Anugerah.

“Awak tak layak dapat anak macam ni! Baik awak pulangkan balik.”

Itulah yang dikatakan padanya.

Beliau terkilan. Sewaktu beliau mengambil budak itu sebagai anak angkat, dia tahu kanak-kanak itu istimewa. Pada hari beliau buat keputusan itu, rekod rawatan bayi yang ketika itu berumur 8 hari itu sudah pun setebal novel. Kulitnya kuning akibat jaundis, ada jari tangannya yang kurang panjang, kakinya tidak sempurna bentuknya; bengkok seperti kayu golf. Bayi itu jelas cacat, orang yang tidak ada latar belakang perubatan pun boleh cam, tapi beliau nekad.

Gambar hiasan. JBJS
Gambar hiasan. JBJS

“Pulangkan? Apalah salah budak ni? Dahlah mak bapak kandung dia tak sudi nak besarkan dia, kita pula nak pilih-pilih. Kalau saya pulangkan, apa beza saya dengan mak bapak dia.”

Hiba hati aku bila dia cakap begitu.

“Kalau budak ni anak kandung saya, agak-agak dorang nak cakap macam tu tak, doktor?” Sambungnya lagi.

“Takkan mereka nak cakap benda yang mengguris hati ibu bapa.”

“Walaupun budak ni anak angkat, kami anggap dia macam anak kandung saya sendiri. Macam keluar dari rahim bini saya. Dia bukan barang, boleh tukar balik kalau ada defect. Saya pun tak faham kenapa dorang boleh cakap macam tu pada saya.”

Menurutnya, menjelang tahun ke-3 perkahwinannya, dia masih belum dikurniakan cahaya mata walaupun sudah habis ikhtiar. Urut, ubat, doa, petua itu dan itu, semua mereka cuba, namun masih tak membuahkan hasil. Akhirnya dia terfikir untuk pertimbangkan untuk cuba persenyawaan in-vitro atau mengambil anak angkat.

Apabila beliau dapat tahu tentang nasib budak ini, beliau jelas apa yang beliau perlu lakukan.

“Jangan tanya kenapa saya pilih budak ni! Saya tak pilih. Tuhan anugerahkan dia pada saya. Itulah yang saya rasa masa saya tahu pasal dia,” katanya.

Aku cuma mengganguk, menahan sebak.

“Oh ya, doktor. Sorrylah appointment rehab yang lepas saya tak datang. Bini saya bersalin masa tu,” ujarnya sambil tersenyum.

“Alhamdulillah! Tahniah!”

“Saya rasalah, doktor. Dulu Tuhan tak kurniakan saya anak, mungkin sebab saya dan isteri belum bersedia untuk timang anak.”

“Maksud awak?”

“Dulu kami hidup laki bini tak sepakat, tak mesra, kami banyak pentingkan diri. Semuanya berubah lepas ambil anak angkat. Kami lebih mesra, lebih banyak berbincang, lebih bersyukur. Lepas tu baru kami dianugerahkan anak sendiri.”

Hebat perancanganNya.

“Mungkin Tuhan nak uji saya. Kalau saya tak cukup cekal, saya pulangkan budak ni, entah-entah saya belum dapat zuriat sendiri,” tegasnya sebelum beliau beredar keluar daripada bilik konsultasi.

Mungkin ada betulnya. Tuhan tidak menguji seseorang dengan ujian yang tak mampu ditanggung dan, Tuhan tak makbulkan kehendak kita jika kita belum mampu menanggungnya.

Jika ada pasangan yang sudah lama berikhtiar tapi belum dikurniakan cahaya mata, janganlah berputus asa. Cuba muhasabah diri, perbetul dan perbaiki apa yang perlu. Cukupkan apa-apa yang kurang. Jika selepas itu masih belum berhasil juga, jangan pula rasa rendah diri.

Bukan anda tak layak, mungkin ada anak-anak di luar sana yang layak mendapat ibu bapa yang mampu beri kasih sayang lebih daripada yang termampu oleh ibu bapa kandung mereka, dan andalah ibu bapa yang berkemampuan itu.

Sesungguhnya, Tuhan itu Maha Adil.

Saya doakan ibu bapa (kandung dan angkat) anak-anak syurga ini dirahmati dan dijemput Tuhan menemani anak-anak itu hingga ke Jannah. Semoga kita mengambil pengajaran dan iktibar.

P/S: Jangan buang anak! Kalau anda tak mahu, ada yang mahu!

BACA: Orang Kampung Kata Seorang Ayah Bodoh, Sehinggalah Anaknya Menemui Ini Ketika Dewasa