Sejak beberapa hari lepas dunia internet di Malaysia bergegar dengan suara sekumpulan anak muda yang cuba mempertahankan Tapak Warisan Sungai Batu di Kedah.

Secara peribadi saya sebenarnya sudah lama mengikuti perkongsian beliau dan rakan-rakan di page The Patriots yang banyak membicarakan tentang sejarah Melayu serta sejarah dunia.

Realme-7-Pro-Sun-Kissed-SpecIal-Edition
HYPE
Serba Lengkap, Unik Dengan Vegan Micrograin Leather, Ini 5 Sebab realme 7 Pro Special Edition Berbaloi Untuk Dimiliki
Baca lagi →

Malahan sebelum isu Tapak Warisan Sungai Batu ini hangat diperkatakan, saya telah pun menghubungi beliau untuk mengadakan sesi soal jawab bersama Vocket.

Dan sekembalinya saya dari trip ke Pulau Boracay, terus saya ajukan soalan berikut kepada Helmi Effendi atau lebih dikenali sebagai HE di kalangan pengikut The Patriots. Ikuti perkongsian beliau di bawah.

helmi-effendy-20

Hi HE, terima kasih kerana sudi ditemuramah oleh Vocket dan berkongsi aspirasi perjuangan HE. Berikut adalah soalan daripada kami.

Vocket: Boleh berikan sedikit latar belakang? Nama, umur, status perkahwinan, pekerjaan dan pendidikan?

HE: Nama saya Nur Hilmi bin Afandi atau nama penanya Helmi Effendy atau HE. Umur saya 22 tahun. Masih lagi bujang. Setakat ni pekerjaan saya adalah penulis novel, aktivis sejarah dan aktivis masyarakat untuk NGO The Patriots itu sendiri.

Setakat ini, saya juga adalah salah seorang daripada barisan pengurusan TP Press, sebuah rumah penerbitan yang ditubuhkan untuk membantu perjuangan NGO TP itu sendiri. Saya juga membuat freelancer seperti penulisan skrip filem dan drama, selain membuat penterjemahan karya Bahasa Inggeris ke dalam Bahasa Melayu.

Untuk pengetahuan semua, saya adalah graduasi Diploma In Media And Communication dari Unisel. Insyallah, kalau ada kelapangan, saya akan sambung pelajaran saya ke tempat yang lebih tinggi.

helmi-effendy-8

Vocket: Vocket di fahamkan HE adalah penulis dan juga admin bagi page The Patriots. Boleh kongsikan bagaimana HE boleh terlibat dengan page ini?

HE: Saya adalah salah seorang daripada pengasas page ini. Untuk pengetahuan semua, saya adalah bekas admin SSTDMM atau Saya Sayang Tun Dr Mahathir Mohammad.

Sampai satu masa, saya merasakan perjuangan saya memerlukan aspirasi yang baru, bebas dari politik dan mana-mana tokoh politik, maka saya dan sahabat saya, Jamalee Bashah menubuhkan The Patriots untuk membawa aspirasi baru dalam perjuangan kami dengan berkongsi ilmu pengetahuan demi membentuk minda kelas baru bagi rakyat Malaysia khasnya bangsa Melayu itu sendiri.

helmi-effendy-1

Sahabat. Jalan itu masih jauh untuk aku tapak berseorangan.

Vocket: Dari pemerhatian Vocket juga, HE banyak menulis dan berkongsi tentang sejarah Melayu. Apakah faktor yang mendorong HE untuk menulis tentang sejarah Melayu?

HE: Saya melihat layu dalam Melayu. Atas alasan itu saya merasakan bahawa perlunya sesuatu dilakukan demi menaikkan jati diri bangsa Melayu yang semakin layu dari semasa ke sama.

Saya merasakan bahawa taktik merendah-rendahkan bangsa sendiri dengan harapan mereka akan bangkit sebenarnya barah dan kanser yang memakan diri.

Taktik melabel bangsa sendiri dengan cemuhan hina ini membawa kepada stereotype daripada bangsa Melayu sendiri bahawa bangsa mereka adalah sehina-hina bangsa di dunia.

