Saya bertemu beliau kerana kami berdua merupakan panelis di sebuah forum bersempena Kongres Sekolah Bisnes yang baru berlalu.

Kami sama-sama gementar, jadi sebelum forum berlangsung, kami berbual panjang untuk mengenali antara satu lain.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Ia merupakan 1 jam yang sangat bermakna.

Terlalu banyak perkara yang saya belajar daripada perbualan singkat itu.

Beliau yang saya maksudkan adalah Puan Aishah Ramond, pengasas Ketuk-Ketuk Aidilfitri. Syarikat ini adalah sebuah syarikat pemasaran kuih raya yang meningkat naik secara mendadak bermula pada tahun 2014.

Tentang Ketuk-Ketuk Aidilfitri

Ketuk-Ketuk Aidilfitri (KKAF) adalah satu jenama kepada pelbagai jenis kuih raya berkualiti premium.

Di antara pilihan kuih raya yang ditawarkan oleh Ketuk-Ketuk Aidilfitri.
Di antara pilihan kuih raya yang ditawarkan oleh Ketuk-Ketuk Aidilfitri.

Menurut Puan Aishah, beliau tidak pandai buat kuih raya, dan beliau tidak pernah buat kuih raya, tetapi melalui pengalaman dan pengetahuannya, syarikat beliau yang disokong oleh stokis-stokis dan agen-agen dapat memasarkan kuih raya sehingga ke seluruh Malaysia.

Satu perkara menarik, kuih raya KKAF menjadi kudapan pilihan walaupun di luar musim raya.

Pada tahun pertama sahaja, jualan syarikat yang dimulakan di Port Dickson ini telah mencecah 7 angka.

Bekerja Sejak Kecil

Puan Aishah Ramond adalah anak kedua daripada 8 orang adik beradik, dan merupakan anak perempuan yang pertama.

Puan Aishah Ramond, pengasas Ketuk-Ketuk Aidilfitri.
Puan Aishah Ramond, pengasas Ketuk-Ketuk Aidilfitri.

Sejak tingkatan dua, Puan Aishah telah mula bekerja. Habis sahaja sekolah pada pukul 1.15 tengah hari, sampai di rumah pada pukul 2, terus sahaja ke tempat kerja pada pukul 3. Beliau berkhidmat di sebuah kedai kasut di Port Dickson. Inilah rutin harian beliau setiap hari sehingga tingkatan 5.

“Yuran dan baju sekolah adik-adik saya belikan. Ayah kerja juga tetapi kerja biasa-biasa,” ujar Aishah.

Keputusan SPM Bagus, Tetapi Bekerja

Aishah menjalani peperiksaan SPM pada tahun 2000. Keputusan beliau membanggakan, tetapi mengambil keputusan untuk bekerja.

Booth tim KKAF ketika Kongres Sekolah Bisnes 2016.
Booth tim KKAF ketika Kongres Sekolah Bisnes 2016.

“Walaupun ada bantuan (pendidikan), tetapi oleh kerana saya yang menyara keluarga, (ini menjadi) tanggungjawab. Saya mengambil keputusan untuk terus bekerja, menyediakan keperluan keluarga,” ujarnya lagi.

Bekerja Di KFC

Selepas SPM, Puan Aishah mengambil keputusan bekerja di Kentucky Fried Chicken (KFC). Selepas 3 bulan beliau diterima sebagai kakitangan KFC.

KFC merupakan sekolah yang baik untuk belajar tentang SOP, sistem dan latihan.
KFC merupakan sekolah yang baik untuk belajar tentang SOP, sistem dan latihan.

Beliau masih ingat, sewaktu orientasi, Pengurus pernah berkata, “Walaupun anda tiada pelajaran sekali pun, anda semua boleh jadi seperti saya.”

Dari situ beliau menanam azam untuk menjadi pengurus, satu hari nanti.

Pengurus beliau yang baik sering berkongsi tip-tip bagaimana hendak menjadi Pengurus. Ini menguatkan lagi azam Aishah.

Beliau bekerja keras dan bersungguh-sungguh mencapai cita-citanya. Bayangkan sebuah buku panduan Standard Operating Procedure (SOP) mempunyai ketebalan setinggi 3 inci. Terdapat 4 buah buku SOP beliau pelajari dan hafal satu persatu! Begitu gigihnya usaha wanita bernama Aishah Ramond ini!

