Pasti anda pernah mendengar hukuman gantung sampai mati. Sebut sahaja hukuman gantung sampai mati ini, pasti ramai yang berasa takut dan kebiasaanya pesalah yang dikenakan hukuman ini melakukan jenayah berat seperti mengedar dadah, membunuh dan sebagainya.

Akan tetapi, tahukah anda apa yang berlaku kepada banduan yang akan dikenakan hukuman tersebut? Perkongsian daripada Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia di Facebook ini pasti akan membuat anda sedar dan insaf, serta akan berfikir dua kali dari melakukan jenayah yang boleh menyebabkan anda ke tali gantung.

Baca perkongsian mengenai tali gantung dan banduan akhir oleh Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia ini di bawah:

1. Tali gantung

tali gantung
Gambar hiasan. Sumber: Google

Tali gantung yang diimport diperbuat dari jenis jut yang paling bagus dan dibalut dengan kulit lembut supaya tidak mencederakan kulit banduan yang akan digantung. Setiap satu berharga di antara RM4,000  hingga RM5,000.

Tali gantung ini ketika diterima daripada ejen pembekal akan diuji ketahanannya dengan menggantungkan patung seberat lebih 90 kilo selama 72 jam. Malah, pada tali gantung ini mempunyai nombor siri dan ia diklasifikasikan sebagai senjata dan disimpan di dalam peti besi.

Setiap tali gantung yang diterima ada perkiraannya. Ada cara-cara yang kita kena ikut dan tidak boleh ambil dan terus pasang.Terdapat empat jenis tali dan tali tersebut dipilih mengikut berat banduan. Antara ciri utama tali gantung ialah tembaga pembunuh yang berfungsi untuk mematahkan tengkuk banduan.

2. Apabila rayuan ditolak

ppp
Gambar hiasan. Sumber: The Malaysian Times

Di Penjara Kajang, banduan yang dijatuhi hukuman gantung dikenali sebagai banduan akhir dan ditempatkan di Blok Abadi sehingga hukuman dilaksanakan. Mereka ini akan menghabiskan hampir 23 jam sehari sendirian di sel mereka dan hanya boleh meninggalkan sel atas kelulusan pegawai yang bertugas.

Banduan akhir mungkin terpaksa menunggu bertahun-tahun sehingga habis keseluruhan proses rayuan yang membabitkan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan dan Jemaah Pengampunan Negeri.

Sekiranya rayuan kepada Badan Pengampunan ini juga ditolak, Mahkamah Persekutuan akan mengeluarkan waran untuk melaksanakan hukuman dimana dalam waran itu akan disebut nama banduan, nombor kad pengenalannya serta masa hukuman akan dijalankan iaitu di antara 5.30 pagi hingga 6.30 pagi.

Waktu untuk laksanakan hukuman adalah satu jam . Untuk banduan beragama Islam biasanya hukuman gantung akan dijalankan pada hari Jumaat, selepas solat Subuh. Bagi yang bukan Islam pula, waktunya lebih kurang sama, cuma harinya boleh berbeza.

Selepas waran dikeluarkan, banduan akhir akan dibawa berjumpa dengan pengarah penjara yang akan memaklumkan tentang pelaksanaan hukuman gantung selepas segala proses rayuan terakhir ditolak. Kebiasaanya banduan akhir ini akan tahu dia akan digantung apabila dia dibawa keluar dengan tangan bergari dan ada kawalan ketat.

Semasa banduan akhir berada di bilik pengarah ini, kaum keluarganya yang biasanya sudah dimaklumkan seminggu lebih awal sudah menunggu di luar penjara untuk ‘perjumpaan terakhir.’

Lazimnya suasana pilu akan menyelubungi setiap perjumpaan terakhir ini. Malah, banduan juga diberi pilihan untuk ‘hidangan terakhir’ bernilai RM7.50.

3. Hari penggantungan

banduan-akhir-dan-tali-gantung-
Gambar hiasan. Sumber: New Malaysian Post

Kebanyakan banduan akhir menjalani hukuman gantung dangan rela setelah menunggu begitu lama untuk hukuman dilaksanakan. Mereka rajin sembahyang, tidak kira agama, menunggu dengan tenang dan sudah bersedia. Ada beberapa orang sahaja yang menjadi agresif sehingga ke saat-saat terakhir.

Menurut seorang petugas penjara yang bernama Samuel, “ada sesetengah banduan puas hati dan beritahu saya nasib mereka lebih baik dari saya kerana mereka tahu bila mereka akan mati.

Bila kita buka pintu untuk bawa mereka keluar ke bilik gantung, ada yang salam dengan kita dan ucap terima kasih. Mereka kata mereka sudah tidak tahan lagi menunggu,” katanya.

Di hari mereka diberitahu hukuman gantung akan dijalankan, mereka akan meminta pena dan kertas untuk nota terakhir:

“Jangan ikut tabiat buruk ayah.”
Itu antara kata-kata terakhir seorang banduan untuk anak-anaknya, yang masih Samuel ingat.

Banduan juga boleh memilih pakaian apa yang hendak dipakainya pada hari hukuman.

“Ada banduan beragama Islam hanya mahu pakai kemeja-T dan seluar sembahyangnya. Ada yang memilih coat dan tali leher. Ada yang pakai kasut berharga RM300. Mati penuh gaya, banduan itu kata dengan jenaka,” cerita Samuel.

Hukuman gantung pula hanya dijalankan selepas semua pihak termasuk pengarah dan doktor berpuas hati dengan keadaan banduan pada hari hukuman akan dilaksanakan.

4. Apabila pintu perangkap renggang

IMG_20190717_213526

Pintu perangkap di bilik gantung di mana banduan akhir berdiri akan secara automatik renggang sepenuhnya bila ‘gear’ ditarik. Di bawah lantai pintu perangkap ada ruang kosong dengan ketinggian 5.18 meter. Bunyi pintu perangkap yang terbuka dengan kuatnya memecah kesunyian suasana penjara.

Menurut Samuel, proses menggantung dari masa banduan dibawa keluar dari bilik menanti ke bilik gantung dan pengarah memberi isyarat kepada tukang gantung untuk menarik ‘gear’ yang akan membuka pintu perangkap hanya mengambil masa kira-kira 15 saat.

Semuanya perlu dibuat dengan lancar dan menurut Samuel, kematian berlaku dalam masa di antara 30 saat hingga satu minit dan banduan akan diturunkan dan diletak di atas troli selepas setengah jam dibiar tergantung.

“Saya sering mengingatkan pembantu-pembantu saya supaya menghormati jenazah kerana dia sudah menjalani hukuman. Kalau kita hormat pada dia, semuanya tidak ada masalah.”

“Bagi saya pula, kebiasaannya saya akan pandang muka jenazah ini dan letakkan tangan saya di atas dadanya. Ini petua yang diberi oleh bos-bos saya dahulu,” kata Samuel.

Menjalankan tugas khas ini memberikan banyak keinsafan kepada Samuel. Beliau menasihatkan ibu bapa supaya memupuk nilai-nilai murni kepada anak-anak mereka untuk mengelak mereka terjerumus melakukan jenayah.

“Segala-galanya bermula dari keluarga. Kalau keluarga tidak kawal, lingkup. Sebagai contoh dadah, kalau seorang dalam keluarga jadi penagih, satu keluarga akan terjejas,” katanya sambil menjelaskan bahawa kebanyakan kes hukuman gantung adalah berkaitan dengan dadah.

Semoga perkongsian ini boleh dijadikan iktibar kepada anda di luar sana dan mengelakkan diri daripada melakukan jenayah.