Ramai tahu akan kisah adik Ainaa Amanda, namun tidak ramai tahu kisah Tuan Sujana, seorang lelaki budiman yang telah memberikan tangan prosthetic kepada adik comel ini.

Saya berpeluang berkenalan dengan Tuan Sujana, 47, atau lebih mesra dengan panggilan Pak Su melalui group E-Nable iaitu sebuah NGO yang hanya beribu pejabat di Google+ Group; E-Nable mempunyai rangkaian sukarelawan di seluruh dunia yang bertindak mengkaji, membina, berkongsi dan memberikan tangan prostetik (tangan palsu) berasaskan teknologi 3D Printing kepada mereka yang memerlukannya di seluruh dunia. Jadi saya ingin berkongsi dengan pembaca akan kisah ini melalui temubual saya dengan lelaki budiman ini.

‘Unsung hero’ yang sangat merendah diri ini berasal dari Taiping, Perak telah mendapat latihan perguruan di Maktab Perguruan Mohamad Khalid Johor selepas tamat sekolah menengah di Sekolah Menengah King Edward VII. Beliau seterusnya berkhidmat di dalam bidang pendidikan selama 7 tahun sebagai Guru Bahasa Inggeris di Sungai Selama, Perak dan menamatkan perkhidmataan awam di Jabatan Pendidikan Negeri Perak. Seemenjak itu, beliau telah bertukar beberapa jenis pekerjaan sebelum beliau mula jatuh hati akan teknologi baru 3D Printing ini pada dua tahun yang lalu.

Video koleksi peribadi Tuan Sujana

Anda akan terkejut kerana tanpa pendidikan formal, tanpa kemahiran rekabentuk, tanpa kemahiran teknikal ataupun latihan rasmi sebagai jurutera, Pak Su pada usia 45 tahun telah belajar mengendalikan, merekabentuk dan menggunakan 3D Printer dari kosong. Bukan itu sahaja, beliau turut membina mesin 3D Printer beliau sendiri. Semuanya hanya berpandukan tutorial-tutorial yang beliau temui di Youtube dan internet. Bagi membina 3D printer beliau sendiri, beliau mendapatkan blueprint dari internet dan menghubungi pengeluar-pengeluar sparepart dari China, Hong Kong dan Taiwan.

Dalam masa dua tahun, beliau bukan sahaja berjaya menggunakan 3D printer dengan cekap, malah beliau kini mengeluarkan mesin 3D Printer ciptaannya sendiri melalui syarikatnya, c3d.my. Anda tidak salah membaca, Pak Su mula belajar semuanya pada usia 45 tahun dan 2 tahun kemudiannya mempunyai 9 ejen di seluruh negara. Selain sikap baik hati dan proaktif beliau, sikap menjiwai pembelajaran sepanjang hayat beliau seharusnya dijadikan contoh.

Berikut merupakan temubual saya dengan beliau:

S : Bagaimana Pak Su dapat berkenalan dengan adik Ainaa Amanda ini dan boleh ceritakan sedikit kronologi kisah Pak Su membantu adik Ainaa Amanda ini?

P : Seperti orang lain, Pak Su tahu kisah Ainaa melalui video viral yang anda semua tonton. Jadi, apabila Pak Su lihat video tersebut, Pak Su terus cuba mendapatkan contact ibu Amanda, melalui Facebook dan seterusnya mendapatkan nombor telefon beliau. Jadi, pada hari yang sama, Pak Su terus ke Pendang, Kedah untuk membuat ukuran saiz tangan adik Amanda. Tiba di sana selepas Maghrib, Pak Su ajak Ainaa bersama ibunya ke kedai makan untuk makan malam – supaya Ainaa tidak kekok dan takut. Budak-budak ni kena main psikologi sikit.

Lepas dua hari Pak Su design dan print tangan Ainaa, Pak Su ajak dia ke Bukit Merah Lake Town untuk bagi tangan pada Ainaa. Awal-awalnya dia takut, jadi kena main psikologi lagi, Pak Su beli bola dan anak patung untuk dia main. Masa nak ambil gambar, Pak Su pun bagitahu dia, Ainaa dapat pahala sebab tolong budak-budak lain, barulah dia nak ambil gambar. Selepas saja 10 minit dia pakai, dia dah dapat gerakkan jari dia.

S : Saya mendapat tahu seorang sukarelawan E-Nable lain dari Malaysia, iaitu, Tuan Ew Chee Guan turut terlibat dalam membantu proses ini?

P : Ya, Ainaa merupakan penerima tangan pertama dari Pak Su, jadi Tuan Ew Chee Guan ada membantu memberikan contoh material untuk diguna pakai dalam membina tangan ini. Material yang dia bagi, Pak Su cari.

Selain dari Tuan Ew, Tuan Zainal Abidil Ismail juga membantu disamping beberapa rakan, Tuan Roslan Md Nor dan Tuan Ridzuan Maarof.

S : Apakah perasaan Pak Su apabila melihat adik Ainaa Amanda menerima tangan tersebut?

P : Seronok, sangat seronok. Memang sangat terharu. Dan juga benda yang paling seronok adalah apabila dapat tengok adik Ainaa dan pemakai lain dapat pegang benda yang selama ni mereka tak dapat pegang, dan yang paling best hari tu bila tengok Ainaa pegang dan usap pipi emak dia, secara spontan.

S : Pak Su ada lagi berhubung dengan adik Ainaa Amanda?

P : Ada. Pak Su berhubung dengan Ainaa dan emak dia untuk bagi tangan baru yang modified dan updated punya – sekarang ni Pak Su tengah design, mungkin selepas sebulan inshaAllah. Ainaa pun minta tangan warna pink untuk lepas ni.”

S : Bagaimana Pak Su boleh terlibat dalam bidang 3d printing ini?

P : Pak Su memang minat dengan benda-benda macam ni, jadi Pak Su belajar sendiri dari Google dan Youtube. Pak Su tergerak hati untuk buat tangan ni, menggunakan 3D Printer sebab Pak Su memang kesian dan suka budak-budak, sejak dari mengajar di Sungai Selama lagi, selalu tengok budak kecil yang susah, kesian. Elok pula Pak Su nampak NGO E-Nable ni, yang membantu ramai yang senasib dengan Ainaa di seluruh dunia, jadi Pak Su join. Bila dapat berita pasal adik Ainaa ni, terus Pak Su buat.

S : Bagi yang ingin mengetahui, boleh Pak Su terangkan proses pembuatan dan pemberian 3D printed prostetik ini?

P : Ok, pertamanya, kami pihak pembuat akan berjumpa dengan penerima untuk mengambil ukuran tangan. Seterusnya, kami akan ubahsuai saiz ukuran pada fail berdasarkan tangan penerima dan komponen-komponen tangan prostetik itu akan dicetak dengan 3D Printer ini, sebelum dipasang macam LEGO dan akan dicuba untuk dipasang pada penerima.

Juga, kos keseluruhan material yang digunakan adalah kurang dari RM 100 dan semua tangan yang diberikan adalah PERCUMA. Cumanya penerima haruslah bersabar untuk menanti siap dalam masa 2-3 minggu dan juga saya tiada jaminan tangan 3D ini sesuai dengan semua orang.

S : Apakah harapan Pak Su pada semua yang senasib dengan adik Ainaa?

P : Pak Su harap supaya mereka ni menjalani kehidupan yang lebih baik dan normal seperti orang lain.

S : Kata-kata akhir Pak Su kepada semua pembaca dan juga rakyat Malaysia?

P : Pada semua, kurangkan main Facebook (gelak kecil), dan juga dalami teknologi ni untuk kebaikan. Gunakan teknologi sebaik mungkin, jangan salahguna dan juga buat sesuatu untuk masyarakat. Ringankan beban yang memerlukan, sentiasa buat sesuatu dengan meletakkan matlamat untuk menyampaikannya kepada masyarakat. Kisah Amanda ni Pak Su harap dapat dijadikan contoh supaya orang nampak, sesiapapun boleh membantu walaupun bukan bidang dalam bidangnya, macam Pak Su bukan jurutera atau doktor. Yang penting, cuba usaha cari sumber untuk membantu. One small change to make a big difference.

Temubual ini berlangsung sekitar 4.30 pagi setelah beliau menjawab email saya. Saya seterusnya meninggalkan Pak Su yang tidak tidur malam untuk beliau menyiapkan 9 lagi tangan prostetik yang baru, juga menambah baik ‘design’ tangan prostetik yang sedia ada di dalam database E-Nable, bagi digunakan oleh mereka yang memerlukannya di seluruh dunia. Ketika temubual ini berlangsung, terdapat 3 lagi permintaan baru kepada beliau.

Bagi yang memerlukan bantuan beliau ataupun bagi yang ingin turut membantu, boleh hubungi Pak Su di Whatsapp beliau; +6019-305 3000.

Temubual diatas sudahpun diubah bagi memudahkan pemahaman pembaca.

Like page Facebook The Vocket disini