Hasil kerja keras, selepas 6 bulan, beliau ditawarkan menjadi trainer. Beliau dipertanggungjawabkan untuk melatih setiap pekerja baru yang memulakan tugas dalam 30 buah outlet KFC. Antara tanggungjawab beliau termasuklah memastikan latihan dijalankan, melatih dan menguruskan kerja-kerja di KFC termasuklah hal-hal servis dan SOP, dan membuat persediaan terhadap outlet yang baru dibuka.

Selepas dua tahun, beliau sekali lagi mendapat tawaran. Kali ini sebagai Pengurus. Sebagai pengurus, beliau bertanggung jawab dalam pengurusan dan jualan. Antara perkara yang beliau perlu lakukan termasuklah merangka jualan selama sehari, seminggu dan sebulan. Beliau juga bertanggung jawab di dalam hal ordering dan mengenal pasti bagaimana hendak menempah barangan agar sasaran jualan dapat dipenuhi.

Saya bertanya, “Latihan amat ditekankan di KFC?”

Puan Aishah menjawab, “Ya Puan, KFC sangat sangat menekankan training. Dalam semua aspek ada training. Malahan SOPnya sentiasa dikemas kini daripada semasa ke semasa.”

Pengurus Di The Chicken Rice Shop

Setelah 3 tahun bekerja, Puan Aishah berhenti daripada KFC dan memulakan tugas di The Chicken Rice Shop (TCRS). Beliau yang selama ini mahir dengan tugas berbentuk self service memulakan tugas di TCRS yang berbentuk table service.

The Chicken Rice Shop mengamalkan pengurusan inventori yang berkesan.
The Chicken Rice Shop mengamalkan pengurusan inventori yang berkesan.

Di TCRS, terdapat terlalu banyak produk dan bahan-bahan mentah, dengan arahan untuk meminimakan pembaziran. Beliau belajar banyak perkara di sini terutamanya tentang pengurusan inventori yang berkesan.

Penuhi Amanat Ayah

Pada tahun 2006, ketika adik-adik masih kecil, ayah beliau meninggal dunia.

Sebelum arwah ayah meninggal, beliau berpesan kepada Aishah supaya bekerja di syarikat kawan ayahnya di Wangsa Maju.

“Ayah mahu saya buat bisnes tetapi ayah tak tahu bagaimana hendak ajar,” cerita Aishah kepada saya.

Beliau meninggalkan kerjayanya sebagai Pengurus di TCRS yang telah disandang selama 2 tahun setengah untuk memenuhi amanat arwah ayahnya. Gaji yang beliau terima hanyalah RM400 sebulan, jauh berbeza berbanding gajinya sebelum ini.

“Gaji RM400 di Wangsa Maju? Bolehkah Puan survive?” saya pun terperanjat mendengar kisah beliau.

Ketika sesi latihan KKAF.
Ketika sesi latihan KKAF.

“Tak boleh survive Puan. Pagi saya bekerja dengan pakcik sehingga pukul 5. Malam pula bekerja di kedai makan, basuh kuali, basuh pinggan. Kita buat semua benda yang susah,” jawab beliau.

“Rasa susahnya hidup, betul ke amanat ayah saya ni?” tambahnya lagi.

“Selama 8 bulan survive di situ, duit kereta, duit makan abang yang tanggung,” Aishah menambah bicara.

Setelah 8 bulan, Aishah menemui ibunya lalu berkata, “Mak, saya dah jalankan amanat abah. Saya tak belajar apa-apa di sana.”

Beliau berhenti kerja dan memulakan kerja di Baker’s Cottage.

Pengalaman Di Baker’s Cottage

Di Baker’s Cottage, sebuah rangkaian kedai kek, Aishah banyak belajar tentang apa itu bisnes. Beliau diberi jawatan sebagai penyelia, walaupun memiliki pengalaman sebagai pengurus sebelum ini.

Beliau diberi outlet tetapi tiada panduan untuk bermula. Tiada SOP, tiada pemasaran, tiada latihan. Akhirnya Aishah mengambil keputusan untuk menggunakan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang ditimba semasa bekerja di KFC dan The Chicken Rice Shop untuk membina SOP di dalam outlet baru beliau.

PJ Old Town

Outlet pertama beliau bertempat di Petaling Jaya (PJ) Old Town. Pada mulanya, jualan di cawangan ini sangat teruk. Tugas pertama beliau adalah meningkatkan jualan daripada RM45 ribu sebulan menjadi minimum RM60 ribu sebulan.

Latihan untuk stokis-stokis negeri.
Latihan untuk stokis-stokis negeri.

Gaji pertama beliau dengan rangkaian ini tidak banyak, tetapi boleh naik berdasarkan prestasi.

