Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Saya mula tertarik untuk mengenali pemuda ini dengan lebih dekat selepas membaca satu post beliau di Facebook Group.

Ketika itu beliau memberitahu sedang bekerja sebagai ‘barber’ (tukang gunting rambut) di UK dan sedang mencari rakyat Malaysia yang menetap berhampiran dengan lokasi beliau.

kembara-ke-uk-gunting-rambut-20

HYPE
Ini ‘Rahsia’ Pengasas Tudung Dari Kelantan Raih Keuntungan RM10,000 Dalam 2 Minggu
Baca lagi →

Hi semua. Saya nk tanya mana lah tau dalam ni ada Malaysian yang stay kat area SWINDON, UK. Tolong add saya. Saya baru dapat kerja sini. Dorang ajak saya datang suruh kerja jadi saya datang je la.

Alaa kerja gunting rambut je pun. Jadi mana la tau ada yang terbaca post ni ke sebab saya masih baru di sini dan mungkin belum jumpa Malaysian kat sekitar sini. Saya cuma nak cari member kat sekitar sini je. Member Malaysia.

Kisah ini berlaku kurang 6 bulan lepas dan pemuda yang saya maksudkan ini adalah Zulfa Kamaruzaman.

Tertarik dengan kerjaya beliau, saya menghubungi Zulfa untuk mendapatkan info lanjut.

Namun disebabkan ketika itu Zulfa baru saja tiba di UK, beliau mencadangkan agar diberikan sedikit masa agar ada pengalaman yang berimpak positif dapat kongsikan.

Dan inilah kisah Zulfa…

kembara-ke-uk-gunting-rambut-10
Perkara lucu di sini bila member-member mat saleh ajuk-ajukan saya bercakap Bahasa Melayu. Hahaha.

Sanggup ke UK untuk belajar dan timba pengalaman

Menurut Zulfa, faktor yang mendorong beliau  ke UK adalah untuk mendapatkan pengalaman dan melihat sejauh mana hasil seni beliau diterima. Ye, gunting rambut pun ada seninya.

Saya nak lihat sampai mana kemampuan diri saya. Sehingga ke peringkat mana boleh saya capai, supaya orang-orang lain dapat lihat kerja apa sekalipun jika di usahakan dengan betul pasti memberi impak yang tinggi.

Ini bukan hanya untuk diri saya sendiri tapi juga untuk semua yang ingin berjaya – Zulfa.

Cabaran bekerja di negara orang

Apabila ditanya cabaran sepanjang bekerja di UK, menurut pemuda yang mempunyai impian besar dalam kerjaya sebagai ‘barber’ ini, di saat awal beliau menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dengan cuaca.

Pengalaman saya mula-mula sampai kat sini adalah cuaca yang sejuk membuatkan saya susah nak kerja. Bila pakai pakaian tebal jadi tak selesa. Hidung pula selalu berdarah – Zulfa.

kembara-ke-uk-gunting-rambut-12

kembara-ke-uk-gunting-rambut-21
Mak dan bapak saya dah tak ada So saya ke UK ni memang tiada halangan sesiapa. Sejak mak bapak saya meninggal memang saya hidup sendirian.

Selain daripada itu Zulfa juga perlu menempuh cabaran dari segi penerimaan pelanggan sewaktu di permulaan bekerja di situ.

Mereka tak nak gunting dengan saya sebab masing-masing takut saya tak pandai potong rambut. Tapi lama-kelamaan bila mereka nampak saya potong cantik baru lah seorang demi seorang datang pada saya. Dan sekarang dah tak ada masalah lagi – Zulfa.

Selepas berjaya melepasi halangan ini segalanya lebih mudah untuk Zulfa. Apatah lagi bila beliau mula menunjukkan skill dan gaya rambut yang agak ‘rare’ bagi orang-orang di sana.

“Orang di sini memang suka sesuatu yang baru. Bila saya buat gaya rambut pada kepala mereka, memang mereka sangat-sangat suka lebih-lebih lagi bila design tu agak berbeza dari kebiasaan design di sini. Selepas saya mula buat pada seorang, selepas tu ramai pula yang datang nak buat design yang sama” – Zulfa.

kembara-ke-uk-gunting-rambut-3

kembara-ke-uk-gunting-rambut-24

Antara gaya rambut yang agak kerap diminta oleh pelanggan untuk saya buat di sini. Ye saya tahu ini Kazar. Jadi jangan lah korang buat pula. Mat Saleh apa tahu. Semua mereka layan, kan? Seni katanya. Gaya rambut corak batik by me. Jangan pandang sebelah mata bakat anak Malaysia. Hehe – Zulfa.

Menurut Zulfa juga, selama ini beliau sangkakan skill menggunting rambut beliau sudah cukup baik. Maklumlah dah ada 20 tahun pengalaman menggunting rambut. Namun setibanya beliau di UK, Zulfa terasa seperti baru merangkak semula dalam bidang ini.

Ujar Zulfa lagi, pada awalnya beliau agak terkejut kerana seolah seperti dipaksa oleh majikan agar memberikan hasil yang maksimum terbaik.

Namun selepas beberapa ketika beliau mula faham. Persaingan yang tinggi di UK menjadikan setiap pengusaha salon rambut harus memberikan servis terbaik kepada pelanggan mereka.

kembara-ke-uk-gunting-rambut-23

Mula-mula tu memang terkejut sebab macam kena paksa tapi bila dah nampak hasil kerja saya meningkat mendadak rasa puas dapat atasi semua tu. Memang banyak sangat-sangat la kebaikan yang boleh di ambil kat sini – Zulfa.

Sewaktu bekerja di salon ini juga, Zulfa bukan hanya sekadar belajar tentang teknik menggunting rambut saja.

Tetapi beliau juga di ajar bagaimana menjadi ‘barber’ yang baik, bagaimana mempersembahkan apa yang beliau mampu buat, perlu pandai bercakap, perlu tahu bagaimana mahu berikan idea dan fesyen yang sesuai dengan pelanggan, perlu pandai gayakan rambut pelanggan dan bagaimana melayan kerenah pelanggan yang adakalanya cerewet.

“Sebab ni kan asam garam sesiapa yang masuk dalam bidang servis. Jadi memang sabar satu-satunya sikap yang perlu ada. Sama juga macam kerja pramugari kan. Kalau cantik je tapi servis tak ok pun tak boleh juga kan? Jadi kena seiringan. Maksud saya hasil kerja dan layanan kena seiring” – Zulfa.

kembara-ke-uk-gunting-rambut-22

kembara-ke-uk-gunting-rambut-8

Boss saya tekankan tentang presentation. Persembahan. Memang saya betul-betul dapat banyak pengalaman kat sini. Tak rugi susah payah usaha. Sebab hasilnya sangat-sangat berbaloi. Pelanggan saya juga sangat suka dengan saya. Hampir semua pelanggan bagi saya duit tip – Zulfa.

Bagaimana boleh dapat kerja gunting rambut di UK?

Ditanya tentang soalan ini, ujar Zulfa beliau mendapat tawaran kerja sejak di Malaysia lagi. Jadi setibanya di UK, beliau tidak lagi perlu mencari kerja.

“Pada mulanya saya cari sebanyak yang boleh info yang berkaitan dengan ‘barber’ di Facebook. Saya juga sertai setiap group ‘barber’ yang ada terutama di UK.

Sebab kat group tu memang ramai yang bertukar-tukar pandangan tentang hasil kerja masing-masing dan bila saya lihat hasil kerja dorang saya yakin yang saya memang boleh bersaing dengan mereka.

Jadi saya post gambar hasil kerja saya dan minta ahli-ahli dalam group tu komen. Dan memang ramai yang memuji. Dari situ lah saya bertanya adakah hasil kerja saya ni layak untuk saya mencuba nasib menjadi seorang barber di UK.

Ramai yang cakap datang je pasti ada ramai owner barbershop yang menunggu. Lepas tu ada 3-4 barbershop yang PM saya tawarkan kerja.

Mereka siap cakap akan sediakan tempat tinggal dan tiket kereta api untuk ke tempat mereka. Apa yang saya kena beli adalah tiket kapal terbang.

