Nota Editor: Kisah penuh inspirasi ini adalah perkongsian daripada Razali Makhtar atau lebih di kenali dengan nama Facebook Kenyalang Celup, khas untuk siaran di Vocket.

Vocket mengucapkan terima kasih kepada Razali yang telah sudi berkongsi kisah lalu beliau yang sangat jarang diceritakan kepada umum kecuali teman-teman rapat sahaja.

Semoga ia dapat menjadi inspirasi kepada anak-anak muda agar tidak mudah berputus asa dengan kehidupan mencabar yang sedang dilalui. Ikuti perkongsian dari hati beliau di bawah.

zali-17

Termenung seketika sewaktu aku tiba di sebuah perkampungan kecil di Bled, Slovenia.

Aku bukanlah dilahirkan daripada sebuah keluarga orang senang dan kebanyakan. Sedari kecil lagi aku dibesarkan oleh seorang ibu tunggal yang begitu cekal dan tabah dalam membesarkan kami 2 beradik, aku dan kakakku.

Aku masih lagi teringat, di usia sekolah rendahku di kampung waktu itu aku belajar dengan hanya bercahayakan lampu pelita minyak tanah. Tak semua rumah ada lampu elektrik ketika itu.

Mungkin ni lah sebabnya aku terpaksa pakai kacamata sebaik sahaja memasuki alam sekolah menengah.

Seusai pengajian di sekolah menengah, Alhamdulillah aku dapat melanjutkan pelajaran ke matrikulasi dan seterusnya ke sebuah universiti tempatan. Aku berfikir sejenak, ibuku begitu cekal dan bekerja kuat mencari wang ringgit untuk menyekolahkan ku ke menara gading.

Kasihan ibu. Selesai sahaja solat subuh harus ke pekan. Ibuku dulu adalah seorang tukang masak di sebuah restoran. Lewat petang menghampiri waktu maghrib baru ibu pulang ke rumah. Begitulah rutin ibu 6 hari seminggu.

stesen-minyak-petronas

Ahhhh aku tak boleh nak minta duit dari ibu selalu, walaupun aku tau ibu bekerja semata-mata untuk aku. Jadi aku mengambil keputusan untuk bekerja.

Biar aku rasa sendiri macam mana peritnya untuk mendapat upah RM10 sehari. Jadi, setiap kali cuti semester pengajianku di universiti, aku akan pulang ke kampung untuk bekerja.

Kerja aku adalah seorang budak pengepam minyak di sebuah stesen petrol di sebuah pekan yang tak jauh dari kampung aku. Inilah rutin aku pada setiap kali cuti semester sepanjang 4 tahun di menara gading.

Biasalah, kerja sebagai budak pengepam minyak ni banyak jugak kena bersabar. Dikatakan sebagai “budak bodoh”, “budak yang tak ada pelajaran” tu sudah menjadi rutin sepanjang aku bekerja di stesen minyak tersebut.

Tapi aku cuba bertabah sebagaimana ibu ku tabah mencari rezeki siang dan malam untuk membesarkanku. Alhamdulillah, aku bersyukur kerana aku telah mewarisi sifat cekal daripada ibuku sehingga sekarang.

Baca: Bagaimana Remaja Berusia 19 Tahun Travel Sebulan Dari Hong Kong Ke Pulau Pinang Melalui Jalan Darat

zali-2

Ni gambar abam first time pergi Korea dulu, it was in 2006. Masa tu belum ada tabiat bermonopod & berselpie bagai, abam pun tak pandai nak senyum sangat masa tu, masammmm je. Hehehe.

Penerbangan Pertama ku

Semasa aku di Universiti, aku berkenalan dengan seorang pelajar yang baru sahaja berpindah dari sebuah universiti di Borneo ke universiti di ibu negara. Namanya masih aku ingat, Harimi.

Weh Harimi, macam mana rasa naik kapal terbang weh? Best tak?” – Itulah soalan pertama yang aku ajukan kepada Harimi.

“Weh, jomlah teman aku balik kampung kita naik kapal terbang, aku teringin sangat nak merasa weiii”. Ujar aku kepada Harimi lagi.