Ketika ditugaskan meningkatkan jualan, Aishah berkata, “Saya akan naikkan jualan, apa yang saya akan dapat?”

Boss beliau berjanji akan menaikkan pangkat menjadi Pembantu Pengurus (Assistant Manager).

Aishah memulakan tugas yang diberi. Daripada pemerhatiannya, beliau mengenal pasti kakitangan tidak mengetahui matlamat syarikat, sasaran jualan, tidak memahami peranan serta tidak mahir membuat jualan.

Sebagai penyelia, beliau berkongsi sasaran jualan bulanan, membuat forecast seperti berapa biji kek hendak dijual, berapa biji roti hendak dijual dan memperkenalkan produk-produk lain yang sesuai untuk dijual. Secara ringkas beliau hanya memperbetulkan sistem dalaman, dengan mengurus dan melatih semula kakitangan yang bertugas.

Melalui langkah-langkah yang diambil, staff menjadi lebih semangat bekerja, jualan terus melonjak dan dari sehari ke sehari mereka semakin nampak apa yang mereka usahakan.

Hasilnya, setelah 3 bulan, jualan melebihi sasaran. Walaupun sasaran hanyalah RM60 ribu, tetapi tim mereka berjaya mencecah jualan sebanyak RM80 ribu!

Boss gembira, staff gembira, Aishah pun gembira. Gaji-gaji staff dinaikkan.

Gaji Aishah juga meningkat, dan seperti dijanjikan, beliau dinaikkan pangkat menjadi Pembantu Pengurus.

One Utama

Setelah kejayaan pertama, beliau dihantar ke outlet bermasalah yang lain di One Utama.

Di cawangan ini, jualan OK, tetapi staff turnover (staff keluar masuk) adalah tinggi. Di cawangan ini, walaupun jualannya mencecah RM80 ribu, terdapat hanya seorang pengurus bersama-sama dengan dua orang pekerja.

Ombak Rindu, di antara cookies dengan jualan terbanyak pada tahun 2014 dan 2015.
Ombak Rindu, di antara cookies dengan jualan terbanyak pada tahun 2014 dan 2015.

Apa yang Aishah perhatikan, di dalam kompleks membeli belah, tidak ramai orang membeli kek, tetapi lebih membeli roti.

Penjualan roti lebih mencabar berbanding penjualan kek. Pengeluaran dan tenaga pekerja yang diperlukan adalah lebih tinggi untuk mencapai sasaran jualan yang banyak.

Sebagai contoh, sebiji kek dapat dijual pada harga RM60. Tetapi untuk roti yang rata-rata berharga RM1, 60 biji roti diperlukan untuk mencapai jualan sebanyak RM60.

Menyedari hakikat ini, Aishah berfikir cara untuk push sales menerusi jualan kek.

Melihat jumlah penyewa-penyewa kedai yang ramai di One Utama, Aishah mendapat idea. Tim beliau tidak menunggu orang datang ke premis mereka, tetapi mereka yang akan keluar berjumpa pelanggan. Tim Aishah pergi daripada satu ke satu premis penyewa-penyewa kedai, mereka membekalkan kek serta mengambil tempahan untuk harijadi staff mereka.

Usaha agresif ini juga membuahkan hasil. Jualan meningkat daripada RM80 ribu menjadi RM120 ribu sebulan.

Hasil peningkatan ini, cawangan OU dapat menyediakan asrama dan merekrut lebih ramai kakitangan.

Aishah juga dinaikkan pangkat menjadi pengurus.

Jalan Klang Lama OUG

Sekali lagi Aishah dihantar ke outlet lain yang bermasalah.

Kali ini di Jalan Klang Lama OUG, outlet kesayangan boss.

Tempahan kuih raya di luar musim raya.
Tempahan kuih raya di luar musim raya.

Di cawangan ini, jualan tidak bermasalah tetapi kos operasi (overhead) tinggi.

Sebagai pengurus, Aishah menguruskan urusan kakitangan dan gaji. 10% daripada jualan digunakan sebagai kos buruh.

Beliau mengenal pasti penetapan gaji di cawangan ini agak kacau bilau. Ada yang mendapat gaji terlalu tinggi, sehingga menyebabkan ada yang terpaksa menanggung gaji rendah selama 5 tahun berturut-turut.

Aishah melihat semula prestasi semua pekerja dan melakukan performance appraisal.

Beliau menemui bos, dan meminta beberapa perkara. Aishah meminta kenaikan gaji dan pangkat buat beberapa orang kakitangan yang bagus kerjanya. Ada juga antara staff yang beliau tolak dan mahukan pengganti.

Perkara ini menimbulkan kemarahan boss beliau. Kertas appraisal digulung dan dicampak ke muka beliau.

“Melampau, baru transfer dah minta macam-macam!” tegas boss dalam nada marah.

Aishah pun bertegas, “Kalau mahu saya di sini kena ikut apa yang saya buat. Kalau you percaya pada saya, you ikut kata saya. Saya mahu staff ini dinaikkan gaji, saya mahu staff ini jadi supervisor.”

Aishah dan bossnya bertegang urat. Bossnya meninggalkan premis dalam keadaan marah.

Namun, keesokan harinya boss datang semula sambil berkata, “Nah, ini gaji-gaji yang kamu nak.”

Aishah berjaya mendapatkan kenaikan gaji dan pangkat buat pekerja yang layak. Beliau juga berjaya mendapatkan ahli pasukan baru yang berkualiti.

Beliau merangka latihan dan aktiviti-aktiviti untuk staff development.

Hasilnya, jualan menaik dan kos operasi semakin rendah.

Shah Alam Seksyen 18

Setelah berkahwin, Aishah masih bekerja dengan Baker’s Cottage, tetapi kali ini berpindah ke Shah Alam Seksyen 18.

Puan Aisha Ramond dengan timbunan stok kuih raya.
Puan Aisha Ramond dengan timbunan stok kuih raya.

Walaupun mempunyai banyak pengalaman manis bekerja dengan orang Melayu sebelum ini, ini adalah pengalaman pertama beliau bertemu dengan sekumpulan pekerja yang malas dan banyak main. Mungkin kerana berada di dalam kawasan kejiranan Melayu menjadikan anak-anak muda ini kurang bermotivasi.

Seperti cawangan-cawangan lain, Aishah berkongsi matlamat syarikat dan menetapkan sasaran jualan harian, mingguan dan bulanan.

Setelah berkongsi, Aishah menerima kejutan. Kesemua kakitangan berhenti 24 jam, tinggal beliau seorang!

Tindakan drastik ini mendorong Pengurus Daerah menelefon dan bertanya, “Apa you buat sampai staff semua berhenti?”

Aishah menerangkan kakitangannya tidak mahu ikut arahan, dan jika mahukan jualan, perlulah mengikut arahan yang ditetapkan.

Akhirnya, Aishah merekrut dan membentuk pasukan baru di samping berkongsi matlamat dan sasaran jualan syarikat.

Di cawangan ini, pasukan mereka menjual roti menggunakan loceng untuk menarik pelanggan.

Hasilnya, pendapatan cawangan meningkat. Aishah pula mula dinilai untuk menaiki career ladder dan menyertai tim pengurusan.

Percubaan Pertama Yang Gagal

1001 pengalaman telah dikumpul, dan Aishah mengambil keputusan untuk berhenti dan memulakan bisnes sendiri.

Aishah bermula dengan membuka kedai Cosway.

Puan Aishah Ramond ketika mengusahakan perniagaan Cosway.
Puan Aishah Ramond ketika mengusahakan perniagaan Cosway.

Dalam masa yang sama, pada tahun 2013, Aishah mengusahakan jualan produk jus sendiri. Apa yang beliau lakukan adalah mengambil jus pengeluaran syarikat lain dan melakukan penjenamaan semula.

“Saya pernah gagal Puan.

Masa tu tiada siapa kenal saya. Saya tidak tahu apa channel saya. Saya meniaga tanpa ilmu, tiada pengalaman, tiada mentor, dan tiada cikgu.

Saya meniaga di tapak MAHA. Sewa tapak RM6000. Saya jual motor suami, keluar duit apa yang ada, jual barang kemas kerana hendak ada produk sendiri, inovasi sendiri. Saya hasilkan 1000 botol jus 2 liter.

Keseluruhan kos menelan RM50 ribu.

Tetapi apa yang terjadi, saya hanya berjaya jual 8 botol air.

Pergi satu lori. Balik pun satu lori.

Akhirnya tak dapat apa-apa pun, suami marah lagi ada,” Aishah berkongsi kepahitannya.

Aishah mengakui beliau pernah gagal. Suami pun sudah mula kurang percaya.

Tetapi beliau yakin.

“Saya yakin, Puan. Sedih memang sedih, tetapi saya yakin,” ujarnya sambil menutup cerita sejarah hitamnya.

Memulakan Pusat Latihan

Jalan terus, Aishah memulakan Aishah Ramond (ARM) Academy untuk membantu usahawan berbisnes.