Perlunya sesuatu dilakukan demi memastikan semangat yang semakin luntur ini naik. Maka oleh kerana minat saya pada sejarah itu sendiri, saya merasakan bahawa mungkin mutiara yang boleh mengembalikan sinar kepada anak bangsa saya terkandung dalam sejarah Melayu.

Dari situ timbulnya minat mengkaji sejarah Melayu dengan bantuan daripada rakan seperjuangan yang lebih pakar dan berlatarkan bidang ini seperti Srikandi, Al-Semantani, dan Nabil yang juga merupakan sebahagian daripada team sejarah Melayu The Patriots.

Baca luahan HE: 23 Sebab Kenapa Tapak Warisan Sungai Batu Di Kedah Mesti Dipertahankan

Vocket: Apakah cabaran yang dilalui sepanjang menulis dan mengkaji tentang sejarah Melayu?

HE: Cabaran paling besar ialah ketika berdepan dengan bangsa sendiri yang ada penyakit inferiority complex dalam mencerna fakta tentang keagungan tamadun Melayu itu sendiri.

Seperti mana kata Soekarno yang boleh disematkan dalam situasi ini:

“Perjuangan aku adalah menentang penjajah. Perjuangan kalian lebih sukar kerana menentang bangsa kalian sendiri.”

Itulah yang dirasai oleh saya. Selain itu, cabaran yang agak sukar juga adalah mematahkan penyelewengan sejarah ke atas sejarah Melayu dari pihak-pihak tertentu.

Pelbagai tohmahan cuba mengubah sejarah Melayu itu memerlukan saya mengerahkan usaha yang lebih untuk menjawab setiap penyelewengan.

helmi-effendy-17

Vocket: Bagaimana HE lakukan kajian ke atas sesuatu perkara? Biasanya berapa banyak sumber yang perlu dikaji dan di periksa serta melakukan cross reference bagi memastikan HE berkongsi maklumat yang betul? Atau HE ada mentor / team yang membantu?

HE: Sumber utama pengkajian saya adalah daripada jurnal-jurnal sejarah Melayu yang boleh didapati di JStor atau beberapa tempat di Malaysia seperti Pusat Manuskrip Melayu di DBP. Selain itu, buku-buku sejarah yang berauthoriti sama ada dalam Bahasa Melayu atau Inggeris turut menjadi rujukan saya.

Sudah tentu rujukan silang dilakukan, terutama dalam perkara sejarah yang melibatkan status hipotesis dan teori kerana kita perlu mempunyai pasak yang kukuh sebelum menyebarkannya pada orang awam.

Team sejarah Melayu The Patriots itu sendiri seperti RAD, Amir Wijaya, Cikgu Nizam, Nabil, Semantani, Abang Fairuzzaman, MH Roslan, Haslina Bujang, Bonda Ninotaziz, Hangpcdua Malaya, Suhelmi A Majik dan banyak lagi nama memang banyak membantu pengkajian saya.

Kalau perlunya perbincangan untuk memastikan kesahihan fakta yang dikongsikan, pastinya mereka menjadi sumber rujukan saya.

Mentor? Kami kumpulan pengkaji indie sejarah Melayu dalam The Patriots pernah berseloroh bahawa kami mengganut mazhab sejarah yang dibawakan oleh Srikandi.

Ini kerana Srikandi ialah mentor dan guru utama kami dalam pengkajian sejarah Melayu ini. Tanpa Srikandi, mungkin team pengkaji sejarah Indie The Patriots tidak akan wujud.

helmi-effendy-15

Vocket: Ada kenangan manis yang ingin dikongsikan sepanjang terlibat dengan dan berkongsi tentang sejarah Melayu di Patriots?

HE: Kenangan manis saya ialah apabila melihat pokok yang kami baja (The Patriots) mula membuahkan hasil yang tidak disangka-sangka.

Misi kami menyedarkan masyarakat Malaysia semakin kelihatan apabila ramai mula celik sejarah, bahkan mula mendalami ilmu-ilmu lain seperti sains, agama, ekonomi, sesuai dengan aspirasi kami memastikan agar laman dan NGO kami menjadi wadah penyebaran ilmu terbaik dan dalam masa yang sama menyumbang ke atas pembangunan masyarakat dalam cara apa sekalipun.

