Saya bukanlah pelajar pintar yang boleh meramalkan diri untuk masuk universiti dan dapat bekerja hebat! Sejak di bangku sekolah rendah lagi, saya selalu dapat tempat paling corot didalam kelas sewaktu peperiksaan.

Tapi saya minat sangat pada pendidikan seni, tapi seni lukis ni tak boleh berhenti! Nanti skill dia mati. Bila dah ‘nakal’ mana nak duduk rumah mengadap lukisan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Yang saya tahu tiap petang pergi padang, masuk kebun, mandi paya, pergi laut, pernah la lemas beramai-ramai dengan kawan-kawan, tapi Alhamdulillah air laut tarik ke darat balik.

Masuk sekolah menengah, teringin juga nak jadi macam orang lain, bijak belajar, ada awek, hensem-hensem dan ada style la!

Tapi kita ni orang susah. Nak masuk kelas tambahan pun tak mampu, belajar sendiri la yang mampu. Akhirnya keputusan SPM ala kadar sahaja, tapi hati ni masih merontan tak nak hidup susah lagi.

Zaman kanak-kanak saya memang hidup susah. Rumah tak ada TV, pakai dapur kayu, tak macam orang lain. Bila nak tengok tv kena pergi rumah orang.

Saya dah tak nak macam tu lagi, walaupun hidup kami gembira. Tambah-tambah bila mak ayah dah tak ada nanti, siapa nak bantu kita? Saya pun hantar permohonan masuk ke banyak kolej dan pusat kemahiran.

Sekurang-kurangnya boleh la jadi kuli yang bergaji tetap. Tapi semua tak dapat. Entahlah. Bukan rezeki! Saya mohon kerja. Bila tengok kawan- kawan dah bawa balik motor besar balik kampung, kita rasa kecewa pada kemampuan diri.

Saya dapat kerja KFC. Lama juga la kerja KFC, hampir satu tahun. Dan saya akhirnya saya dapat tawaran melanjurkan pelajaran di Tingkatan 6. Saya pun pergilah dengan hati gembira.

Tingkatan 6 ni lain, bukan macam tingkatan 1-5. Pelajarannya susah, cikgu pulak dah macam style universiti (tak semua). Keputusan STPM saya kurang memuaskan, apa la nak jadi dengan aku ni!

Saya berHIJRAH ke bandaraya Johor Bahru dan tinggal dengan kakak dan abang ipar. Punyalah susah cari kerja. Last-last abang ipar dapatkan saya kerja di sebuah kilang. Teruja nak kerja! Sebab nak mula dari bawah hingga berjaya.

Tapi apa di bayangkan hanya impian. Kilang besi cair yang panas penuh asap hitam itu sungguh dasyat. Penatnya bukan kepalang, gajinya tak berbaloi langsung!

Patutlah orang Nepal dan Bangla je ramai kerja dalam kilang tu. Saya berhenti bukan sebab kerja tu lasak tapi kerana tak mampu nak bayar minyak, kenderaan, makan dan rumah dengan gaji yang macam tu.

Saya betul-betul tertekan. Dari sini saya jumpa cara melangkah dari ‘lembah ke menara’.

Berikut saya kongsikan 7 benda yang saya telah buat sewaktu cuba keluar dari lembah kelam dulu:

1. Cari di mana kelebihan diri

Saya ni minat seni. Seni lukis, seni penulisan dan seni persembahan. Saya pernah menjuarai pertandingan puisi peringkat daerah dan negeri, jadi saya ambik seni sebagai skill dan kelebihan saya.

2. Cari lebih banyak pengalaman dan skill

Saya asah diri saya melukis dan menulis, saya tulis lebih banyak lagi puisi dan cerpen meski pun saya rasa agak terhad kerana pengetahuan saya tidak meluas lagi untuk buat skrip dan lirik.  Pada masa lapang saya akan menulis dan melukis, dan kebanyakannya sebagai koleksi simpanan saya. Boleh juga hantar ke ahkbar dan majalah satu hari nanti.

3. Sambung belajar dan ambil kursus yang memerlukan skill

Saya mohon Akademi Seni Warisan Kebangsaan atau nama singkatannya ASWARA. Memang gementar nak masuk ASWARA ni sebab bukan calang-calang orang mengajar dan belajar disini.

Zzaman saya belajar ada Syafinaz Selamat, Marlia Musa, Ahmad Yatim dan ramai lagi guru-guru seni yang hebat. Pelajarnya waktu tu ada NamRon, Que Haidar, Juhara Ayub, Norzizi Zukifli, zul huzaimy dan ramai lagi.

Tapi bila kita belajar benda kita minat kita boleh buat sesuatu yang kita sendiri tak jangka. Daripada seorang pelajar tak pandai apa-apa, saya dapat anugerah dekan fakulti teater untuk semester akhir disana.

Alhamdulillah saya tamat pengajian dengan cemerlangnya. Kira ini juga pengHIJRAHAN saya. Lepas habis belajar di ASWARA saya menetap di Kuala Lumpur, mencari pengalaman demi pengalaman. Dan saya juga dapat tawaran sambung ijazah di Universiti terkemuka negara.

convo aswara
Konvokesyen ASWARA

convo-1

4. Mantapkan teori

Saya dapat sambung Ijazah di Universiti Malaya. Siapa sangka? Kalau saya ingat balik siapa saya 20 tahun dulu, orang akan gelak pada saya jika saya cakap saya akan masuk UM suatu hari nanti.

Saya pernah diketawakan masa saya sekolah rendah. Bila cikgu tanya apa cita-cita awak? Saya cakap nak masuk Universiti dan nak jadi cikgu.

Akhirnya saya dah dapat jejak Universiti Malaya. Saya habiskan pengajian di UM dengan jayanya. Saya dapat pointer yang lebih baik dari masa diploma dulu.

Belajar di UM ni memang cukup mencabar. Nak dapat A markah dia lebih tinggi daripada U lain. Nak dapat anugerah dekan pun bukan 3.5 tapi lebih dari tu. Alhamdulilah saya pernah dapat anugerah dekan di UM dan saya tamatkan UM dengan pointer melebihi 3.5.

5. Mantapkan resume

Bidang saya ni kena mantapkan pencapaian baru orang pandang. Jadi saya masuk pelbagai pertandingan teater. Tapi masuk pertandingan seni persembahan ni bukan macam lumba lari, kalah menang kita nampak.

Jadi saya sudah siap sedia awal untuk kalah dan menang. Alhamdulillah saya berjaya merangkul kejuaraan pertandingan teater sebanyak 4 kali untuk festival teater negeri dan di UM sendiri. Kenangan paling manis saya dianugerahkan 2 kali sebagai pengarah terbaik untuk pertandingan teater.

6. Tulis target setiap tahun

Dulu masa di tahun 90 an kita ada diari. Saya gunakan diari tu untuk tulis target saya setiap tahun. Saya akan tulis di muka akhir diari tu apa yang saya nak pada tahun itu.

Jadi sepanjang tahun tu saya akan kejar target saya dan saya tak akan lupa apa yang saya target.

Contohnya nak dapat A dalam pelajaran, nak anugerah dekan, nak berlakon tv, nak berlakon di Istana Budaya dan macam – macam lagi. Semua tu boleh mantapkan resume kita kelak.

7. Buat apa yang kita suka

Saya menulis, mengarah, berlakon dan mengajar dan dalam masa yang sama sekarang ini saya sambung MASTER lagi. Pernah bila balik kampung ada orang tanya saya, betul ke saya sambung master? Saya senyum je, sebab saya tahu mereka bukan tak percaya tapi mereka kagum dengan saya bila mereka teringat siapa saya 20 tahun yang dulu.

Inilah serba sedikit tips untuk adik-adik remaja yang mahu meneruskan hidup menjadi orang yang lebih berjaya dan buat apa yang diminati. Hidup ni terlalu indah untuk kita bersedih dan berdukacita. Allah bagi kita ruang yang luas untuk kita berusaha. Tapi titik tolaknya adalah USAHA! Saya bukanlah berjaya mana, tapi saya dapat membela nasib diri dan keluarga dan dapat membina keluarga yang cukup dan sempurna. Alhamdulillah.

eddy-rusdi-2
Alhamdulillah. Johan Festival Teater Negeri Johor 2015. Pengarah terbaik dan Sinografi terbaik. Syukur!

eddy-rusdi-1

Saya ni budak kampung, anak orang susah, jadi saya kena berusaha lebih dari orang lain. Tiada apa yang mustahil jika kita berusaha!