Pada mulanya, beliau tawarkan kelas percuma untuk mereka yang mempunyai masalah teknikal bisnes seperti masalah staf, stok dan sales. 20 orang menghadiri kelas beliau.

Pada tahun 2014, ketika program Intensif Usahawan bakeri Malaysia.
Pada tahun 2014, ketika program Intensif Usahawan bakeri Malaysia.

Pada mulanya, Aishah berasa hairan kerana ada usahawan yang datang tidak tahu bagaimana hendak merancang stok dan jualan. Tidak lama kemudian, beliau tersedar bagi seorang yang dilatih dan berpengalaman dalam bidang jualan seperti beliau, perkara ini kelihatan senang. Tetapi bagi usahawan yang baru dan belum terdedah kepada dunia jurujual, perkara ini adalah satu perkara yang mencabar.

Dari situ, Aishah mengenal pasti apa masalah-masalah yang biasa dihadapi oleh usahawan. Beliau membina modul dalam niche bakeri.

Melalui Aishah Ramond Academy, beliau memperkenalkan program Intensif Usahawan Bakeri Malaysia. Program ini dijalankan di 13 lokasi, dari Negeri Sembilan sehingga ke Tawau selama 2 tahun berturut-turut.

Pada dua tahun ini (2013-2014), ramai mengenali beliau melalui bakeri.

Ramai pengusaha dari rumah berjaya meningkatkan jualan daripada RM1000 menjadi RM10,000. Daripada RM3000 menjadi RM30,000.

Beliau sangat dikenali dalam bidang latihan bakeri, sehinggakan ada yang berkata, “Nak belajar bakeri, carilah Aishah.”

Ketuk-Ketuk Aidilfitri

Ketika mengadakan program intensif di Kelantan, Aishah tiba-tiba mendapat idea.

Latihan di KKAF Kelantan.
Latihan di KKAF Kelantan.

Tanpa berlengah, terus beliau capai telefon bimbit sambil menaikkan status Facebook, “Siapa ingin buat duit raya sebanyak RM5000 (dengan jual kuih raya) tanpa buat kuih raya?”

“Saya nak, saya nak, saya nak,” ramai membalas dan berminat dengan cadangan Aishah.

Ketika ini sudahlah kuih tiada, pembekal tiada, packaging pun tidak tahu bagaimana. Tetapi beliau sudah ada idea dan pelanggan untuk meneruskan projek pemasaran kuih raya yang sudah dirangka di dalam kepala.

Satu perkara yang sangat membantu, oleh kerana beliau jumpa ramai orang bakeri daripada kelas intensif, beliau tahu di mana hendak mencari mereka yang berkemampuan untuk membekalkan kuih raya dalam jumlah yang besar.

Pelanggan-pelanggan beliau yang akan dilantik menjadi stokis dan agen juga dikenali daripada lingkungan kelas intensif bakeri beliau. Oleh kerana ramai daripada mereka ini sudah pun menghadiri kelas Puan Aishah Ramond, mereka telah memahami asas-asas jualan dan pemasaran.

Mengagihkan kuih raya bersama agen-agen Negeri Sembilan.
Mengagihkan kuih raya bersama agen-agen Negeri Sembilan.

Tugas Aishah kini adalah menghubungkan kedua-dua pemain industri ini. Pada mulanya, terdapat 10 pembekal kuih raya dipilih.

Volume kuih raya yang dipasarkan melalui jenama baru beliau dinamakan ‘Ketuk-Ketuk Aidilfitri’ adalah sangat besar. Pada tahun pertama, beliau melantik seramai 100 orang agen dan stokis. Pada tahun pertama sahaja, jualan syarikat sudah mencecah RM1 juta.

Impak yang sangat kuat, menjadikan Aishah lebih serius melibatkan diri dalam perniagaan ini.

Stokis Dan Agen Suri Rumah

Stokis Ketuk-Ketuk Aidilfitri dari Pahang, Perak dan Selangor pada asalnya adalah suri rumah yang berbisnes kecil-kecilan. Mini stokis ramainya terdiri daripada suri rumah. Kira-kira 70 hingga 80% agen juga terdiri daripada suri rumah.

Agen KKAF yang kuat berusaha.
Agen KKAF yang kuat berusaha.

Sesetengah agen Ketuk-Ketuk Aidilfitri memilih jenama ini kerana ada di antaranya minat meniaga tetapi tidak dapat keluar rumah. Mereka diajar cara supaya pelanggan datang ke rumah, dan hanya perlu memastikan stok cukup di rumah.