Vocket: Bagaimana pula dengan kenangan pahit atau yang mengecewakan bagi HE?

HE: Bila ada rakan-rakan yang seperjuangan mengambil keputusan untuk berehat sejenak daripada perjuangan The Patriots atas masalah peribadi. Rasa seperti kekurangan salah satu tangan yang membantu menaikkan The Patriots.

Tapi, biar siapa pun masuk dan keluar dari page dan NGO kami, seperti mana kata legenda idola saya dalam bola sepak, Kenny Dalglish; “no one is bigger than club”. Dalam erti kata ini, no one is bigger than organisation.

helmi-effendy-13

Vocket: Apakah harapan HE dari segi perjuangan yang dilakukan kini. Apakah yang HE ingin orang-orang Melayu tahu dan kenapa?

HE:  Saya ingin mereka tahu bahawa mereka adalah pembina tamadun yang agung dan akan mengulanginya lagi. Suka saya petik kenyataan daripada Hassan Al-Banna tentang pentingnya sejarah itu sendiri untuk mereka hadam.

Imam Hasan Al-Banna, pengasas Ikhwanul Muslimin pernah mengatakan;

“Umat yang sedang bangkit memerlukan kepada perasaan bangga dengan kaumnya sebagai satu bangsa yang agung, istimewa dan bersejarah sehingga terbentuk dalam diri generasi muda.

Lantas mereka berjuang demi keagungan dan kemuliaan itu dengan darah dan roh mereka. Mereka bekerja demi kebaikan tanah air, kemuliaan dan kebahagiaannya.”

Itulah alasan saya yang paling kukuh.

helmi-effendy-7

Vocket: Selain dari menulis di TP, Vocket difahamkan HE juga ada menulis beberapa buah buku. Boleh kongsikan apakah buku-buku tersebut dan sedikit sinopsisnya?

HE: Seperti yang saya maklumkan di soalan nombor 1, saya ialah penulis novel.

Antara novel tulisan saya ialah Dari Alam Lain, yang mengisahkan pemburu hantu yang mengembara ke seluruh Malaysia demi mencari laluan ke alam bunian. Dalam novel ini, saya memperkenalkan keagungan Melaka dan Srivijaya sebagai tamadun Melayu yang agung secara santai kepada para pembaca.

Novel saya yang lain ialah Epidemik T, The Lost World dan antalogi Permainan Maut. Saya sedang mengusahakan Purbakala, sebuah karya genre horror-thriller berlatarkan sejarah Melayu. Buku-buku saya boleh didapati di kedai buku seperti MPH dan Popular.

helmi-effendy-16

Vocket: Apakah kesan positif yang HE rasai pada diri sendiri hasil daripada menjalankan kajian sejarah Melayu dan menggerakkan TP

HE: Kesan positifnya ialah apabila semua berbeza idealogoi bersatu di atas nama sejarah. Bayangkan dari anarchist sehinggakan page seperti Amran Fans yang fortenya sarcasm ke atas isu semasa berganding bahu dalam mempertahankan sejarah Melayu. Itu kejayaan yang hebat. Berbeza dari 3 tahun lalu ketika saya dan Jamalee Bashah menubuhkan The Patriots.

Vocket: Apakah pesanan khas yang ingin disampaikan dan harapan HE kepada folllowers TP dan juga pembaca Vocket?

HE: Jangan sesekali hilang jati diri dalam meneruskan perjuangan masing-masing. Bawa jati diri itu laksana sebuah mahkota di atas kepala kalian. Bawa ianya sebagai sebuah kebanggaan yang akan jadi inspirasi dalam perjuangan masing-masing.

helmi-effendy-14

Terima kasih kepada HE atas kesudian berkongsi di Vocket.

Jika anda adalah peminat sejarah dan ingin mengikuti perkembangan anak muda berjiwa besar ini, boleh ikuti penulisan dan perkongsian beliau sama ada di Facebook Page The Patriots atau di Facebook Helmi Effendy.

Kepada HE dan The Patriots, teruskan mara dengan perjuangan kalian!

Baca lagi: Malaysia Bakal Rugi Besar Di Masa Depan Jika Tapak Warisan Sejarah Ini Diranapkan

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram

Anda Mungkin Suka