Setiap pengembaraan pasti akan menemui titik pengakhiran. Dan adakala ia juga menjadi titik permulaan kepada pengembaraan yang baru, dalam zon dan suasana yang berbeza.

Jika sebelum ini kami di Vocket telah banyak berkongsi tentang kisah travel anak muda di negara ini, kali ini saya ingin bawakan sesuatu yang sedikit berbeza.

Kisah beliau telah pernah dikongsikan pada tahun lepas di Vocket sewaktu pengembaraan berbasikal bersama 2 rakannya dari London ke Malaysia.

Baca: Berbasikal Dari London Ke Malaysia, 3 Pemuda Ini Bertemu Anjing Yang Mengajar Erti Sahabat Sejati

Kini selepas kembali ke Malaysia, pemuda ini berusaha melaksanakan impian, cita-cita dan visi yang pernah beliau bayangkan sewaktu dalam tempoh pengembaraan tersebut.

Ikuti temubual saya bersama pemuda yang lebih dikenali dengan nama Muhammad Adeeb ini tentang apakah yang telah beliau lakukan setelah berakhirnya kayuhan sejauh 29,000km, serta cabaran yang dilalui oleh beliau dalam melaksanakan impian ini.

Vocket: Hi Adeeb. Terima kasih kerana sudi ditemubual oleh Vocket. Boleh kongsikan nama, umur, pendidikan dan pekerjaan terkini?

Adeeb: Assalammualaikum, nama saya Muhammad Adeeb, berumur 27 tahun, tamat belajar di German-Malaysian Institute dalam kursus Network Security dan pekerjaan terkini ialah ‘macai’ di HAUS BY SSMY. Hehehe.

haus-by-ssmy-6
It’s HAUS, a home for the brave, dreamers & doers!— at HAUS BY SSMY with one of my guest.

Vocket: Dari mana Adeeb dapat idea untuk membangunkan Haus by SSMY, apakah fungsi Haus by SSMY dan apakah maksud di sebalik nama ini?

Adeeb: Ketika dalam pengembaraan yang lepas bertajuk ‘Journey to Homeland by SSMY‘, saya telah diberi begitu banyak kebaikan. Dari diberi makanan sehinggalah dipelawa bermalam di rumah mereka, pernah sampai berbulan lamanya.

Saban hari, ketika dalam perjalanan sering saya berfikir, apakah caranya apabila pulang kelak saya dapat membalas balik pada ‘mereka’ (sang pengembara).

Maka dari satu tempat ke satu tempat yang lain, saya ambil sedikit idea untuk dibawa pulang sesuai dengan ‘vision’ yang saya lihat sebelum ini untuk mempunyai sebuah ‘ruang’ bekerja yang intipatinya adalah seperti sebuah keluarga.

Dari sebuah impian, saya cuba mencari satu nama yang sesuai dengan tema yang bakal dibawa, maka lahirlah nama ‘HAUS BY SSMY’. Saya cuba mencari perkataan yang ringkas tetapi menghubungkan misi dan visi yang saya lihat.

Pertamanya kerana saya belajar bahasa German dan sudah pasti ‘HAUS’ adalah suatu nama yang ringkas dan sesuai dengan konsep yang cuba diketengahkan, bermaksud ‘rumah’ kerana terdapat ‘guestroom’ di sini.

Seperti mana rumah, kita mempunyai dapur, bilik tidur, ruang tamu, laman luar, juga ruang pakaian. Begitu juga disini, mempunyai guestroom, café, bibliothèque, küchen dan berbagai lagi.

Konsep dan fungsi HAUS BY SSMY adalah sebagai sebuah ‘hub’ untuk traveler, dimana lokasinya adalah sebuah rumah (saya tidak mementingkan ‘hotspot’ sebaliknya percaya dengan kuasa ‘networking’).

Di sini dengan network yang saya telah bina bertahun yang dulu, dalam dan luar negara telah banyak membantu menghubungkan saya dengan dunia luar.

Ttraveler datang silih berganti ke sini dan memilih Johor sebagai destinasi hentian. Sebelum ini Johor hanya sebagai sebuah laluan untuk mereka yang dari Melaka ke Singapura dan juga sebaliknya.