Atau boleh didik pelanggan supaya penghantaran boleh dibuat pada hujung minggu sahaja, atau di tengah-tengah perjalanan ketika menghantar anak ke sekolah.

Terdapat juga beberapa orang agen dan stokis yang terdiri daripada guru, pensyarah dan graduan universiti.

Menurut Puan Aishah, semua wanita harus mempunyai kerjaya walaupun sekadar berniaga kecil-kecilan di rumah.

Katanya lagi, Ketuk-Ketuk Aidilfitri menjadikan mereka yang baru berniaga seronok untuk berniaga. Menjual pada waktu kemuncak, barang laku. Melihat barang laku, peniaga baru ini akan jadi seronok dan lebih bersemangat untuk berjual beli.

Lagipun apabila berkumpulan, stokis dan agen tidak penat mengusahakan bisnes berseorangan.

Peningkatan Agen Dan Jualan

Aishah dan tim beliau melihat kembali rekod pada tahun 2014 dan membuat perancangan sasaran jualan 3 kali ganda pada tahun 2015. Mereka berjaya mencapai jualan RM3.3 juta, RM300 ribu lebih banyak daripada apa yang dirancangkan. Jumlah pelanggan berganda, jumlah agen meningkat menjadi 500 orang dan kepercayaan berganda.

Latihan agen di Tawau.
Latihan agen di Tawau.

Pada tahun ini, jumlah agen meningkat menjadi 1500 orang. Sasaran jualan pula meningkat 3 kali ganda. Tempahan untuk tahun 2016 sudah hampir penuh dan bakal ditutup pada bulan Mei.

Kriteria utama untuk berniaga

Apabila ditanya apakah kriteria utama untuk berniaga, Puan Aishah memberikan 3 jawapan:

Usahawan sanggup bekerja keras dalam hujan atau panas.
Usahawan sanggup bekerja keras dalam hujan atau panas.

1. Tahu matlamat dan berniaga untuk apa.
2. Boleh berusaha lebih.
3. Tidak putus asa (gagal sekali tak apa, dua kali tak apa, asalkan konsisten dan sentiasa kuat semangat).

Jualan Secara Offline

Kekuatan KKAF adalah menguasai pasaran setempat.

Contohnya, jika anda duduk di Lukut dan bekerja di Lukut, kuasailah pasaran Lukut dan sekitar.

Usahawan berjiwa kental dan sanggup bekerja lebih.
Usahawan berjiwa kental dan sanggup bekerja lebih.

Menurut Puan Aishah, ramai di antara stokis dan agen beliau bukanlah juara di media sosial, tetapi juara dalam menjual. Puan Aishah menekankan engagement secara bertemu muka untuk membina kepercayaan pelanggan.

Bagi beliau, KKAF bukan setakat untuk menjana pendapatan, tetapi merupakan platform untuk membina jaringan dan persahabatan. Bukan setakat boleh jual produk KKAF, tetapi boleh juga menjual produk lain kepada orang yang sama. Ilmu yang beliau ajar secara percuma kepada stokis dan agen boleh diguna pakai untuk produk-produk lain juga.

Antara idea pemasaran yang Puan Aishah kongsikan adalah memberitahu orang ramai apa yang kita lakukan. Kenali jiran tetangga, letak akan flyer dalam suratkhabar, berkongsi dalam group Whatsapp komuniti atau tadika anak, atau meletak akan bunting di depan rumah.

Yang penting, pastikan stok kuih raya cukup di rumah.

Latihan

Sejak dari 2014, Puan Aishah secara konsisten mengajar dan melatih usahawan-usahawan di bawahnya. Beliau melawat seluruh Malaysia demi memastikan stokis dan agen bersedia untuk membuat jualan.

Latihan untuk agen berdaftar diadakan secara percuma seluruh Malaysia.
Latihan untuk agen berdaftar diadakan secara percuma seluruh Malaysia.

Latihan secara konsisten juga penting untuk menaikkan jualan, mengurangkan kerugian dan meningkatkan kredibiliti syarikat di kalangan stokis, agen, pelanggan dan orang luar.

Antara perkara yang diajar adalah bagaimana hendak membuat jualan 1000 balang kuih raya dalam sebulan bersamaan dengan RM30,000. Dalam sebulan beliau ajar agar memecahkan jualan mengikut hari, bermakna, dalam sehari usahawan harus menjual sekurang-kurangnya 30 balang kuih raya untuk mencapai sasaran bulanan.

