Nota Editor: Kisah ini dikongsikan oleh Nazril Laharadi dan Tabizi Tahir semasa mereka menetap di United Kingdom. Mereka adalah peminat tegar pasukan bolasepak Liverpool dan Manchester United dan telah diberi peluang untuk menjadi pengawas penonton dalam perlawanan pasukan kegemaran mereka. Ikuti kisah mereka dibawah.

Pasukan Liverpool FC bakal menentang pasukan pilihan Malaysia pada 24 Julai ini dan pada masa yang sama juga pelbagai pasukan Liga Perdana England turut melawati Asia Tenggara pada tahun ini seperti Chelsea, Arsenal dan Everton bagi memenuhi hasrat para peminat di sini.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, ini adalah peluang sekali seumur hidup bagi menyaksikan pasukan pilihan mereka beraksi secara langsung, namun bagi dua rakyat Malaysia ini lain pula ceritanya. Menghadiri perlawanan di Anfield dan Old Trafford merupakan rutin mingguan malah mendapat ganjaran.

Nazril Laharadi dan Tabizi Tahir merupakan dua arkitek yang berasal dari Malaysia namun berkunjung ke bumi United Kingdom kerana menemani isteri masing-masing melanjutkan pengajian. Pengorbanan mereka nampaknya berbaloi kerana berpeluang bertugas sebagai pengawas penonton di stadium dua pasukan terkemuka, Liverpool dan Manchester United.

ajil6

Kedua-dua rakan sekelas semasa di universiti itu berkata, mereka sangat bertuah kerana diberikan peluang untuk bekerja bersama kelab pilihan mereka. Kebetulan terdapat kekosongan jawatan dan mereka hanya memohon sekadar untuk suka-suka. Tidak sangka diberi peluang untuk berkhidmat sebagai petugas pada hari perlawanan.

Tabizi yang meminati Manchester United sejak kecil memulakan tugas sebagai penolong kiosk di Old Trafford. Beliau kemudiannya dinaik taraf menjadi pengawas penonton sejak Mac 2013. Beliau bertugas sebagai penjaga tiket masuk (turnstile) di Sir Alex Ferguson Stand. Semasa separuh masa beliau ditugaskan mengawal penonton di kawasan concourse manakala sejurus sebelum selesai perlawanan beliau bertugas menjaga pintu keluar. Di antara tempoh-tempoh tersebut, beliau bertugas di tempat duduk penonton.

ajil2

Nazril pula mula bertugas di Anfield sejak Mac tahun ini, dan perlawanan pertama beliau ialah apabila Liverpool menerima kunjungan kelab Tabizi, Manchester United. Beliau ditempatkan di bahagian tempat duduk terkenal, the Kop Grandstand dan menjaga pintu masuk ke tempat duduk. Antara tugas beliau ialah menunjukkan arah tempat duduk para pengunjung serta memastikan para penonton berkelakuan baik.

ajil3

Antara rutin kerja mereka ialah dengan hadir ke stadium kira-kira 2 jam 30 minit sebelum perlawanan, dan memastikan stadium dikosongkan dalam tempoh 30 minit selepas wisel penamat ditiupkan. Bagi Nazril, kadangkala dia bertugas mengawal barisan penonton yang mengerumuni tempat pemain-pemain turun dari bas. Menurutnya selepas projek membesarkan stadium siap tahun depan mungkin suasana lebih mudah dikawal kerana bas boleh menurunkan pemain di bawah concourse.

Menurut Nazril dan Tabizi terdapat beberapa lagi rakyat Malaysia yang bertugas di Old Trafford, Anfield dan beberapa lagi stadium lain di United Kingdom. Peluang ini mungkin datang hanya sekali seumur hidup.

Walaubagaimanapun tidak semuanya manis melaksanakan tugas kerana kadangkala terpaksa melayan kerenah orang Inggeris yang kasar, kepenatan serta bertugas dalam suasana yang sejuk menusuk tulang.

Walaubagaimanapun terdapat juga pengalaman berharga. Antara pengalaman menarik yang tidak dapat dilupakan Tabizi ialah berpeluang mendekati para pemain selepas satu perlawanan Piala FA. Para pemain pulang agak lewat kebetulan dengan tempoh tamat bekerja. Beliau telah ber’selfie’ bersama para pemain ternama seperti David De Gea, Juan Mata dan Ander Herrera. Segalanya pasti jadi kenangan sepanjang hayat kerana beliau bakal pulang ke tanah air pada penghujung tahun ini.

ajil1

Bagi Nazril pula pengalaman merasai gegaran sorakan penyokong di Anfield adalah satu pengalaman paling berharga. Pengalaman tersebut dialami oleh beliau semasa perlawanan pertunjukan yang dibarisi pemain-pemain lagenda seperti Suarez dan Torres. Beliau juga turut hadir dalam perlawanan terakhir Steven Gerrard di Anfield, serta menyaksikan sendiri gol terakhir Gerrard menghadap Kop seterusnya meraikannya hampir dengan tempat beliau bertugas.

“Bekerja di stadium melayan ribuan orang memerlukan komitmen yang tinggi. Jawatan ini hanya jawatan kasual, pendapatan tidak menentu, serta perlu berdisiplin di tempat kerja. Kita perlu fokus sepanjang masa dan tidak dibenarkan bermain dengan telefon bimbit. Ramai orang fikir kami boleh tonton perlawanan percuma, boleh jumpa pemain dengan mudah, sedangkan hakikatnya tidak begitu. Gaji juga lebih rendah berbanding harga tiket termurah, namun sekurang-kurangnya dapat jimat wang tak perlu susah payah beli tiket. Kadang-kadang rakyat Malaysia yang terliur terpaksa belanja puluhan pound untuk menonton satu perlawanan,” kata Nazril yang kini pulang bercuti hari raya di Malaysia.

ajil5

Apabila ditanya adakah beliau akan menonton The Reds beraksi di Stadium Bukit Jalil minggu ini beliau menjawab: “Tak tahu lagi. Tak beli tiket lagi. Mungkin perasaannya aneh menonton Liverpool beraksi di Malaysia selepas menonton di Anfield. Tapi mungkin juga dapat enjoy sebagai peminat, kerana masa bekerja tak boleh sorak. Kami diminta simpan perasaan dalam hati semasa bertugas.”

ajil7

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram