Saya terpanggil untuk berkongsi inspirasi yang diperoleh daripada kejadian BREXIT yang sedang hangat, dan juga intipati daripada seminar Profesor Kishore Mahbubani, Dekan di Universiti Kebangsaan Singapura baru-baru ini. Tajuk seminar Profesor Kishore agak kontroversi: Adakah ASEAN akan bercerai tidak lama lagi?

Hunter Killer Photo
HYPE
Misi Menyelamat Penuh Debaran Dalam ‘Hunter Killer’
Baca lagi →

Menurutnya, ASEAN itu umpama kawin paksa atau ‘marriage of convenience’ kerana negara-negara yang bernaung di bawah ASEAN bersetuju untuk bersama-sama bukan kerana cinta, tetapi semata-mata untuk kepentingan masing-masing.

Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thai bersetuju ‘dinikahkan’ pada tahun 1967 bagi membendung wabak Komunis yang merebak di rantau Asia Tenggara.

Semua negara tersebut bersatu pada waktu itu walaupun menganut prinsip yang sangat berbeza (rujuk pada buku Sejarah PMR). Kemudian, Brunei, Kemboja, Laos, Burma dan Vietnam turut serta dalam ASEAN.

Rakyat negara ASEAN dapat menikmati:
1. Produk keluaran ASEAN (durian Thai, kain pelikat Gajah Duduk) tanpa/minimal cukai
2. Hidup bebas dari senjata nuklear
3. Percutian bajet/tiket kapal terbang murah ke Bali, Phuket, Bandung tanpa visa pelancong
4. Kemajuan ekonomi yang dibina berdasarkan kepelbagaian sumber manusia dan alam sekitar
5. Pergaduhan antara negara diselesaikan dengan tolak ansur di luar mahkamah (the ASEAN way)

Apa Kaitan Penceraian Britain Dari Kesatuan Eropah (EU) Dengan ASEAN?

Salah satu punca BREXIT adalah akibat ketidakpuasan hati rakyat Britain dengan pekerja asing. Mengikut undang-undang EU, rakyat EU bebas bekerja di negara anggota EU tanpa visa.

Rakyat Britain nampaknya sangat tidak gemar dengan kebanjiran warga asing dari negara Eropah yang kurang maju, walaupun rata-rata mereka adalah berdarah Mat Salleh dan beragama Kristian. Kulit sama putih, hati lain-lain.

Sentimen yang sama dapat dirasai oleh rakyat negara ASEAN. Kita di Malaysia memandang lekeh buruh dari negara seberang, negara Singa memandang pekerja asing dengan sebelah mata

Sentimen ini bertambah parah apabila tunjang negara ASEAN berhadapan dengan masalah politik dalaman masing-masing, maka isu perpaduan ASEAN terlepas dari agenda kepimpinan.

Makin meributkan keadaan apabila ibu mentua Panda sudah mula masuk campur tangan dalam rumah tangga ASEAN yang porak-peranda. Dan Pak Cik Sam jugak mahu ikut menjaga tepi kain ASEAN.

Haruskah Rumah Tangga ASEAN Diselamatkan?

Jika kita tidak tahu kesan perceraian ini, mungkin kita tidak kisah sama ada ASEAN mahu bercerai atau tidak. Bak kata pepatah, orang tak hendak, kita tak ingin. Apa mahu buat kalau sudah tiada jodoh?

Tetapi, apabila saya mendengar ucapan Profesor Kishore, saya berdoa agar ASEAN dapat diselamatkan. Profesor Kishore mengatakan bahawa ASEAN harus bersatu hati agar pengaruh besar negara China dapat diseimbangkan.

Jika ASEAN tidak bersatu padu, besar kemungkinan negara-negara di Asia Tenggara harus mengikut telunjuk China secara membuta tuli.

Malah, jika ASEAN berpecah, ekonomi serantau akan dilanda tsunami (sila lihat kesan BREXIT terhadap ekonomi Britain), maka rakyat negara ASEAN terpaksa bertebaran menjadi ‘refugee’, mencari perlindungan dan peluang ekonomi nun jauh dari rantau ASEAN.

Sebagai penutup, saya mahu kongsikan beberapa fakta tentang jika ASEAN adalah satu negara, ASEAN adalah:

1. Negara pengguna Facebook kedua paling tinggi di dunia
2. Penerbangan (domestic & international) and kargo ketiga tertinggi di dunia
3. Pasaran ekonomi ketujuh terbesar dunia di belakang Amerika, China, Japan, Jerman, UK dan Perancis
4. Pengeksport kelima terbesar dunia dan pengeluar 90% minyak sawit, 70% getah, 25% beras dunia
5. Negara yang mempunyai peratusan tertinggi rakyat beragama Islam di dunia dan pemegang sukuk (Islamic bond) terbesar di dunia

Pendek kata, bersatu teguh, bercerai kita roboh (bukan kahwin lagi ya).

Artikel di atas disumbangkan oleh Nur Hazwani. Pelajar PHD. Boleh ikuti beliau di sini.

BACAAN SETERUSNYA

© 2018 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W), a part of Media Prima Group