Untuk mendapatkan jualan sebanyak itu pula, agen diajar tentang 70 lokasi jualan seperti kilang, restoren, kiosk bergerak dan carboot. Usahawan juga diajar bagaimana hendak mendekati premis-premis ini serta bagaimana untuk membuat kertas kerja, jika perlu.

Tidak logik tetapi berkesan.
Tidak logik tetapi berkesan.

Pernah salah seorang pelajar beliau berkata apa yang beliau ajar tidak logik. Tetapi pelajar yang sama telah berjaya membuat jualan bernilai RM80,000 dan kini dilantik menjadi stokis. Jelas, apa yang beliau ajar berkesan.

Usahawan tidak diberi harapan tetapi diajar cara praktikal untuk mencapai sasaran mereka.

Kelas-kelas sokongan seperti akaun tidak disediakan, tetapi pihak Ketuk-Ketuk Aidilfitri mampu memberi rekomendasi untuk menunjukkan tempat belajar yang bagus.

SOP

Saya bertanya lagi, “Bagaimana Puan merangka modul latihan dan SOP?”

Semua operasi mengandungi langkah-langkah yang perlu dipatuhi (SOP).
Semua operasi mengandungi langkah-langkah yang perlu dipatuhi (SOP).

Puan Aishah berkata beliau merangka modul latihan dan SOP daripada masalah harian yang berlaku di dalam bisnes Ketuk-Ketuk Aidilfitri.

Contoh, masalah yang dihadapi sebelum ini adalah dan masalah stok dan komunikasi close sales. Kini SOP dan modul khas telah dibangunkan untuk menyelesaikan perkara ini.

SOP sentiasa berubah mengikut kesesuaian, mengikut maklum balas stokis dan agen.

Contohnya, sebelum ini terdapat latihan membuat blog, tetapi ramai stokis dan agen menyatakan tidak cukup masa untuk mengemaskini blog. Lebih senang secara face-to-face, kerana jualan kuih raya ini cukup sekadar lihat dan rasa, dan pasti pelanggan mudah membeli. Di atas maklum balas ini, latihan membuat blog telah pun dihentikan.

Komunikasi Dan Sistem Sokongan

Berniaga seorang-seorang amat memenatkan. Oleh kerana itu Ketuk-Ketuk Aidilfitri menyediakan group Whatsapp sebagai tempat untuk bertanya soalan, berkongsi jawapan dan saling sokong menyokong.

Pertemuan selalu diadakan untuk meningkatkan prestasi kumpulan.
Pertemuan selalu diadakan untuk meningkatkan prestasi kumpulan.

Komuniti stokis dan agen sangat rapat. Stokis juga dilatih untuk memastikan masalah agen selesai. Stokis yang memiliki komitmen yang tinggi seperti di Pahang dan Kelantan, selalunya akan shoot terus ke tempat agen apabila mereka memerlukan bantuan.

Demi memastikan semua dapat bergerak maju ke hadapan, agen yang sudah diajar cara penyelesaian tetapi tidak mahu buat tidak akan ditinggalkan, akan tetapi fokus akan diberikan kepada agen lain yang memberi komitmen.

“Leader tak akan tinggal…
Tetapi leader tak akan tunggu…” adalah kata-kata yang sering diulang oleh tim KKAF.

Di kalangan stokis dan agen, masing-masing sudah mendaftarkan perniagaan mereka di SSM. Ada yang sudah memiliki Sdn Bhd, ada yang sudah punyai akaun semasa syarikat, dan ada yang sudah mendaftar GST (jualan minimum RM 500 ribu setahun). Ada yang terpaksa buka kedai atau sewa rumah untuk menyimpan stok.

Sebelum ini telefon Puan Aishah kerap berbunyi tanpa henti. Tetapi masuk tahun ketiga, sistem sokongan semakin matang, dan stokis semakin pandai, beliau sudah boleh menghela nafas lebih panjang.

Pada bulan ini, perjumpaan di antara semua stokis akan diadakan untuk berkongsi semula sasaran jualan dan bagaimana untuk mengecapinya.

Prestasi

Prestasi adalah perkara yang dititik beratkan dalam Ketuk-Ketuk Aidilfitri.

Idea kreatif agent yang menjadikan kuih raya KKAF sbagai cenderamata dan hadiah.
Idea kreatif agent yang menjadikan kuih raya KKAF sbagai cenderamata dan hadiah.

Prestasi stokis-stokis negeri dijaga agar prestasi agen-agen terjaga.

Setelah mendaftar menjadi agen dan mengambil produk, latihan akan diberikan oleh pihak central. Prestasi pula akan dikawal oleh pihak stokis.

