Menonton Kingsman, selain kaku dan terpegun dengan dialog dan sebahagian aksinya, filem ini juga membuatkan tindakan memasukkan tubuh manusia ke dalam mesin pengisar, kemudian tubuh manusia yang terkisar itu dikepul-kepulkan, digoreng dan dihidang sebagai daging burger – sebagai suatu tindakan yang menyeronokkan.

Aksi-aksi manusia yang membunuh mahupun dibunuh, “disembunyikan” dengan nyanyian dan muzik yang fun & catchy, membuatkan kita berasa rileks dan bersahaja menonton kekejaman.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

kingsman-2-5

Sepertinya, Kingsman digarap dengan gaya yang sebegitu untuk membuatkan kita sendiri keliru? Keliru dengan ’emosi yang sepatutnya’ kita rasa. Atau mungkin, Kingsman ingin mengurangkan ‘tekanan’ yang dirasai ketika menonton babak pembunuhan agar penonton tidak terlalu terbawa-bawa dengan emosi?

Jika kita terbawa-bawa dengan emosi sekalipun, adakah ianya salah? Setidaknya kita menonton dengan ’emosi yang sepatutnya’, bukan?

Seperti contoh, emosi sedih dalam babak terakhir dengan Merlin, ‘dikaburi’ dengan emosi seronok dan terhibur bila kita melihat gaya bersahaja Merlin yang menyanyi lagu Take Me Home, Country Roads sebelum terbunuh.

Babak pembunuhan yang agak melampau juga membuatkan kita berasa okay, kerana bunyi-bunyi tembakan dan jeritan telah ‘tersembunyi’ di sebalik lagu-lagu berentak fun & catchy seperti Saturday Night’s Alright For Fighting dan Word Up.

Emosi kasihan kepada kawan Angel, ‘diganti’ dengan emosi kelakar ketika kita melihat Angel menggigit burger yang dihidang Poppy, kelucuan dalam babak berkenaan didorong lagi dengan latarbelakang lagu yang seakan mengejek mimik muka Angel.

Gaya persembahan filem Kingsman yang kelihatan cuba menyorok penonton dari menggunakan ’emosi yang sepatutnya’ ini, tidakkah akan membuatkan penonton mengalami konflik emosi dalam dunia sebenar?

Saya percaya ada alasan-alasan saintifik yang mendorong filem ini menggunakan trademark yang begitu.

Hanya saja, jika kita tidak berjaya menonton filem dengan baik, faktor-faktor tersembunyi yang berkemungkinan untuk terjadi seperti konflik emosi yang saya sebutkan tadi boleh mendorong watak seperti Poppy lakonan Julianne Moore itu diangkat sebagai wanita yang berani dan berwawasan tinggi.

Kejahatan sebagai seorang psychopath menjadi kabur disebabkan ‘kekeliruan emosi’ yang tidak disedari telah berlaku kepada kita semasa menonton filem.

kingsman-2-4

Bercakap tentang persoalan ’emosi’ dari sudut yang sedikit berlainan, saya tertarik ketika Merlin berkata kepada Eggsy – “Forget your emotions. Remember your training.”

Ejen-ejen perisikan ini dilatih untuk tidak bersedih. Tidak boleh menangis ketika sedang menjalankan misi. Eggsy pula watak yang kerap menunjukkan melankoliknya, dan dia selalu diingatkan Merlin.

Dalam Kingsman yang pertama lagi, saya kira filem ini cuba membawa mesej ’emosi’ adalah sesuatu yang melemahkan, dan manusia selalu dilemahkan oleh ’emosi’.

Satu soalan menarik teman saya tanyakan semalam, “Mengapa tidak boleh?”

Ya, mengapa tidak boleh untuk beremosi? Mengapa manusia mesti dilarang untuk berperasaan?

Di dalam Kingsman: The Golden Circle, soalan-soalan di atas ini secara tidak langsung telah dijawab oleh watak Whiskey yang dilakonkan Pedro Pascal.

Kita dapat lihat, bagaimana ’emosi’ mengganggu Whiskey dari berfikir dengan betul, dia memungkiri ‘sumpah aku janji’ sebagai Statesmen kerana terlalu mengenangkan kekasihnya yang telah terbunuh.

Whiskey mengutamakan emosi berbentuk peribadi, sehingga merosakkan pendiriannya sendiri dan menjejaskan misi yang lebih penting. Disebabkan itu Whiskey dianggap sebagai pengkhianat, dan tindakan untuk membunuh Whiskey bagi menyelamatkan jutaan nyawa penagih dadah yang lain dianggap betul oleh Harry dan Eggsy.

Sekali lagi, kesilapan Whiskey hanya kerana dia terlalu melankolik.

kingsman-2-3

Dan jawapan kepada soalan ‘adakah emosi ini tidak penting’ terus dilanjutkan sehingga ke penghujung cerita, di mana Eggsy telah melaksanakan peristiwa yang agak bertentangan dengan prinsip Kingsman tentang ’emosi’.

Peristiwa ini membawa pula kepada soalan yang baru, adakah tindakan Whiskey yang didorong ’emosi’ sebelum ini salah atau sebenarnya betul?

Ya, Kingsman seperti kebanyakan filem Hollywood yang lain selalu mempunyai persoalan falsafah yang mendalam dan tersembunyi, yang sesuai untuk kita bawa balik dan fikirkan. Salah satunya adalah, persoalan betul atau salah kedudukan ’emosi’ terhadap sesuatu tindakan itu.

Baca lagi: ‘Kingsman: The Golden Circle’ Sekuel Yang Lebih Epik Dan Menghiburkan