Di Café ini saya memberi peluang buat pekerja bereksperimentasi, mencungkil bakat mereka bersama demi ‘passion’, dan ‘customer‘ yang datang pula dapat mencuba menu yang dibawa di sepanjang perjalanan saya, juga menu yang baru dan berlainan dari Café yang ada sekarang.

It’s like food traveling in here while you get a chance to meet the traveler from all over the world while sharing experiences together!

haus-by-ssmy-5

haus-by-ssmy-7

haus-by-ssmy-8

haus-by-ssmy-9

haus-by-ssmy-10

haus-by-ssmy-1

Harini ada pasangan dari Slovakia bersama dua anak kecil yang comel mata biru datang bermalam di @hausbyssmy untuk 4 malam. Kadang macam tak percaya, dia pilih tempat ni sebab nak dengar cerita aku mengembara dan spend some time dengan aku untuk berkongsi pengalaman dan ilmu.

Vision yang aku nampak ketika dalam pengembaraan, kini menjadi realiti. Alhamdulillah.

Vocket: Ada berapa orang staff dan apa yang ditawarkan di sini.

Adeeb: Saya mempunyai 10 orang ahli keluarga terhebat yang bersama-sama membantu menjadikan impian ini suatu realiti. Selain dari guestroom dan café, di sini juga saya buat tour agency ke luar negara, secara backpackers, bikepackers dan juga pakej biasa.

Buat masa sekarang, pakej yang ada ialah Bosnia, Turki, Korea, dan yang akan datang Australia dan New Zealand Insyaa Allah. Jadi dengan adanya tour agency di sini, salah satu ‘benefit’ yang diberi ialah dalam masa tertentu saya akan membawa mereka keluar mengembara, bukan bercuti, tetapi perjalanan sambil belajar.

Contoh jika mereka adalah chef maka tentunya menu baru yang akan dibawa pulang, begitu juga barista, runner juga guestroom helper semua dapat merasa, keluar mengembara dengan tujuan, tidak sama dengan keluar dan pulang dengan minda dan hati yang kosong.

Vocket: Ada berapa bilik dan berapa ruang di Haus by SSMY?

Adeeb: Di HAUS BY SSMY, saya ada 3 buah bilik guestroom dan sebuah hostel room (masih belum dibuka), sebuah ruang untuk disewa (birthday party), sebuah ruang untuk meeting dan library.

Vocket: Dari segi pengiklanan, di mana Adeeb iklankan Haus by SSMY?

Adeeb: Mana-mana medium sosial network, saya siarkan tentang HAUS BY SSMY, hinggakan sebelum dibuka tempat ini juga sudah begitu ramai traveler datang singgah di sini. Dalam tempoh 2 minggu selepas tempat ini dibuka kami sudah mempunyai beberapa ‘regular’ guest.

Vocket: Jika tak keberatan boleh kongsikan apakah cabaran yang dilalui sebelum Haus by SSMY dapat dibuka oleh Adeeb?

Adeeb: Dengan percambahan Café yang seperti cendawan dewasa kini, juga hotel dan motel budget di sekitar bandar, saya berasa ragu-ragu untuk meneruskan impian ini.

Orang berkata, tempat saya tersembunyi, tiada apa yang menarik di Johor Bahru untuk traveler-traveler ini tinggal lebih lama. Hampir sebulan saya tak buat apa-apa, bermacam perasaan timbul namun seperti dalam pengembaraan yang lepas, saya berjaya menamatkannya kerana saya percaya kepada impian saya.

Vocket: Apa pula cabaran yang dirasai sekarang setelah Haus by SSMY telah berjaya dibuka?

Adeeb: Setelah HAUS BY SSMY dibuka, lain pula masalah yang mendatang. Dari segi mentaliti kebanyakan bangsa Johor terutamanya, anak muda (belia) kita memang saya cukup kagum dengan idea yang dilontarkan mereka, mereka banyak mengembara ke negara jiran, melihat impian anak muda di sana bukan sahaja mampu tumbuh berjaya malah disokong sepenuhnya oleh kerajaan mereka.

