Al-Quran merupakan sebuah kitab suci bagi umat Islam. Sudah tercatat di dalam sejarah bahawa kitab ini diturunkan di bumi Arab, dan bukannya di Nusantara apatah lagi Malaysia.

Meskipun turunnya di bumi Anbia, kuasa pedoman al-Quran merentasi sempadan dunia, menjadi rujukan manusia tanpa membatasi zaman, warna kulit dan bangsa.

Akan tetapi dimanakah kitab ini dicetak dan bagaimanakah pihak ini memastikan memastikan setiap huruf, baris, warna yang dicetak adalah betul? Saudara Najmi Farisham ada menceritakan pengalaman beliau ketika melawat di kompleks percetakkan Al-Quran terbesar di dunia yang terletak di Madinah ini.

Berikut merupakan perkongsian yang ditulis oleh saudara Najmi di akaun Facebook beliau. Kompleks tersebut dikenali sebagai Kompleks Percetakan Al-Quran Raja Fahd. Kompleks ini telah beroperasi sejak tahun 1985 lagi. Kompleks ini dirasmikan oleh Khadim Haramain pada ketika itu iaitu Raja Fahd Bin Abdul Aziz.

Sumber Gambar: Iluminasi

Di kompleks inilah dimana mereka mencetak mushaf-mushaf al-Quran, al-Quran terjemahan, al-Quran braille, buku-buku yang berkaitan dan juga cd kaset berunsur ilmiah. Sehingga tahun 2019, mereka berjaya mencetak sebanyak 300 juta naskhah semuanya untuk dimanfaatkan oleh umat Islam seluruhnya.

Hampir 18 juta naskhah Al-Quran dicetak di kompleks ini setiap tahun. Daripada jumlah itulah akan dijadikan hadiah buat para jemaah yang hadir ke Bumi Haramain dan diagihkan ke seluruh negara Islam di dunia ini. Data statistik menyatakan bahawa jumlah pengagihan sehingga 2019 telah mencecah sebanyak 47,881,816 naskhah.

Mushaf Al-Quran yang dihasilkan di sini terdiri daripada beberapa riwayat bacaan seperti Qalun, Warsh, Bazzi, Qunbul, ad-Duri, as-Susi, Syu’bah dan bacaan majoriti kita semua di Malaysia adalah Hafs.

Sehingga kini, kompleks ini telah menterjemah al-Quran kepada 39 bahasa penutur di Asia seperti Malaysia, Indonesia, Azerbaijan, Urdu, Turki dan lain-lain. 19 jenis terjemahan bahasa penutur di benua Afrika dan 16 jenis bahasa penduduk Eropah. Semuanya lengkap 30 juz al-Quran.

Terdapat 12 buah mesin cetak utama yang mampu mencetak sebanyak 10 ribu helaian berbagai warna dalam tempoh sejam sahaja. Selain itu, terdapat 60 buah mesin khas untuk proses penjilidan dilakukan dalam masa yang singkat. Kesemua mesin ini merupakan teknologi terkini dan mampu mengesan kesalahan yang ada.

Sumber Gambar: Najmi Farisham

Bermula daripada awal sehinggalah akhir, proses ini dikawal selia oleh seramai 400 orang petugas untuk memastikan setiap huruf, baris, dan warna yang dicetak adalah betul. Syeikh dan alim ulama pula ditugaskan untuk menyemak dengan teliti secara manual setiap helaian yang dihasilkan sebelum diedarkan kepada orang ramai.

Kompleks ini boleh dilawat oleh orang luar dari hari Ahad sehingga Khamis, bermula jam 8 pagi sehingga 11 pagi sahaja. Tiada bayarakan dikenakan untuk masuk ke kompleks ini. Pada penghujung lawatan, setiap pengunjung yang hadirkan akan dibekalkan dengan senaskhah Al-Quran sebagai kenang-kenangan di sana.

Ketahui 6 langkah menghafaz Al-Quran untuk orang biasa-biasa. Klik pautan di bawah untuk bacaan lanjut.

6 Langkah Menghafaz Al-Quran Untuk Orang Biasa-Biasa

10 Aplikasi Al-Quran Kegemaran Rakyat Malaysia