Tapi memang nak kena pastikan lah hasil kerja kita tu berkualiti sebab ramai orang edit-edit gambar sebelum post” – Zulfa.

kembara-ke-uk-gunting-rambut-27
Saya sewa bilik di sini bersama 2 orang berbangsa sikh dan mereka sangat baik.

kembara-ke-uk-gunting-rambut-5

Semua rakan sekerja sangat-sangat baik. Mereka sukakan saya sebab mereka cakap saya kelakar. Ye memang saya di sini menjadi diri saya yang sebenar.

Orang-orang di sini sukakan kelainan. Mereka juga sukakan kejujuran. Mereka tak kisah asal usul kita, siapa kita. Apa yang mereka nak sikap kita yang jujur dan telus – Zulfa.

Saat paling mencabar sewaktu bekerja di UK

Saat paling mencabar bagi Zulfa adalah bila beliau jatuh sakit di hari raya hingga terlantar seminggu di atas katil.

Ianya berpunca apabila Zulfa perlu berdiri terlalu lama selama 2 minggu untuk menggantikan rakan sekerja yang bercuti.

“Rakan sekerja saya pergi bercuti jadi saya terpaksa cover mereka. Saya paksa juga kaki saya untuk berdiri. Hanya Allah sahaja yang tau sakitnya pada masa tu. Tiket bas ke London dah beli. Hostel pun dah booking. Sedih tak dapat beraya bersama orang Malaysia di Malaysia Hall. Raya atas katil je” – Zulfa.

Perkara positif yang telah dipelajari

Berkenaan perkara positif yang telah beliau pelajari sepanjang di UK setakat ini, ujar Zulfa beliau belajar untuk menjadi lebih berdisiplin, lebih menghargai orang lain, sentiasa ucapkan terima kasih dan ‘sorry’, menghormati agama dan bangsa lain dan banyak lagi.

kembara-ke-uk-gunting-rambut-26

Walapun hanya sekejap di UK ni tapi kesan positif sungguh banyak saya dapat. Another hair design by me. Kazar lagi. Ramai juga pelanggan yang minat gaya rambut Kazar kat sini. Haaa baru ko tau penangan orang Malaysia. Dulu pandang aku sebelah mata je – Zulfa.

Mula gunting rambut sewaktu berusia 13 tahun

Ditanya tentang bagaimana boleh terlibat dalam kerjaya ini, ujar Zulfa ia bermula apabila beliau menggunting rambut rakan-rakannya  di tepi longkang sewaktu berusia 13 tahun.

“Saya mula gunting rambut pada usia 13 tahun. Gunting rambut kawan kat tepi longkang, main belasah je tanpa belajar dengan siapa-siapa. Masa tu selalu repair rambut member-member yang kena potong dengan cikgu di sekolah. Lepas je SPM saya memang tak ada kerja tetap.

Lama saya menganggur. Kalau kerja pun sekejap-sekejap je. Memang tak tahan lama. Biasanya sebulan kerja lepas tu saya berhenti” – Zulfa.

kembara-ke-uk-gunting-rambut-14
Kedai saya di Selayang Baru.

Selepas sekian lama bertukar kerja, akhirnya Zulfa memberanikan diri membuka kedai gunting rambut sendiri pada usia 22 tahun.

Dengan berbekalkan modal RM1,000 beliau membeli peralatan asas untuk melengkapkan kedai kecil yang terletak di Selayang Baru.

Pada awalnya hanya rakan-rakan lama sewaktu sekolah dulu sahaja yang datang ke kedai beliau. Namun berkat kesabaran dan sentiasa mengikuti gaya rambut yang berubah mengikut peredaran zaman, kedai beliau menjadi semakin dikenali.

“Lama-kelamaan kedai saya menjadi antara kedai yang popular di Selayang Baru. Pelanggan dari jauh pun datang sebab saya orang muda yang buka kedai sendiri dan hanya orang muda tau citarasa orang muda. Kebanyakan pelanggan saya adalah budak-budak sekolah dan remaja” – Zulfa.

Baca: Bagaimana Startup Digital Media Tempatan Ini Menjadi Trendsetter Dan Mengubah Pemikiran Masyarakat

kembara-ke-uk-gunting-rambut-16

Kedai beliau yang diberi nama PAPA HAIR DRESSING dan beralamat di no 142 Jalan 11, Selayang Baru ini telah beroperasi selama 13 tahun.

Menurut Zulfa juga, meskipun telah merantau ke UK kedai beliau di Selayang Baru tetap beroperasi seperti biasa dan diuruskan oleh pekerja beliau.

Impian dan perancangan masa depan

Meski pun enggan bercerita lebih lanjut tentang perancangan beliau, dapat saya rasakan Zulfa seorang yang mempunyai cita-cita dan impian yang besar.

Setelah hampir 6 bulan menimba pengalaman di UK, tiba masanya untuk Zulfa kembali ke tanah air.

Menurut pemuda ini kemungkinan besar beliau tidak lama di Malaysia kerana telah menerima tawaran bekerja di kedai gunting rambut di USA pula. Bagi Zulfa ini satu peluang yang baik bagi beliau menimba pengalaman baru.

Boss saya suruh datang kerja sini semula nanti tapi saya rasa nak cari pengalaman di negara lain pula – Zulfa.

Travel dan hobi unik

Siapa sangka di sebalik kerjaya dan usahawan kedai gunting rambut, Zulfa juga gemar mengembara. Sebelum ke UK hampir setiap bulan beliau meluangkan masa mengembara sama ada di dalam mahupun ke luar negara dengan kereta antik Beetle yang telah diubah suai.

Kerja gunting rambut pun satu bisnes yang bagus jika diurus dan dipasarkan dengan baik. Selalu orang pandang sebelah mata je tukang gunting rambut ni. Tambahan bila kedai kecik saja.

kembara-ke-uk-gunting-rambut-17
Beetle saya ni pernah viral dulu sebab bawa travel.

kembara-ke-uk-gunting-rambut-18

kembara-ke-uk-gunting-rambut-19

“Ini masa saya mengembara naik Beetle sambil gunting rambut di Chiang Mai. Penuh orang tengok dan menunggu” – Zulfa.

Pesanan kepada pembaca Vocket

Sebelum mengakhiri artikel ini, ingin saya sampaikan pesanan Zulfa buat anda.

Apa yang saya nak sangat pembaca dapat dari kisah saya ni hanya satu – jangan berhenti berusaha tak kira anda dalam bidang apa sekali pun. Berusahalah menjadi yang terbaik walaupun terpaksa bermula daripada kosong.

“Buat adik-adik remaja tu walaupun tak bernasib baik dalam bidang akademik, jangan putus asa. Masih ada peluang lain yang lebih baik asalkan kita berusaha.”

“Buat yang bercita-cita nak jadi barber macam saya, anda kena ada minat dan mesti sabar. Perniagaan ni hanya perlu keluar modal sekali saja untuk beli peralatan yang sesuai. Dan tak perlukan modal yang besar. Kadang-kadang saya rasa sedih bila tengok ada orang jadi ‘barber’ ikut musim.”

“Dan saya juga nak ingatkan, hormatilah apa sahaja pekerjaan halal tak kira siapa mereka sekali pun. Bagi sokongan bukan sahaja pada mereka yang kita kenal, tapi kepada semua orang tak kira bangsa dan agama.”

“Sebenarnya saya kurang selesa bila orang selalu cakap “bangga anak Melayu berjaya”. Saya memang bangga jadi anak Melayu, tapi saya lebih berbangga jadi anak Malaysia.”

kembara-ke-uk-gunting-rambut-6
Kemahiran yang ada jika kita gunakan dengan baik pasti boleh buat kita berjaya. Kawan-kawan terkejut bila saya beritahu berapa gaji saya di UK.

Buat Zulfa, terima kasih atas perkongsian penuh inspirasi kali ini. Saya dan seluruh warga Vocket mendoakan agar Zulfa berjaya mencapai apa saja impian dan cita-cita yang diimpikan. Kerja ‘barber’ pun boleh berjaya bhai! Janji sabar dan sanggup berusaha.

Baca lagi: Bagaimana Bekas Perunding Kewangan Ini Memiliki 18 Butik Seluruh Negara