Di sini, alangkah bagusnya jika kita dapat capai seperti mereka di mana anak muda berniaga seawal usia, berjaya mencipta nama. Sampai bila kita nak di tampuk sama, menjadi kuli sepenuh masa?

haus-by-ssmy-12

Vocket: Daripada pengalaman berbasikal lepas, ada perancangan nak buat buku? Jika ye apakah statusnya kini.

Adeeb: Memang ada plan nak buat buku, tapi sebelum tu saya nak fokuskan dengan bisnes sekarang dahulu. Buat buku bagi saya memang perlu masa yang sesuai, fokus yang sepenuhnya, kerana saya bukan hendak menjual buku, tetapi berkongsi ilmu.

Insyaa Allah sebelum mengeluarkan buku pengembaraan ‘Journey to Homeland’ saya akan siapkan dulu menulis buku pengembaraan saya yang sebelumnya, bertajuk ‘Survival Tour‘ kerana pengembaraan itu yang membuatkan saya lebih kuat dan menjadikan saya ialah saya pada hari ini.

Vocket: Adeeb juga nampaknya telah dipanggil untuk berkongsi pengalaman oleh pihak tertentu. Biasanya apakah yang sering dikongsikan dalam talk tersebut?

Adeeb: Tajuk yang dibawa pada hari itu ialah berkaitan hubungkait perniagaan dan pengembaraan. Antara 2 ini mempunyai persamaan yang cukup kuat dan saya percaya, seorang usahawan bukan sahaja seorang pemimpi, tetapi juga seorang yang sentiasa berusaha menjadikan mimpi itu sebuah realiti.

Pengembaraan akan menjadikan seseorang itu lebih ‘humble’ , ‘gentle’ dan ‘gamble’, juga seorang perancang yang baik. Seperti saya ketika mengembara, tanpa duit yang banyak sekalipun tapi kerana saya punya ‘proper plan’ yang saya bina hampir setahun, membuatkan saya berjaya menamatkan dengan jayanya selari dengan perancangan dan fakta asal pengembaraan, bak kata pepatah, “if you fail to plan, you plan to fail”.

Vocket: Nampaknya Adeeb juga telah menerima beberapa anugerah. Boleh kongsikan tentang ini?

Vocket: Alhamdulillah, sejurus balik sahaja pengembaraan selama 17 bulan saya telah dianugerahkan menjadi Ikon Belia Johor yang pertama, oleh Presiden Belia Johor, Persatuan Majlis Belia Negeri Johor (PBNJ) dan Ketua Pemuda UMNO Bhg Pasir Gudang.

Kemudian itu dapat anugerah Ikon Belia kedua ketika Hari Pekerja yang lepas oleh YB Datuk Khaled Nordin dan terakhir dapat menjadi Ikon MARA sempena MARA 50 tahun.

haus-by-ssmy-15
Selesai talk usahawan bersama Diana Amir di New York, Hotel.
haus-by-ssmy-18
Selesai sahaja talk usahawan di Hotel New York Johor Bahru, terus bergegas Ahli Parlimen Pasir Gudang panggil penyampaian saguhati untuk Ikon Belia Johor Bahru dari YAB MB Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin.
haus-by-ssmy-16
Selesai ‘Sharing Session’ bersama Yayasan Pelajaran Johor di KSL Resort, Johor Bahru. Terima kasih sudi jemput, terima kasih sudi mendengar. Semoga terinspirasi.

haus-by-ssmy-17

Populasi di Malaysia sebanyak 30 juta orang, sempena “MARA 50 Tahun” aku telah terpilih untuk bersama 50 orang hebat kelahiran MARA untuk dimuatkan dalam buku ini dan menjadi 3 ‘highlight’ utama! Siapa kata impian tak bisa jadi realiti?

Vocket: Berbalik kepada pengalaman berbasikal dari London ke Malaysia lepas, apakah pengalaman paling berharga yang Adeeb perolehi daripada pengembaraan tersebut?

Adeeb: Berjuta pengalaman yang saya perolehi dari bermacam orang yang saya temui di sepanjang perjalanan saya, semuanya cukup berharga. Setiap seorang yang saya temui mengajar saya bermacam perkara, pelajaran tentang kehidupan.