Semua stokis dididik agar membina bisnes bersyarikat dan bukan sekadar untuk mendapatkan duit raya.

Prestasi ditekankan secara keseluruhan syarikat. Fokus lebih, alat pemasaran, dan usaha lebih diberikan kepada agen yang memberikan keputusan yang lebih memberansangkan.

“Leader tak akan tinggal…
Tetapi leader tak akan tunggu…,” sekali lagi kata-kata ini terngiang-ngiang di telinga.

Insentif

Best.
Best.

Selain keuntungan jualan, stokis dan agen yang melepasi sasaran jualan menerima imbuhan. Pada tahun lepas mereka yang berjaya mencapai jualan RM500 ribu mendapat insentif mengerjakan umrah suami isteri. 5 orang berjaya mendapatkan insentif ini.

Pada tahun ini, sasaran jualan adalah sebanyak RM2 juta. Selain keuntungan bersih sebanyak RM130 ribu, mereka yang berjaya melepasi sasaran akan diberikan insentif berupa kereta Myvi baru yang telah habis dibayar secara tunai.

Tak Buat Kuih Lebih Untung

Stokis Pahang, iaitu Puan Azira Hassim adalah stokis yang secara konsisten berjaya mencapai jualan tertinggi.

Selama 11 tahun beliau membuat kuih raya secara kecil-kecilan di rumah. Beliau sangat sibuk, rumah tunggang langgang membuat kuih siang dan malam. Tidak dapat pergi terawih di surau, hanya sempat melakukannya di rumah, malah pernah pada malam raya, ketika sudah mahu pulang ke kampung, beliau belum bersedia kerana terlalu sibuk membuat kuih.

Akhirnya suami beliau tidak lagi mahu beliau membuat kuih sendiri, tetapi mencari kuih yang dibuat oleh orang lain untuk jualan.

Bagai mengantuk disorongkan bantal, pengumuman Puan Aishah tentang peluang di KKAF datang tepat pada masanya.

Setelah menghadiri sesi taklimat dan merasai keenakan kuih raya yang dihidangkan, Puan Azira terus membuat keputusan untuk menjadi stokis.

Cik Aiha (bertudung biru) dan Puan Azira (bertudung merah) akan berkongsi tentang pengalaman mereka menjadi stokis KKAF dalam penulisan siri ke-dua.
Cik Aiha (bertudung biru) dan Puan Azira (bertudung merah) akan berkongsi tentang pengalaman mereka menjadi stokis KKAF dalam penulisan siri ke-dua.

“Sibuk-sibuk buat kuih raya, jualan saya RM5000 sahaja Puan,” katanya.

Sekarang sudah fokus kepada penjualan kuih raya siap, beliau mencatat jualan sebanyak RM168 ribu pada tahun pertama (2014), dan mencatat jualan sebanyak RM600 ribu pada tahun 2015.

Kisah lebih lanjut tentang Puan Azira akan diceritakan dalam edisi akan datang.

Nilai

Bagi Puan Aishah, perniagaan ini bukan sekadar tentang duit, tetapi tentang tanggung jawab.

Puan Aishah ketika sesi latihan.
Puan Aishah ketika sesi latihan.

Dalam pergaulannya, beliau pernah berjumpa orang yang mempunyai gaji terlalu kecil atau tenggelam dalam kemelut hutang.

Berniaga adalah jalan keluar daripada kesusahan-kesusahan yang beliau lihat.

Apa yang penting – kerjasama, kejujuran, ketulusan, keberkatan dan timbang kira (harga yang dibayar oleh pelanggan haruslah diberi nilai yang berlebihan, jangan kurang) amat penting dalam perniagaan. Jangan sesekali menipu pelanggan.

Hubungi

Aneka pilihan kuih raya.
Aneka pilihan kuih raya.

Untuk merasai kenikmatan kuih raya Ketuk-Ketuk Aidilfitri atau berminat menjadi agen, hubungi 018-3148128 (Cik Izati). Beliau akan menghubungkan anda dengan stokis berdekatan.

Anda juga boleh melayari laman Facebook Ketuk-Ketuk Aidilfitri HQ atau Facebook Puan Aishah Ramond untuk maklumat lanjut.

Dalam edisi seterusnya, saya akan bercerita tentang kisah stokis dan agen Ketuk-Ketuk Aidilfitri yang menarik. Antaranya, bagaimana suri rumah menjana jualan 6 angka dari rumah. Katakan ‘Cepat Sikit’ kalau anda mahu saya tulis edisi seterusnya cepat-cepat. Terima kasih.