Lantas waktu tu, aku dan Harimi terus menyusul ke sebuah pondok telefon awam untuk menghubungi kaunter jualan tiket Air Asia untuk membuat tempahan tiket ke Kuala Terengganu.

Maklumlah waktu tu belum ada lagi teknologi tempahan tiket secara online seperti yang ada sekarang. Waktu tu Air Asia pun baru je mula beroperasi dan hanya memiliki 2 buah pesawat sahaja.

Masa tu jugak Air Asia menggunakan KLIA sebagai hubnya bersama-sama dengan MAS. Tambang pun waktu tu agak mahal tak seperti sekarang, macam-macam promo ada. Takpelah mahal pun, duit biasiswa JPA kan ada, hehehe.

Beberapa minggu kemudian, maka cuti semester pun bermulalah. Rasa gembira memang tak terkata. Di hari yang penuh sejarah tu, awal-awal pagi lagi aku dah bangun.

Seorang kawan yang lain, Akmal meghantar aku dan Harimi ke KLIA. Teruja betul aku bila sampai airport KLIA tu. Besar, cantik dan gah menjadi salah satu simbol mercu tanda buat Malaysia.

zali-15

zali-19

Dan sehinggalah sekarang, aku tak menyangka yang KLIA ni telah menjadi salah satu binaan yang kerap aku kunjungi. Cuma bezanya, dulu dok tolak troli angkut bagasi tapi sekarang tak lagi, semuanya dipikul dibahu dengan pengembaraan style “backpacking”.

Apakah nostalgia yang aku masih simpan sehingga ke hari ini daripada pengalaman penerbangan pertama aku?

Bagage tag” atau tag bagasi yang dilekatkan pada bagasi aku waktu itu aku masih simpan dan aku lekatkan di bahagian kepala katil aku di rumah di kampung.

Tatkala setiap kali melihat tag bagasi itu, hati ku seraya memujuk aku untuk terus terbang dan terbang seperti mana sang burung Kenyalang yang begitu hebat menebarkan sayapnya tinggi di awan. Alhamdulillah atas nikmat ini.

zali-8

zali-9

Minat “Berbackpacking”

Seusia muda remaja aku dulu, aku tak pernah pun mengenali istilah ‘backpacking’ mahupun ‘backpacker’. Kalau dulu, aku hanya mampu untuk pergi bercuti ke luar negara setelah hampir 2 tahun bekerja dan wang simpanan yang aku agihkan untuk mengembara mencukupi.

Berbeza dengan zaman sekarang, ramai di antara kita yang masih lagi di peringkat pengajian di universiti pun dah boleh bercuti ke luar negara. Mungkin perubahan arus pemodenan yang begitu pesat sekali.

Kalau dulu, aku juga tidak pernah mengenali mana-mana ‘Group Backpacking’ di laman sosial, semua info harus aku gali sendiri dari A hinggalah ke Z, tapi sekarang begitu banyak sekali info boleh diceduk daripada group-group yang sebegitu. Orang kata ‘short cut’.

Aku mesti keluar daripada ‘comfort zone’. Aku tak akan maju jika aku terus di sini. Aku tahu di bumi asing di luar sana banyak yang menjanjikan kebaikan daripada keburukan.

Setiap kali berada di bumi asing, kenangan lama pasti akan meracau-racau di benakku. Aku hanyalah seorang budak kampung, yang di usia kecilnya bermandikan kubang kerbau, namun aku punyai hajat dan impian yang besar.

zali-11

Bersama Mohamed & Aziz semasa dlm perjalanan dr Wadi Halfa ke Khartoum, Sudan

zali-12

Bersama satu keluarga Georgian di Bakuriani, Georgia

zali-13

Bersama satu keluarga Belanda di Amsterdam, Netherlands

zali-14

Bersama rakan-rakan backpacker semasa tour di Luxor, Egypt

Ibu Teman Dalam Penerbangan

Memang benar aku suka terbang. Aku juga mahukan ibuku turut merasa seronoknya terbang tinggi di awan biru.

Alhamdulillah, pada tahun 2008 aku bersyukur kerana dapat menunaikan hajat ibuku untuk mengerjakan haji di Tanah Suci Makkah.

Tapi sebelum ibuku selesa menaiki penerbangan panjang ke Jeddah, aku telah melatih ibu dengan menerbangkan ibuku dari Terengganu ke Kuala Lumpur beberapa kali pada tahun-tahun sebelumnya.