Namun bagi yang mengikuti perkembangan pengembaraan saya pastinya tahu tentang kisah saya bersama Ohrid, seekor anjing yang mengajar saya erti persahabatan yang lebih hebat dari seorang manusia.

Baca: Berbasikal Dari London Ke Malaysia, 3 Pemuda Ini Dibantu Lelaki Tua Kaya Yang Sangat Zuhud

Vocket: Bagaimana pula dari segi perubahan kepada diri? Apakah perkara positif yang telah Adeeb rasakan?

Adeeb:The brand-new me‘. Air yang bertakung akan membusuk, air yang mengalir akan sentiasa baru dan bersih. Sebelum ‘Survival Tour’ dan ‘Journey to Homeland’, saya banyak mengembara ke sana sini, pergi dan pulang, sama sahaja yang bawa pulang hanya penat dan lelah.

Hinggalah di ‘Survival Tour’, saya singgah ke sebuah tempat ini lalu diajukan soalan, “mengapa perlu saya mengembara?”, saya jawab mengenal diri. Disuruh saya “muhasabah diri”, dijawab mengenal Tuhan, disuruh saya sujud di atas sejadah.

Titik itu saya tanya pada diri, apa yang saya cari di luar sini, untuk apa berpenat lelah begini sekali, manakala ketika di Istanbul, diajukan pula soalan “apakah niatmu?” Saya terpaku diam, sudahkah aku berniat untuk pengembaraan ini? Apa guna, “rukun” mengembara aku khatam tetapi tiada niat yang betul?

Seperti solat lengkap rukunnya beserta tertib, namun tanpa niat tidak sah solatnya. Begitulah juga pengembaraan.

Malah bukan sahaja pengembaraan, apa juga yang kita lakukan, dahulukan dengan niat, maka lainnya jadi ibadah dan dipermudah Allah swt. Niat. Tujuan. Matlamat.

Berikut saya kongsikan sebahagina daripada beberapa kisah sewaktu bersama tetamu yang singgah dan menginap di Haus by SSMY:

Kisah 1 – Tetamu dari Morocco

haus-by-ssmy-2

Harini aku nak cerita tentang guest aku, seorang traveler dari Morocco. Nama dia Yahya, beragama Islam, 27.

Aku ambil dia setelah sampai di Johor Bahru dari Kuala Lumpur untuk menginap beberapa malam di @hausbyssmy , aku ambil dia waktu tu hampir nak berbuka tunjuk bilik dia untuk bersihkan diri dan ajak berbuka sama di Café di bawah. Tidak putus ucapan terima kasih kepada aku.

Lepas berbuka dia bersiap nak pergi tarawih, lokasi @hausbyssmy berhadapan dengan pentas Danga Bay dan staff aku cerita kat dia masjid macam dekat lalu dia terus nak berjalan kaki ke masjid Sultan Abu Bakar. Nasib adik aku tahan dan hantar dia, kalau jalan kaki alamatnya dia sampai sana tarawih habis dah.

Pulang dari tarawih kami duduk satu table minum dan berkongsi cerita pengembaraan masing-masing. Dipendekkan cerita, aku tanya ‘kenapa’ dia mengembara, aku kata ada orang mengembara sebab nak lari, ada yang nak mencari, dan bermacam lagi.

Aku mula dengan cerita aku, ketika di Yala, aku ditanya soalan ‘kenapa’ tu, aku cakap aku nak tengok dunia, kenal Tuhan kenal diri lalu dijawab semula, untuk apa perlu keluar, google boleh tunjuk satu dunia, atas sejadah boleh kenal Tuhan, sendiri takkan tak kenal diri sendiri. Aku terbangang tak tahu nak balas apa.

Kemudian, di Turki, imam kata pula, apa niat aku mengembara? Rupanya tak ada niat! Aku mengembara kosong, bagai solat lengkap semua rukun, tapi lupa niat, jadi tak sah solat. Tanpa niat dalam mengembara, kalau mati jadi mati katak, kalau berniat, jadi ibadah!

