Kisah Instagram dibeli daripada pengasasnya dengan harga USD1 billion telah begitu menarik perhatian pemuda ini sehingga mendorong beliau meninggalkan pekerjaan dengan pendapatan lumayan dalam dunia korporat pada ketika itu.

Sebelum kami bercerita dengan lebih lanjut tentang penglibatan secara langsung beliau, mari ikuti sedikit latar belakang pengasas TheLorry.com ini.

thelorry.com-1

Latar Belakang

Pemuda bernama Nadhir Ashafiq Zainal Abidin ini merupakan graduan lulusan Degree in Accounting dan Master’s in Finance daripada Curtin University, Perth, Australia.

Memulakan kerjaya pertama beliau sebagai Management Trainee di CIMB Investment Bank. Kemudiannya Nadhir telah dilamar untuk menyertai Abda Aviation, sebuah firma logistik udara. Jawatan yang dipegang oleh beliau di firma ini adalah Sebagai Finance Manager.

Meminati Keusahawanan Dan Pelaburan

Sejak di bangku sekolah lagi, Nadhir sangat meminati keusahawanan dan pelaburan. Malahan pada ketika masih bersekolah beliau telah mula membaca buku-buku daripada Donald Trump, Motley Fool dan Robert Kiyosaki.

Selepas beberapa ketika minat beliau berkembang kepada buku-buku yang lebih kompleks seperti Alchemy of Finance dan The Intelligent Investor. Minat beliau terhadap keusahawanan dan pelaburan juga terus dipupuk dengan sering melayari laman web Neopets.com.

Nadhir juga telah mula berniaga secara kecil-kecilan sewaktu di sekolah dan ketika di university seperti menjual ‘booster pack’ kad Pokemon, menjual CD rakaman band sendiri, gelang USB, baju branded tiruan dan lain-lain.

Beliau juga turut berjinak-jinak dan belajar tentang pelaburan saham dan futures.

Baca: Pemilik Bisnes Ini Berkongsi Mengapa Perkahwinan Boleh Menjadikan Kita Kaya

thelorry.com-3

Daripada Korporat Bertukar Kepada Usahawan

Bekerja dengan CIMB Investement Bank dan kemudiannya menyandang jawatan dengan gaji lumayan di firma logistik udara menjadikan beliau selesa dengan gaya kerja korporat.

Namun begitu jauh di sudut hati Nadhir tidak mendapat kepuasan bekerja kerana merasakan beliau tidak dapat membuat perkara penting yang membawa perubahan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada masyarakat.

Hidup beliau juga dirasakan mendatar dan tiada cabaran. Disebabkan ini Nadhir telah mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan beliau dan meninggalkan bidang korporat pada Januari 2014.

Meskipun keputusan ini tidak begitu diterima oleh keluarga, Nadhir bertekad untuk meneruskan keputusan beliau ini.

Perjalanan Glokalise

Selepas melihat bagaimana start up seperti Instagram berjaya dijual dengan nilai yang tinggi, Nadhir turut mahu bersama dan berada di dalam arus di mana para usahawan mampu membina perniagaan yang mampu dijual pada harga berbillion ringgit.

Meskipun begitu, ia tidaklah semudah yang beliau sangkakan. Start-up pertama beliau iaitu aplikasi ‘Glokalise’ yang menyediakan ‘social network’ untuk pelancong, pekerja asing dan pelajar di luar negara tidak memberikan kejayaan seperti yang beliau harapkan.

Namun ini tidaklah mematahkan semangat anak muda ini. Selepas merenung dan menganalisa segala tindakan yang telah dilakukan, beliau merumuskan ia berpunca daripada kesilapan berikut:

1. Tidak turun padang untuk berinteraksi dan bercakap dengan pengguna sasaran. Ini kerana beliau merasakan aplikasi yang dibangunkan itu sudah cukup bagus dan sempurna. Sudah tentu akan ada pengguna yang memerlukannya

2. Melaburkan duit terlalu banyak tanpa membuat MVP (minimum viable product). Ini menyebabkan masa beliau terbunag dan wang pelaburan beliau hangus.

3. Produk (applikasi) yang dibangunkan sebenarnya tidak menyelesaikan masalah tetapi lebih kepada ‘nice to have’. Hakikatnya masalah boleh diselesaikan dengan mencipta group di Facebook.

thelorry.com-5

Mula Membangunkan TheLorry.com

Setelah menganalisa kesilapan yang telah beliau lakukan, Nadhir menjadikan itu sebagai pengajaran yang perlu beliau pelajari.

Nadhir memulakan langkah dengan kesedaran bahawa industri logistik masih mempunyai ruang untuk penambahbaikan. Malahan industri logistik juga masih beroperasi secara tradisonal dan manual, tidak efisyen serta melibatkan pengurusan kos yang tidak berkesan.

