Jodoh Khairy Jamaluddin yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau bersama Umno bakal diketahui hari ini. Beliau dalam wawancara bersama Free Malaysia Today melaporkan bahawa tidak akan terkejut jika Majlis Tertinggi parti tersebut memutuskan untuk memecatnya atau menggantung keahliannya daripada parti tanpa proses yang sewajarnya.

Sebelum ini, kata Khairy, sebahagian kes pemimpin UMNO yang telah dipecat atau digantung daripada parti difahamkan tidak melalui lembaga disiplin parti, tetapi difahamkan keputusan dibuat semata-mata berdasarkan keputusan Majlis Tertinggi parti.

Khairy merujuk kepada proses mengambil tindakan terhadap ahli parti, memetik kes Ketua Umno Bahagian Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman yang digantung kerja selepas beliau lantang menentang kepimpinan Zahid.

“Perkara sebegini harus melalui lembaga disiplin parti, tetapi Majlis Tertinggi telah membuat banyak keputusan unilateral. Mereka telah membuat keputusan tanpa merujuk kepada lembaga disiplin,” katanya.

Bekas ketua Pemuda Umno itu juga berkata beliau tidak menerima sebarang surat daripada lembaga tatatertib parti dan tidak juga dipanggil untuk tunjuk sebab.

“Saya tidak menerima apa-apa daripada lembaga disiplin. Tidak ada usaha untuk menghubungi saya juga. Jadi, saya tidak akan terkejut jika saya tidak dirujuk mengenai perkara itu atau jika Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk membawa isu saya atau rakan-rakan parti saya,” katanya.

Satu mesyuarat Majlis Tertinggi bakal diadakan malam ini bagi membincangkan tindakan terhadap Khairy kerana didakwa menggunakan taktik kotor untuk memastikan usul tidak bertanding untuk dua jawatan tertinggi UMNO tidak diluluskan pada perhimpunan agung baru-baru ini.