Lalu, aku tanya kembali. Kenapa dia mengembara? Apa niat dia? Dia cuba berkata-kata, tapi seakan tersangkut-sangkut, dia cuba menahan, sebak dalam dada, air mata mula bergenang, tatkala aku usap bahu dia, “chill brother” dia terus menangis.

Kata dia, dia malu, dia cemburu, tengok Islam kat sini, siapa pun pandai baca Quran, siapa pun boleh baca jawi, boleh bertutur arab, bahasa akhirat. Keluarga Islam tapi mak ayah tak ajar semua tu.

Dia malu, sedih, dia keluar ni nak cari Islam, nak kenal Islam, nak belajar bahasa Arab, nak tahu apa dia baca tiap-tiap hari rukuk dan sujud tu. Jadi Islam hanya pada nama. Dia malu pada diri dia, pada Tuhan.

Semoga kisah dia, jadi pedoman kita semua di bulan yang mulia ini. Dia masih disini, kalau nak jumpa borak-borak dengan dia, gadis-gadis nak masuk meminang dia ke, muka da macam Bront Palarae ni, bolehlah datang singgah di HAUS BY SSMY. Berbuka puasa bersama kami.

Kisah 2 – tetamu dari Argentina

haus-by-ssmy-3

Dari seorang ‘guest’ bertukar ke ‘guest’ yang lain, bermacam negara bermacam cara, bermacam pelajaran yang kau terima dari mereka walaupun kau tak keluar mengembara sekarang.

Ini guest aku dari Patagonia, Argentina. Journalist televisyen ambil keputusan berhenti kerja dan keluar mengembara di usia yang agak lewat sebenarnya untuk dia, 37 tahun.

Seboleh-boleh dia nak interview aku, sampai sanggup tak nak makan dulu. Aku minta letak kamera tu statik tapi dia tak na. Dia kata dia biasa macam gini. Aku terima dan terus diwawancara, begitu banyak soalan diajukan.

Aku jawab seikhlas hati, terus dari apa yang aku rasa, aku lihat sepanjang mengembara. Semakin lama soalan semakin sensitif, berkaitan diri sendiri, pencarian, motif, keluarga, dan bermacam lagi.

Pertama kali dalam interview, orang yang interview aku menangis, bergenang air mata dia sambil sembunyikan di sebalik kamera itu. Baru aku sedar, baru aku faham, tidak, ini bukan kerana aku, tapi kerana dia, ini untuk dia. Aku suka menganalisa orang yang aku jumpa, aku boleh membaca hati dan niat seseorang dalam hanya beberapa jam luangkan masa dengan mereka.

Aku yakin, sudah terlalu lama dia pendam dalam hati. Ingin mengembara, keluar melihat dunia, mengejar impian. Namun pasti ada yang menghalang. Keluarga, keadaan, rasa takut dalam diri, duit, dan bermacam lagi yang membuatkan kakinya bagai dirantai.

4 bulan di jalanan, dia sudah melihatkan berbagai kisah, mempelajari bermacam pelajaran. Tatkala aku tuturkan “the road will teach you“, berjujuran air mata dia.

Selesai ‘interview session‘ dia peluk erat, “you’re a great man“. Cukup, sungguh bermakna buat aku. Tatkala ada yang sangsi akan cara aku, tapi ada yang diluar sana mengagumi dan terinspirasi.

Terima kasih. Aku bukan sempurna. Aku masih mencari kepingan-kepingan diri di luar sana untuk menjadikan aku lebih baik dari hari ini.

haus-by-ssmy-4
Malam ni ada guest dari Spain pulak. Tantik pulak tu — at HAUS BY SSMY.

Vocket: Ada merancang untuk travel lagi di waktu terdekat? Atau mungkin di masa depan? Jika ye, ke mana?

Adeeb: Mengembara sudah menjadi nadi hidup saya. Namun saya juga percaya dimana saya berada, apa saya lakukan, dengan siapa saya berjumpa, segalanya sudah ditakdirkan Dia.