Lalu Nadhir menetapkan visi beliau untuk membangunkan satu produk berasaskan teknologi yang dapat menyelesaikan masalah logistik

Menyedari operasi logistik adalah luas dan meliputi udara, laut dan darat, Nadhir memilih untuk fokus kepada logistik di darat. Ini kerana ia bukan saja merupakan yang paling mudah diuruskan tetapi juga tidak memerlukan lesen dan perundangan yang ketat.

Dari sini pula, Nadhir mengecilkan lagi segmen pelanggan beliau. Perlu memilih antara pelanggan komersial dan individu, pemuda ini memilih segmen individu terlebih dahulu kerana ia lebih mudah untuk beliau bermula pada ketika itu.

Melihat tempahan lori sewa online sebagai MVP untuk bermula, Nadhir memulakan langkah dengan modal sebanyak RM5000.

Bagi beliau pada ketika itu perkara utama adalah mendapatkan freelancer yang dapat membina website pada kos yang minimal. Yang penting website tersebut dapat berfungsi dengan baik. Itu sudah cukup baginya sebagai permulaan.

thelorry.com-2

Turun Padang Sebagai Kelindan Lori

Untuk memastikan beliau tidak mengulangi kesilapan yang sama, kali ini Nadhir mengambil keputusan untuk turun padang dan merasai sendiri pengalaman menjadi kelindan lori selama beberapa bulan.

Dengan cara ini juga beliau dapat memahami perasaan dan pemikiran pemandu dan kelindan lori serta apakah yang diinginkan oleh pelanggan yang menggunakan perkhidmatan logistik.

Beliau turut merasai sendiri pengalaman mengangkat peti sejuk ke tingkat 4 di sebuah flat dengan menaiki tangga. Satu pengalaman yang mahal baginya kerana dengan ini beliau mampu menerangkan kepada pelanggan mengapa upah mengangkat barang ke bangunan yang tinggi dan tiada lif itu lebih tinggi sedikit berbanding kerja mengangkut yang biasa.

Dengan turun padang juga beliau dapat merasai sendiri berbagai kerenah pelanggan dan cara menanganinya serta mendapatkan banyak maklumbalas yang boleh beliau gunakan untuk memperbaiki MPV syarikat.

Sewaktu turun padang, ia turut membuka peluang untuk beliau berjumpa dengan syarikat-syarikat logistik dan pengusaha lori sewa dan bertanya soalan berkaitan operasi, harga yang kenakan kepada pelanggan serta masalah yang dihadapi oleh mereka.

Selain daripada itu, Nadhir juga keluar bertemu dengan syarikat-syarikat yang mengiklankan servis mereka di tiang lampu dan pokok, dan seterusnya dapat memahami situasi dan masalah mereka.

Pada mulanya agak sukar bagi beliau untuk meyakinkan syarikat-syarikat logistik dan pengusaha lori sewa agar menyertai platform yang ditawarkan oleh TheLorry.com.

Namun setelah kisah tentang platform ini tersiar di Amanz dan Kosmo! ditambah pula dengan beberapa track record yang berjaya dicapai, ia memudahkan beliau dan pasukan meyakinkan prospek mereka.

thelorry.com-6

Sekarang

Sekarang ini TheLorry.com tidak lagi hanya bertumpu kepada segmen pelanggan individu tetapi juga telah berkembang ke segmen komersial yang terdiri daripada pelanggan dikalangan freight forwarder, pengedar, peruncit dan syarikat event.

TheLorry.com juga telah meluaskan pasaran mereka melangkaui sempadan antara negara iaitu Malaysia – Singapura dan Malaysia – Thailand melalui jaringan lebih daripada 800 buah lori dan van.

Bukan itu saja, Nadhir dan pasukannya kini sedang merangka pelan untuk mengembangkan perniagaan TheLorry.com dengan menjalankan operasi di negara jiran iaitu Singapura, Thailand dan Indonesia.

vocket-talk-3

#VocketTalk3

Tuan Nadhir bersama 4 lagi usahawan lain bakal berkongsi pengalaman dan kisah inspirasi mereka di Vocket Talk 3 yang akan di adakan pada 10 Oktober 2015 di MaGic Cyberjaya.

Di Vocket Talk 3 juga anda berpeluang untuk bertemu dan berkenalan lebih dekat dengan pengasas TheLorry.com ini yang telah berjaya membangun dan mengembangkan syarikatnya dengan pantas meskipun start-up ini baru saja berusia setahun.

Sewajarnya beliau turut dijadikan contoh oleh para usahawan yang ingin maju dalam perniagaan.

Pendaftaran Vocket Talk 3 kini telah dibuka dan bilangan yang  mendaftar bertambah setiap hari. Daftar sekarang di link berikut sebelum tempahan penuh dan ditutup http://vckt.co/vockettalk3.

Baca juga: Pengasas CalaQisya Berkongsi Bagaimana Kehidupan Beliau Sebelum Memiliki 3 Cawangan Butik

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram