliau memilih untuk mengembalikan wang pelanggan. Beliau kemudiannya bangkit semula dengan mempelajari cara-cara untuk memastikan sambal tahan lebih lama serta memilih untuk menggunakan botol kaca.

Berikutan video tersebut masih popular di Facebook, Khairulaming terus optimis dengan membangunkan sebuah tempat untuk menghasilkan dan membungkuskan Sambal King bersama pasukannya.

Siapa sangka beliau sekali lagi diuji apabila algorithm Facebook dikatakan berubah membuatkan video beliau tidak lagi ditonton ramai sehinggakan tidak ada pelanggan yang mahu mendapatkan Sambal King. Beliau seterusnya memilih untuk menjual semula segala kelengkapan memasak serta tekad untuk membangunkan personal branding di Instagram beliau sendiri.

Berbekalkan tekad yang kuat, beliau telah mengambil masa yang selama empat tahun dalam usaha untuk menaikkan nama beliau sehingga mengumpul lebih 2.8 juta pengikut di Instagram.

Selepas berkongsi cara masakan pelbagai juadah di Instagram, Khairulaming pada tahun 2021 kembali memperjuangkan idea lama beliau dengan memperkenalkan Sambal Nyet.

Rezeki pada kali ini berpihak kepada beliau selepas sambal beliau laris terjual dalam tempoh yang singkat sekaligus mengingatkan ramai bukan senang untuk senang.

Tahniah diucapkan buat Khairulaming kerana tidak berputus asa dalam memperjuangkan idea yang diyakini beliau. Kini, Sambal Nyet sering dinanti ramai dan kerap sold out setiap kali ditawarkan di Shopee.

Meskipun berjaya menjual 10,000 botol Sambal Nyet dalam masa singkat, Khairulaming masih belum berpuas hati serta mahu menawarkan cara pembelian yang terbaik buat para pelanggan. Klik pautan di bawah untuk mengetahui post mortem yang dibuat.

Buat ‘Post-Mortem’ Selepas Sambal Habis Terjual, Cara Khairulaming Dipuji Netizen

Menyamar Jadi Ejen Sambal Nyet Dan Tipu Pelanggan, Khairulaming Luah Rasa Kecewa

10,000 Botol Dalam Masa Sejam, Sambal Khairulaming ‘Sold Out’ Diborong Peminat