Live in the present, that’s why it’s called a present, now is a gift. Setakat ini saya sudah siapkan route Indonesia dari hujung ke hujung. Bila akan dilaksanakan tu, masih tidak tahu lagi. Tapi sejujurnya bila kita tahu yang betapa mudahnya hidup kat luar sana, walau tanpa apa-apa, kita rasa susah hidup di dalam sini, walau semua benda kita ada.

Vocket: Baiklah Adeeb. Terima kasih untuk perkongsian kali ini. Apakah pesanan Adeeb buat pembaca Vocket yang ingin mengembara dalam tempoh yang jauh dan lama sepertimana yang telah Adeeb lakukan.

Adeeb: Apa jua yang sedang kita cari, sebenarnya ia juga sedang mencari kita. Buatlah dengan tujuan yang betul, matlamat yang betul dan dengan niat kerana Dia.

Saya telah lihat adanya Dia, telah rasa dekatnya Dia. Tak kira apa jua yang kalian lakukan usah sesekali lupa untuk hormati pengembaraan orang lain dan cara mereka.

Dan jangan sesekali anggap perjalanan kita dengan mereka adalah sama kerana saya sudah mengembara bersama bermacam jenis orang. Tidak semestinya kita di dalam perjalanan yang sama, apa yang kita lihat, rasa dan mengerti itu juga akan sama. Ia takkan mungkin sama.

Walau berbeza pendapat, itu masih tetap indah. Cuma ada masa kita perlu tahu bila harus kita melepaskan kerana untuk menjadi seorang yang lebih kuat, kita harus belajar bertarung seorang diri.

Vocket: Dan apa pula pesanan Adeeb buat pembaca yang mungkin berminat untuk menceburi perniagaan seperti Adeeb.

Adeeb: Tidak bahaya sesebuah kapal apabila berada di atas air, tetapi yang bahaya bila ada air di dalamnya. Tidak bahaya seseorang hamba di dunia, tetapi yang bahaya jika dunia di dalam hatinya.

Berniagalah kerana itu sunnah dari Baginda. Juga berniagalah demi keluarga juga demi untuk membantu saudaramu yang lain.

haus-by-ssmy-14

Biar pendiam tapi berisi, daripada bising menyusahkan orang; biar banyak ingatkan mati, daripada hidup bagaikan arang.

Buat Adeeb, terima kasih atas perkongsian kali ini. Semoga ia dapat memberi manfaat dan inspirasi buat pembaca Vocket. Juga, kami di Vocket mendoakan agar segala impian Adeeb akan tercapai.

Jika diperhatikan, saya percaya telah banyak yang telah Adeeb pelajari sewaktu di jalanan sehingga berjaya membentuk diri beliau menjadi seorang individu sebagaimana hari ini.

Anda boleh ikuti perkembangan Adeeb di akaun Facebook Muhammad Adeebs dan juga di FB Page Haus By SSMY. Untuk pengetahuan anda, Haus By SSMY juga turut menyediakan buffet Ramadhan dan menu ala-carte di sepanjang bulan Ramadhan kali ini bagi mereka yang ingin berbuka puasa dan bersahur.

haus-by-ssmy-19

haus-by-ssmy-20

haus-by-ssmy-22

haus-by-ssmy-23

haus-by-ssmy-24

Selamat tinggal Yahya, semoga Tuhan sentiasa bersama kamu. Doa dia buat aku,
“Semoga Allah swt bukakan pintu Syurga sepertimana aku buka pintu Haus By SSMY untuk dia.”  Masya-Allah, doa ini, cukup kuat, cukup berat, doa dari mereka (musafir) ini yang aku mahukan. Aaminnn, aaminnn ya rabbal alamin.

Buat pembaca di luar sana, semoga apa yang telah dikongsikan kali ini bukan hanya memberi inspirasi kepada anda, tapi juga turut memberi satu dimensi dan sudut pandang yang berbeza terutama setelah kembalinya anda daripada mengembara.

Sesungguhnya banyak perkara dapat dipelajari di jalanan. Keluarlah mengembara dan kembalilah bila tiba masanya dengan semangat dan diri anda yang baru serta menjadi seorang yang lebih positif.

Baca lagi: Rugi Dalam Perniagaan, Pemuda Ini Tekad Mengembara Ke USA Dan Cari Peluang Baru