Niat aku cuma satu, biar ibu selesa dalam perjalanannya ke Tanah Suci Makkah. Biar ibuku pandai bawa diri tatkala berada di dalam pesawat yang terbang hampir 8 jam membelah awan.

Setelah aku berpindah ke Borneo, aku turut membawa ibuku terbang ke sini beberapa kali. Ibuku terasa senang kerana tatkala setiap kali Ramadhan tiba, pasti ibu akan bersamaku.

Saban tahun, kami melayari bahtera Ramadhan bersama-sama. Di akhir Ramadhan juga, kami turut pulang beraya ke kampung bersama-sama.

zali-10

Inilah penerbangan terakhir aku dan ibu. Kini semuanya tinggal kenangan.

Maaf tiada gambar bersama ibu yang dapat kusertakan di sini. Semua gambar ibu ku simpan rapi di kampung kerana aku tidak mahu terus-terusan berduka. Wajah ibu kekal tersemat kukuh di dalam hati dan jiwaku.

Sehinggalah pada tahun 2011, aku tak menyangka penerbangan Firefly FY2106 yang menerbangkan aku dan ibu dari Subang ke Terengganu untuk pulang beraya adalah penerbangan terakhir buat kami bersama.

Ibuku telah pergi menghadap Sang Penciptanya pada hari raya ke 5. Aku pasrah atas ketentuan Ilahi. Kini tiada lagi ‘penumpang’ yang paling akrab yang duduk bersebelahan denganku.

Semuanya telah menjadi kenangan. Sesekali, tatkala aku menaiki pesawat dan apabila tempat duduk bersebelahanku kosong, aku tahu mungkin itu ruang buat ibu menemaniku dalam setiap pengembaraanku. Al-Fatihah buat Allahyarhamah ibuku.

zali-7

Alhamdulillah, di usia ini aku bersyukur kerana aku telah diberi kesempatan dan rezeki untuk melihat alam ciptaan Tuhan Yang Maha Esa ini. Sekarang, aku tidak lagi merasa hairan kenapa adanya siang tanpa malam dan ada pula malam tanpa siang.

Pengembaraan lah yang memberi aku jawapan kepada segenap isi alam yang penuh misteri ini.

Sehingga kini aku bersyukur kerana telah berjaya menjejakkan kaki ke 70 buah negara atas kudrat dan keringatku sendiri.

zali-20

Sewaktu misiku menakluk Artik. Dari Malaysia aku ke sini seorang diri. Setibanya di sini pandai-pandai lah aku bawa diri dan berkenalan dengan rakan backpacker lain.

zali-3

Merasai sejuknya salji di Bakuriani, Georgia.

zali-21

Boarding Shinkansen N700 series.

Jepun, aku telah tiba di negara mu. Dan telah kembali ke sini beberapa kali lagi.

zali-4

Misi menjejak piramid di Mesir. Aku juga telah berjaya menjejak piramid di Sudan.

zali-5

Tembok besar China. Kini aku telah berjaya menjejakkan kaki di sini. Sewaktu kecilku hanya mampu mendengar tembok yang gah dan panjang ini.

zali-6

Menara Condong Pisa, satu lagi keajaiban dunia yang berjaya kulihat di depan mata. Terasa seperti bermimpi pula.

zali-1

India juga telah berjaya ku jejaki.

zali-18

Pesan aku, jangan sesekali meletakkan sejarah silam hidup kita sebagai pengatur masa hadapan kita. Pasti ada jalan untuk kita terus menggapai cita-cita dan impian kita.

Walau sejauh mana sekali pun kita mengembara, bumi ini tetap bulat. Di Amerika, di Perancis, di Australia mahupun di Jepun, bumi tetap kita pijak, langit tetap kita junjung.

Wahai anak muda, kalau kau ingin lebih mengenali siapa diri kalian, pergilah mengembara. Pasti kau akan temui jawapannya, sebuah jawapan yang jujur dari sudut mata hati kita sendiri.

Baca lagi: Kenangan Masa Kecil Bawa Lelaki Ini ‘Travel By Land’ 6 Bulan Dari Malaysia Ke Eropah

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram