Sebagai seorang yang memiliki keluarga yang menghidap kanser, adakala saya terfikir bagaimana agaknya perasaan dan keadaan mereka yang melalui tempoh berjuang melawan penyakit ini? Adakah di ketika kami cuba memberikan semangat, ada perkara lain yang pesakit sendiri sembunyikan daripada kami?

Bagaimana pula dengan kemurungan dan putus asa? Adakah ia bertamu di dalam minda pesakit? Semua persoalan ini berlegar di kepala saya namun mulut terasa berat mahu bertanya secara berdepan. Bimbang ada hati yang terasa.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Hinggalah saya terbaca pengalaman yang dikongsikan oleh Adam Syakir, seorang survivor leukimia baru-baru ini. Adam telah berkongsi realiti dan cabaran yang telah beliau lalui sehingga akhirnya beliau sembuh. Ikuti catatan menarik Adam di bawah.

pejuang-kanser-darah-1
Ini gambar semester berapa tah. Tengok muka tu. Sebab malas makan ubat jadi barai macam tu. Kids,please dont do this.

Dewasa ini kita digemparkan dengan pelbagai berita penyakit kanker yang makin berleluasa (ayat SPM). Ye betul tu. Sekarang kanser tu dah macam demam biasa-biasa. Dah macam batuk-batuk.

Contoh macam lepak-lepak minum air tetiba keluar topik, weh kau ada dengar cerita tak anak Pak Leman Senget kena kanker. Baik budak tu dulu. Kanser dah macam sesuatu yang normal. Normal tapi membunuh. Tapi macam mana nak bunuh pembunuh ni?

Semua tahu nak lawan kanser ni dengan kemoterapi. Dan ini pengalaman aku sepanjang lalui kemo dan transplant dari sudut pandang seorang pengidap CML.

pejuang-kanser-darah-11

Okay ini muka asal aku pada 2010 di majlis raya. Muka tak siap orang cakap. Haha. 2010 ni lah leukimia ini dikesan. Chronic Myloid Leukimia nama penuh beliau. Itu muka lepas keluar 3 bulan kena tahan ward HUSM.

pejuang-kanser-darah-12

Kemudian pada tahun 2011 masuk UMK. Ini gambar masa praktikal tahun 2014.. Masa tu makan ubat glivec. Yes ubat glivec antara kesan sampingan dia menjadikan kulit lebih cerah gebu. Haha. Sungguh ni dok nawok. Jadi apa yang depression nya?

Masa ni belum depress lagi tapi anxiety teruk. Teruk macam mana tu? Takut nak tidur sebab risau tiba-tiba mati. Itu sebabnya aku selalu tak tidur malam. Takut nak naik kenderaan sebab risau kemalangan.

Kalau naik kereta pun duduk dekat belakang bahagian kiri sebab kajian cakap tu kawasan paling selamat dalam kereta. Selalu jugak pengsan dalam tandas. Tapi bukan orang tau pun dah dalam tandas kan.

Hingga akhirnya aku ambil keputusan untuk buat transplant.

pejuang-kanser-darah-13

21 September selepas tamat je belajar di UMK 4 tahun, terus aku buat transplant. Transplant ni cara terakhir, last chance. Ubat glivec pun dah tak berkesan untuk aku dan sel-sel leukimia makin banyak dan merebak. Jadi doktor nak buat transplant.

Peluang sembuh? 50% success 50% fail. Aku asalnya dah give up bila doktor cakap macam tu. Gila kau 50% kot. Kalau kau main tikam pun tentu kena kalau 50 50. Ini pula libatkan nyawa. Jadi aku dah sebek, give up, stress and depress.

Mula fikir macam-macam. Keluarga aku pun tak nak risau kot. Kemudian masa tu awek aku pun cakap, kalau nak kahwin kena lah sihat kan. Hahaha. Okay, aku pun yakinkan diri, kuatkan semangat, ambil keputusan nak buat transplant walau 50 50 pun.

Ye lah semangat la kan. Jangan gelak lah aku lempang kang. Haha.  Kalau tengok gambar di atas wayar-wayar banyak tu tebuk masuk dalam dada.

pejuang-kanser-darah-2

Sebelum nak buat transplant kena ambil sum-sum tulang dulu. “OMG ambil air sum sum tulang.” “No no nanti anak aku lumpuh.” “Aku tak bagi doktor ambil sum sum tulang nanti lumpuh.”

Pernah dengar ayat macam tu? Biasanya pakcik makcik selalu fikir macam tu. Ambil sum-sum terus lumpuh. Dengar lah sangat jiran tu cerita. Memang jiran tu ada PHD pun. Kalau korang nak tau, BMA atau bone marrow aspire ni lansung tak ada kesan sampingan. Macam aku ni dah berpuluh-puluh kali ambil air sum-sum tulang. Syukur masih elok lagi berjalan berjimba berzumba.

Jangan risau. Doktor-doktor, nurse semua pro. Cuma bius zup zap siap terus 5 jam boleh balik rumah main Fifa17. Lepas ambil sum sum tulang, tunggu result. Kemudian ambil darah adik-beradik. Untuk apa ambil darah adik-beradik? Haaa apa lagi next gambar lah. Susah lah semua nak kena ajar.

pejuang-kanser-darah-3

Ambil darah adik-beradik tu untuk cari sum sum tulang siapa paling sesuai. Penderma ni susah nak cari. Yang betul sesuai  pun susah nak dapat. Tapi syukur ALLAH bagi aku peluang. Aku dengan adik aku match 100%. Bila dah ada penderma, ada sesi kaunseling pula.

Haaaaaa masa ni lah doktor cerita semua. Apa kesan sampingan, berapa peratus semua tu. Masa ni ni doktor bilang 50 50 je peratusan survive. Survive oi. Antara hidup mati. Memang lah orang cakap ajal maut di tangan tuhan. Tapi hamba mana yang tak tergugat semangat bila dengar 50 50 je peluang.

Ini peluang terakhir. Lepas ni tak ada dah. Bak kata pepatah amin, alang-alang menyeluk pekasam biar ke pangkal buku lali. There is no turning back!

pejuang-kanser-darah-14

Jadi aku pun buat transplant. Tak lama lepas tu pun, awek aku dan dan lak mintak putus. Alasan dia aku sakit macam mana nak kahwin. Hahaha. Amende la. Aku pun macam, erkkk. Okay. Jadi dah kurang separuh semangat di situ.

Kena telan beratus ubat

pejuang-kanser-darah-15

Ini kemo dalam bentuk pil. Hari tu masa kemo nak dekat seratus biji juga sekali makan rasanya. Kemo sakit ke tak? Tak pun cuma badan penat and emosi jadi kacau sangat-sangat.

 

pejuang-kanser-darah-8

Cylosporin, imatinib, prednisolone, penincilin. Semua ubat ni aku makan. Aku tak tau berapa ribu ubat dah ada dalam tubuh aku ni. Dah macam gula-gula. Ini kalau masuk pertandingan kumpul dan menang mesti aku menang motosikal. Muntah-muntah tu perkara normal.

Cyclosporin tu ubat petai. Bau macam petai. Fungsi nak kawal hormon. Kesan sampingan dia jambang tumbuh lebat. Semua bulu-buku lebat. Misai, janggut, kening.

Imatinib ni nak kawal sel-sel leukimia dalam badan. Kesan sampingan dia muntah dan kulit jadi gebu gebas putih melepak. Haha.

Prednisolone untuk jaga hati dan buah pinggang. Ye lah dah hentam ubat riban-riban. Kesian buah pinggang kena kerja keras.

pejuang-kanser-darah-4

Maka bermula lah episod aku kena kemo. 4 kali pil kemo. Beratus-ratus kena telan. Dan dua kali kemo air warna itam kuning. Sebab apa kemo? Sebab nak hancur buang terus sum sum tulang yang ada leukimia tu.

Secara asasnya tulang aku tak ada sum sum tulang lah. Yilekk. Pernah makan sup gearbox? Yang duk sedut-sedut tu lah sum sum tulang. Sedap? Masa kemi ni tak payah cakap lah. Seksa yang macam mana tak dapat aku nak terangkan lebih lengkap.

Tubuh panas, kulit jadi hitam terus. Kulit menggelupas macam terbakar. Tekak dan perut macam terbakar. Ulser dalam mulut macam cendawan banyak-banyak. Rambut gugur. Muntah-muntah keluar asid perut. Muntah hijau. Nak makan tak lalu. Nak minum perit. Tubuh kurus sekurus-kurusnya.

pejuang-kanser-darah-5

Wowwww ada air sirap. Baca elok-elok. Itu drainage bag. Merah semua tu darah. Datang dari mana darah tu? Dari pundi kencing. Yaaa tu sebab kencing berdarah.

Orang cakap sengugut tu seksa. Ini aku rasa macam sakit sengugut kot. Sakit yang amat. Tak tahan sakit sangat sampai doktor bagi morfin. Morfin pun kena tambah dos sampai aku tak rasa apa-apa dengan tubuh aku sebab terlalu sakit.

Kepada lelaki, nak pasang urine catheter ni sangat seksa. Korang Google sendiri lah. Malas aku nak cerita ngeri sangat. Dah la saiz tiub bapak besar.

2 ke 3 minggu juga nak kasi clear darah dalam pundi tu. Ini disebabka kemo tu beri kesan kepada semua sel baik sel tak baik, semua kasi hentam.

pejuang-kanser-darah-6

Betapa barai nya kulit lepas kemo. Terbakar koyak sini sana, hancur terus. Macam pakai produk ada merkuri tapi ni teruk lagi. Tu rantai aku pakai sebab nak support hickman catheter. Dia terus masuk ke dalam dada terus. Apa barang cucuk kat tangan. Acah-acah kuat padahal pedih gila masa nak pasang.

Episod melawan kemurungan (depression)

pejuang-kanser-darah-7

Ini kalau TV3 tengok confirm masuk bersamamu. Dah macam OKU pula. Tapi itu lah aku. Lepas kemo, badan kurus, rambut gugur bertompok-tompok, kulit hancur. Masa ini lah aku ada depression dengan tengah chemo, transplant, rambut gugur semua.

Kurus sebab ulser tak dapat makan berbulan-bulan. Kulit barai semua hitam sebab kemo. Aku jadi hilang selera. Nak kemo transplant ni kena semangat. Tapi aku macam dah penat, letih, give up. Stress semua muncul.

Masa depression tu aku fikir mati lah, fikir kenapa aku kena kanser ni lah. Luar nampak normal tapi dalam otak aku dah makin gila. Mula cakap sorang-sorang, gelak sorang-sorang, nangis sorang. Otak jem sampai tahap aku ada halusinasi, bercakap dengan someone yang tak wujud. Masa ni lah Matatabi muncul jadi teman. Aku sembang sorang-sorang dengan benda tu.

Pernah dengar ke Matatabi?  Yes tu nama Bijuu dalam cerita Naruto. Haha. Macam bodoh kan. Plus aku suka Meow dan Naruto tengah hot masa tu nak tamat dah.

Mana tak sedih tak stress bila tengok diri sendiri dalam keadaan macam ni kan. Jauh beza dari dulu-dulu. Jadi otak aku ambil keputusan wujudkan watak tu depan mata aku. Dalam wad aku jadi gila cakap dengan Matatabi tu. Macam fiksyen je kan.

Lantak kau lah nak percaya ke tak. Masa ni muka aku macam Deadpool. Botak dan hodoh gila. Rasanya ni masa semua duk seronok konvo 2015. Aku tak pergi sebab doktor tak bagi.

Jadi macam mana aku keluar dari zon depression tu? Mesti lah sebab keluarga aku, kawan-kawan aku dan bff.  Ye lah mak aku amik cuti tanpa gaji kot. Ayah aku ulang alik Ampang-Kemaman.

Adik aku yang derma sum sum tulang dia. Tak kan aku nak give up kan? Awal-awal tu depress teruk la tapi bff aku sorang ni nasihat-nasihat, teman aku sembang-sembang walaupun dalam WhatsApp je pun. Sekurangnya  ada orang ambil berat kan?

Perlahan-lahan depression tu hilang bila ada seseorang untuk aku kongsi masalah, apa aku fikir walau tak selogik mana pun. Sakit fizikal aku boleh handle, jahit tak berbius tebuk dada camtu je aku rilek je. Tapi sakit dalam, mental otak ni aku lemah sikit.

 

pejuang-kanser-darah-9

Haaaa tengok tu. Beberapa bulan lepas transplant rambut tu aku tak tahu kenapa jadi putih. Doktor pun pelik. Tak pernah-pernah jadi macam tu sampai ada yang cakap aku warnakan rambut. Fitnah tu. Pipi tak payah cerita lah. Bila telan steroid memang wajib jadi macam tu, kembang semangkuk tingkat.

 

pejuang-kanser-darah-10

Dan ini gambar raya tahun ini. Hahaha please jangan kecam. Aku bukan hipster pakai mask acah-acah misteri tapi nak mengelak jangkitan je. Ye lah udara sekarang ni, habuk debu kuman batuk semua ada. Rambut aku masih kelabu putih-putih. Kulit yang hitam dan hancur barai dah jadi elok. Makin elok kulit sekarang. Tubuh makin okay makin gemuk. Mana tak nya semua aku hentam, budu belacan durian langgar habis pantang. Asal sihat kan.

Memang seksa masa kemo, masa transplant. Ramai yang cakap kemo ni penyebab pesakit mati bukan kanser tu sendiri. Salah semua tu. Membongak je engkau. Yang penting semangat nak survive tu penting. Dan sekarang aku bebas kanser. No more leukimia.

3 tahun lagi aku boleh declare fully bebas kanser. Di sini aku nak mengambil kesempatan nak ucap syukur kepada ALLAH kerana beri aku kesempatan untuk hidup.

Terima kasih kepada keluarga aku, abah mama yang jaga aku masa dalam wad sampai sekarang.  Angah selaku penderma. Banyak juga sedut sum sum tulang mu. Kepada adik-adik aku yang lain, sahabat handai yang ada datang melawat. Tak lupa juga adik panda yang selalu melayan gila aku masa depression hingga sekarang. Saudara saudari cikicikibombom semua yang mmberi semangat.

Aku menyeru kepada semua pesakit-pesakit yang tengah kemo atau bakal kemo, never give up guys. Jangan dengar orang sekeliling cakap. Dorang tak rasa apa kita rasa. Dorang tak faham. So please jadi kuat demi diri sendiri dan orang yang tersayang. Macam lirik lagu coldplay ‘I was trusting statistics more than I trust me’. Persetankan statistik. Percaya diri sendiri. Berdoa kepada tuhan. DONT YOU EVER GIVE UP!

pejuang-kanser-darah-16
Matatabi – teman Adam sewaktu depression.

Jika kisah Adam ini memberi anda sedikit semangat untuk berjuang, pengakuan berikut pula bakal memberi satu perspektif buat anda. Baca kisah Diuji Penyakit Kanser Dan Salahkan Tuhan, Lepas 5 Tahun Baru Aku Tahu Hikmahnya

Dan bagaimana seorang pelajar Diuji Sakit Kanser Ketika Siapkan PhD Dan Cabaran Sepanjang Dilalui Sepanjang Di Australia